Pilih bahasa anda
YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan telah mempengerusikan sesi perbincangan bersama wakil industri serta agensi-agensi Kerajaan bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam membanteras aktiviti perniagaan yang menjejaskan ekosistem perniagaan tempatan dan kepentingan negara.

Perbincangan ini dilaksanakan susulan arahan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri supaya tindakan yang lebih bersepadu dan tegas diambil terhadap pelbagai bentuk ketidakpatuhan yang semakin membimbangkan, termasuk perniagaan yang beroperasi melalui premis fizikal tetapi gagal mematuhi undang-undang dan piawaian yang berkuat kuasa, penyalahgunaan visa pelancong oleh warga asing untuk menjalankan aktiviti perniagaan atau menawarkan perkhidmatan secara tidak sah serta kemasukan lambakan barangan melalui platform e-dagang yang tidak mematuhi piawaian keselamatan dan keperluan kawal selia negara.

Dalam hubungan ini, penekanan diberikan kepada keperluan memperkukuh penguatkuasaan dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan sedia ada bagi memelihara persekitaran perniagaan yang adil, selamat dan berdaya saing.

Kerajaan komited untuk terus mempertingkat koordinasi antara kementerian, agensi penguat kuasa dan pihak industri bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat berkembang secara mampan, sekali gus melindungi kepentingan pengguna, peniaga tempatan dan hasil negara.