YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah mengadakan perbincangan bersama industri logistik mengenai pelaksanaan program subsidi bersasar bagi diesel.
Perbincangan ini adalah bagi mendapatkan pandangan persatuan dan syarikat logistik mengenai skop dan syarat bagi cadangan program ini, terutamanya bagi mendengar isu yang dihadapi serta langkah-langkah penambahbaikan.

Seperti yang dibentangkan di dalam Belanjawan 2024, Kerajaan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan yang berterusan. Namun, bagi mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan.
Mekanisme rasionalisasi subsidi diesel ini akan dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) di mana permohonan boleh dibuat di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.

Sebaik berjaya mendapat kelulusan di bawah Sistem MySubsidi Diesel KPDN, syarikat-syarikat Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) boleh mendapatkan ‘Fleet Card’ daripada syarikat minyak pilihan untuk pembelian diesel bersubsidi.
Dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ini, Kerajaan akan dapat menyalurkan hasil negara kepada rakyat yang benar-benar memerlukan antaranya melalui Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah dan lain-lain bantuan.