Pilih bahasa anda
Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memelihara kestabilan bekalan negara susulan ketidaktentuan pasaran petroleum global yang masih berlarutan.
Harga petroleum masih kekal tinggi, melebihi AS$100 setong, berikutan ketiadaan penyelesaian terhadap konflik di Asia Barat. Keadaan ini turut menjurus kepada kekangan bekalan minyak mentah dan produk petroleum global, yang semakin meruncing akibat kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di rantau tersebut.
Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu, penetapan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 7 Mei hingga 13 Mei 2026 adalah seperti berikut:
Harga Runcit
| Bahan Api | Harga Runcit | Perubahan |
|---|---|---|
| RON97 | RM4.90 seliter (harga 6 Mei 2026: RM4.90 seliter) | Tiada perubahan |
| RON95 | RM4.02 seliter (harga 6 Mei 2026: RM3.97 seliter) | Naik 5 sen seliter |
| Diesel (Semenanjung Malaysia) | RM5.17 seliter (harga 6 Mei 2026: RM5.12 seliter) | Naik 5 sen seliter |
Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu. Harga bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:
| Bahan Api | Harga Subsidi |
|---|---|
| RON95 (BUDI95) | RM1.99 seliter |
| Diesel (Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan) | RM2.15 seliter |
| Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) | RM2.05 seliter |
| Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) | RM2.15 seliter |
Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
6 Mei 2026
↓ Muat turun: siaran-media-harga-petroleum-0605026