Sesi Pertanyaan Menteri Di Dewan Rakyat
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan berada di Dewan Rakyat untuk Sesi Pertanyaan Menteri.

Beliau telah menjawab soalan daripada YB Tuan Lukanisman Awang Sauni, Ahli Parlimen Sibuti, berkenaan dakwaan bahawa syarikat telekomunikasi tidak mahu mendaftar dengan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk 5G kerana harga yang ditawarkan oleh DNB adalah terlalu tinggi. Berikut adalah ringkasan jawapan beliau:
- Pandemik COVID-19 telah menjadi bukti keperluan akses internet yang adil dan saksama kepada semua #KeluargaMalaysia.
- Melihat kepada keperluan ini, Kerajaan telah mengambil tindakan tegas pada bulan Februari 2021 dengan mengumumkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, atau MyDIGITAL
⠀
- Salah satu langkah utama dalam MyDIGITAL adalah penubuhan DNB untuk melaksanakan 5G dengan lebih pantas dan inklusif untuk seluruh Keluarga Malaysia.
⠀
- Buat masa ini, harga yang akan dikenakan kepada syarikat telekomunikasi oleh DNB masih diperhalusi. Yang pasti adalah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebagai pengawal selia, akan memastikan harga yang ditetapkan adalah adil dan berteraskan pemulihan kos, dan bukan untuk menjana keuntungan.
⠀
- Beliau juga difahamkan bahawa DNB akan mengenakan caj kurang dari RM0.20 bagi setiap GB untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi. Sebagai perbandingan, ini adalah jauh lebih murah berbanding kos tambahan (incremental) semasa bagi setiap GB 4G yang dihasilkan oleh syarikat telekomunikasi dengan kadar antara 45 hingga 55 sen bagi setiap GB.