YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah, Menteri Kewangan II telah meneruskan tinjauan dan sesi taklimat di Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan (GIC) dan Bahagian Pengurusan Aset Awam (PAM).

Taklimat-taklimat ini berkisar peranan dan hala tuju Bahagian masing-masing untuk menjayakan visi dan misi kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat serta rancangan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi pada jangka pendek dan sederhana.

Dalam sesi taklimat dengan Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah mencambah buah fikiran untuk memudah carakan Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) menjadi pemangkin kepada sektor perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS) yang berazam melabuh sayap mereka ke persada antarabangsa, selaras dengan misi Ekonomi MADANI untuk melahirkan juara PMKS serantau.

Bahagian Pengurusan Aset Awam pula memainkan peranan penting untuk memastikan prasarana negara berada di tahap tinggi bagi kemudahan rakyat. Seperti digambarkan dalam kerangka Ekonomi MADANI, prasarana dan perkhidmatan awam perlu dipertingkatkan ke taraf dunia untuk kesejahteraan rakyat dan membangunkan modal insan berkaliber tinggi.
