YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah, Menteri Kewangan II telah mengadakan perbincangan dengan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Antara perihal utama yang dibincangkan adalah memastikan kelulusan pelaburan strategik dapat dipercepatkan lagi dengan kedua-dua Menteri Kewangan II dan MITI mempengerusikan bersama Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI).

Pelaburan langsung merupakan satu pemangkin ekonomi, malah kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat menekankan kepentingan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk meneraju pelaburan langsung domestik (DDI). Ini dapat dijayakan dengan mencambah pelaburan ke dalam syarikat-syarikat pemula serta sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin menjejaki industri pertumbuhan pelopor serta sektor strategik. Agenda pelaburan GLC dan GLIC juga telah diperhalusi dalam perbincangan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bersama Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLC dan GLIC pada 22 Disember lepas.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah juga menyinggung tentang keperluan meningkatkan lagi pemudahcara perniagaan di Malaysia dengan mengurangkan birokrasi. Sehubungan itu, perbincangan bersama YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul ini juga berkisar tentang penyelarasan fungsi agensi-agensi promosi pelaburan (IPA) serta isu-isu dasar yang boleh ditambah baik bagi menjana pertumbuhan ekonomi.