YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan meluangkan masa bersama lebih 15 usahawan teknologi, atau technopreneur yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, MDEC, Penjana Kapital, Cradle serta pihak Ernst & Young.

Beliau turut berkesempatan menyampaikan dan memberi penerangan mengenai usaha Kerajaan bersama agensi-agensi yang berkaitan, yang akan membolehkan Malaysia mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dalam melahirkan lebih ramai usahawan dan syarikat pemula (startups) negara yang berpotensi besar.

Semasa sesi tersebut, beliau juga mengambil maklum tentang beberapa pandangan yang dinyatakan. Perspektif dan pandangan usahawan mengenai langkah seterusnya untuk penyenaraian awam atau IPO adalah amat penting dalam membangunkan pasaran saham negara. Malaysia mempunyai peluang untuk menjadi pasaran yang lebih kukuh apabila lebih banyak syarikat permulaan memilih Malaysia sebagai destinasi untuk disenaraikan, mewujudkan skala dan menarik lebih ramai pelabur.

Kerajaan sentiasa optimistik tentang penyelarasan dasar yang lebih baik dan lebih padu untuk pertumbuhan, pengekalan dan penyerantauan syarikat permulaan. Kerajaan komited untuk mendengar suara industri untuk membangunkan lebih banyak inisiatif.
Beliau yakin melalui platform sebegini, Kerajaan akan dapat memahami dengan lebih baik mengenai cabaran dan perkara yang boleh dimudah cara untuk syarikat-syarikat pemula serta berkongsi maklumat dan idea baharu untuk menambah baik ekosistem syarikat pemula di Malaysia.