YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan turun padang ke Mari Mari Cultural Village, Sabah. Ia merupakan gambaran sekilas tentang kehidupan dan kekayaan budaya Sabah dengan mempamerkan keunikan dan sejarah 5 kumpulan utama etnik Sabah seperti petani dan pedagang Dusun dan Rungus, pemburu dan nelayan Lundayeh, koboi dan gipsi laut Bajau, dan puak pahlawan yang terkenal dan digeruni Murut.

Turut terdapat pameran rumah-rumah dan pakaian tradisional yang unik dan menarik mengikut etnik masing-masing. Bukan itu sahaja, ada juga aktiviti seperti demonstrasi produk makanan, kraftangan dan permainan tradisional serta persembahan tarian kebudayaan.

Melalui Bajet 2022, Kerajaan telah memperuntukkan pelbagai inisiatif bernilai RM1.6 bilion khas untuk industri pelancongan negara, kerana ia merupakan salah satu sektor yang amat terkesan semasa pandemik COVID-19 melanda. Inisiatif tersebut termasuk Program Subsidi Upah khusus untuk sektor pelancongan serta pelbagai pembiayaan, dana, geran dan geran padanan bagi membantu sektor pelancongan pulih dan hidup semula.

Kerajaan juga memperuntukkan RM15 juta bagi Program Pemerkasaan Eko-pelancongan Sumber Asli Ke Arah Pembangunan Komuniti Setempat. Eko-pelancongan mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan, kerana Malaysia kaya dengan tarikan-tarikan asli yang unik, seperti Sepilok, Gunung Kinabalu dan Pulau Sipadan di Sabah.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif di bawah Bajet 2022, orang ramai boleh melayari di laman sesawang https://budget.mof.gov.my/manfaat/