Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Foto

Sesi Turun Padang Ke Kawasan Banjir

Sesi Turun Padang Ke Kawasan Banjir

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan turun padang ke salah satu lokasi yang teruk dilanda banjir, Parlimen Kota Raja.

Beliau berkempatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun. Beliau amat sedih melihat ramai warga emas, ibu-ibu dan anak-anak kecil yang terpaksa meninggalkan keselesaan rumah mereka tetapi sekurang-kurangnya di PPS keselamatan mereka terjaga. Beliau turut menyampaikan bantuan kepada para mangsa di sana.

Beliau juga bersama-sama pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sepanjang waktu petang dan malam. Keadaan banjir sangat menakutkan, dengan keadaan air yang naik sehingga paras bumbung. Beliau juga berkesempatan bersama-sama JPAM untuk menyelamatkan mangsa antaranya seorang ibu bersama anaknya yang terkandas dan seorang wanita yang sedang sarat mengandung serta suaminya dan telah selamat dihantar ke PPS.

Dalam pada itu, beliau juga berkesempatan menghantar bantuan makanan kepada beberapa keluarga yang bertahan menghadapi banjir di tingkat atas rumah masing-masing tetapi telah terputus bekalan makanan.

Beliau juga berkesempatan menziarahi pusat penempatan sementara di Dewan Serbaguna SJK(T) Ladang Emerald. Namun sewaktu beliau ingin meninggalkan dewan tersebut, bekalan elektrik telah terputus akibat banjir. Beliau juga telah menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad untuk menyegerakan penghantaran gen set ke kawasan tersebut. ⠀

Beliau melihat masih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh semua pihak. Bagi pihak Kementerian Kewangan (MOF), selain daripada program bantuan pembayaran bagi peminjam-peminjam yang terkesan yang butiran lanjutnya akan dikongsi oleh Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) dan bank-bank terlibat dalam masa terdekat, MOF juga akan menyegerakan penyaluran RM50 juta kepada NADMA/Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi memastikan kelangsungan bantuan kepada isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir. ⠀ ⠀

Dan sepertimana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kadar Bantuan Wang Ihsan juga dinaikkan kepada RM1,000 dari RM500 bagi setiap isi rumah yang terjejas akibat banjir disebabkan Monsun Timur Laut atau terkesan daripada apa-apa bencana lain yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat. ⠀

MOF juga menyalurkan peruntukan awal RM100 juta bagi persediaan usaha pemulihan pasca-banjir. Bagi usaha ini, Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam usaha membaiki rumah-rumah dan infrastruktur awam yang rosak akibat banjir.

Terdahulu, beliau juga telah berkesempatan mengadakan perbincangan MOF bersama Bank Negara Malaysia, ABM, AIBIM serta ADFIM dan ini menunjukkan kesediaan sektor perbankan untuk menawarkan program bantuan pembayaran bagi peminjam-peminjam yang terkesan akibat banjir yang sedang melanda. ⠀

Perbincangan dengan GDRN (GLC/GLIC Disaster Recovery Network) juga memberi keyakinan kepada beliau bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) komited dalam membantu mangsa banjir.

Arkib Foto

Logo Accessibility