YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan melawat Pusat Transformasi Bandar Sabah (UTC Sabah) dan telah merasmikan sistem Virtual Platform (V-PLAT) Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

V-PLAT merupakan saluran komunikasi bersemuka secara maya di antara peminjam di Sabah dengan pegawai khidmat pelanggan di LPPSA, Putrajaya secara langsung melalui platform digital. Sistem V-PLAT tersebut dapat memudahkan serta menjimatkan masa peminjam di Sabah untuk menghubungi LPPSA dan tanpa perlu pergi ke kaunter.
Antara perkhidmatan yang disediakan melalui sistem V-PLAT adalah khidmat nasihat di mana peminjam boleh memperolehi segala maklumat yang berkaitan dengan pembiayaan perumahan. Selain itu, peminjam juga boleh memohon salinan dokumen pembiayaan seperti penyata akaun, surat arahan potongan gaji dan surat selesai pinjaman. Sistem V-PLAT tersebut juga membantu peminjam membuat semakan akaun dan menyemak baki pinjaman serta berinteraksi secara visual kiraan kelayakan pembiayaan perumahan sektor awam.
Beliau amat kagum dan bersetuju bahawa sistem tersebut adalah yang terbaik serta mudah. Beliau turut berkata, bagi para penjawat awam yang ingin mendapatkan nasihat LPPSA pada masa akan datang, mereka boleh berkomunikasi dan bertanya melalui dalam talian sahaja, mereka tidak perlu pergi ke pejabat LPPSA. Sebagai Kerajaan, kita perlu sentiasa mencari penyelesaian untuk memudahkan para pelanggan kita. Ini merupakan amanah yang harus didukung oleh semua penjawat awam.