YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan bertemu dengan rakan sejawat dari negara jiran, iaitu Menteri Kewangan Singapura, H.E. Lawrence Wong.

Kali terakhir mereka berjumpa adalah pada Disember tahun 2021 semasa lawatan kerja rasmi beliau ke Singapura, di mana pelbagai perkara telah dibincangkan termasuk kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura dalam mengintegrasikan ekosistem pembayaran tanpa tunai, atau e-payment yang akan memastikan transaksi yang lancar, cekap dan inklusif bagi rakyat kedua-dua negara.

Semasa pertemuan ringkas kali ini, mereka sempat bertanya khabar mengenai perkembangan terkini dan mesyuarat yang dihadiri oleh kedua-dua pihak sepanjang persidangan Mesyuarat-Mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia-IMF tahun ini. Beliau difahamkan bahawa Menteri Kewangan Singapura telah berucap di Institut Peterson bagi Minggu Makro Ekonomi Antarabangsa serta akan menghadiri Mesyuarat Pasukan Bertindak Kewangan Peringkat Menteri (FATF), iaitu badan pemerhati bagi kegiatan pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganasan.

Beliau turut berkesempatan merakamkan ucapan tahniah atas pemilihan sebagai Ketua Pasukan Generasi Keempat (4G) yang baharu dan direstui oleh para menteri di Singapura.
Beliau menantikan lebih banyak perjumpaan bersama Menteri Kewangan Singapura pada masa hadapan, terutamanya untuk membincangkan prospek kerjasama dua hala yang lebih erat antara Malaysia dan Singapura.