YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah berkesempatan berkunjung ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendengar taklimat mengenai prospek, tantangan serta tumpuan dasar ekonomi negara saat ini.
Beliau turut ditemani YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan, Timbalan Menteri Kewangan I dan YB Tuan Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Kewangan II serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan.
Beliau turut dimaklumkan mengenai keadaan ekonomi negara yang kembali mengukuh pasca COVID-19.
Namun, kerajaan mesti memikirkan cabaran semasa kepada ekonomi negara dengan mengambil kira risiko-risiko seperti pertumbuhan global yang lembab, konflik dan masalah geopolitik di peringkat antarabangsa yang terus memburuk serta gangguan kepada rantaian bekalan makanan.
Kerajaan akan bertindak segera dengan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang bagi mendepani permasalahan ini. Usaha dan upaya beliau adalah memastikan reformasi struktur ekonomi dijelmakan dengan teratur bagi merancakkan pertumbuhan serta memperkukuh asas-asas ekonomi negara.
Menarik pelaburan yang berkualiti, peralihan kepada ekonomi rendah karbon, mempertingkat perlindungan sosial, memantapkan daya tahan fiskal menjadi antara pendekatan dan langkah yang diambil.
Langkah-langkah ini dilaksanakan dengan dukungan BNM dan semua jabatan yang berkaitan.