Pilih bahasa anda
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah meluangkan masa melawat Pasar Tani Kelana Jaya sebagai sebahagian daripada Program Mikro Kredit Turun Padang.
Program ini merupakan antara usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro melalui pendekatan libat urus secara langsung bersama penjaja dan peniaga kecil.
Melalui program ini, kerajaan berpeluang mendengar sendiri cabaran yang dihadapi oleh usahawan mikro, di samping menyalurkan maklumat mengenai pelbagai kemudahan pembiayaan, bantuan perniagaan serta program pembangunan kapasiti yang disediakan oleh kerajaan dan agensi berkaitan.
Menurut YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah, usahawan mikro memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi setempat, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh daya tahan ekonomi negara. Justeru, kerajaan akan terus komited menyediakan ruang, sokongan serta akses kepada pelbagai inisiatif yang dapat membantu golongan ini mengembangkan perniagaan dan meningkatkan taraf hidup mereka.
Program ini merupakan kesinambungan kepada lawatan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ke Pasar Tani Taman Melawati pada 23 Mei 2026, yang turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa komuniti usahawan mikro di seluruh negara. Hadir bersama YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Turut terlibat sebagai agensi pelaksana ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), TEKUN Nasional, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan mikro.