Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kenyataan Prabelanjawan 2027

Kenyataan Prabelanjawan 2027

1. PENGENALAN

Belanjawan 2027 ialah Belanjawan MADANI Kelima dengan matlamat untuk terus menuai hasil Kerangka Ekonomi MADANI dalam pengemudian negara Malaysia. Selaku belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Belanjawan ini kekal menelusuri tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat dan Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara.

Tahun 2026 menyaksikan episod kegalauan dunia dek konflik berpanjangan di Asia Barat yang melonjakkan harga minyak mentah dunia melepasi USD100 setong dan menekan rantaian bekalan antarabangsa. Kendatipun berdepan kejutan luaran, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan hasil reformasi struktur yang dilaksanakan sejak Belanjawan MADANI pertama, termasuk konsolidasi fiskal, penyasaran subsidi dan pempelbagaian sumber pertumbuhan. Krisis ini mengesahkan, reformasi berani pentadbiran MADANI telah menjadi benteng pertahanan ekonomi dan rakyat.

Perencanaan Belanjawan 2027 dipandu keseimbangan antara keperluan mendesak jangka pendek bagi melindungi rakyat daripada kesan krisis tenaga dan kos sara hidup, dengan keperluan strategik jangka panjang untuk membina ekonomi yang lebih kompleks dan bernilai tinggi. Belanjawan ini selari dengan keutamaan pentadbiran MADANI bagi memacu pertumbuhan berasaskan produktiviti dan daya cipta, mempercepat peralihan tenaga, memperkukuh keterjaminan makanan, mengutama digital dan kecerdasan buatan (AI) serta membangun bakat berkemahiran tinggi.

Belanjawan 2027 ialah belanjawan milik rakyat; diperhalusi dan direncana berasaskan keberhasilan dan mengambil kira setiap maklum balas rakyat, suara komuniti perniagaan dan buah fikiran pihak berkepentingan.

2. PENCAPAIAN TIGA SETENGAH TAHUN PENTADBIRAN MADANI

Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara dengan cabaran besar yang perlu dipikul dan diselesaikan. Pada waktu itu, di samping menempuh ketidaktentuan ekonomi dunia, Kerajaan terpaksa mewarisi bebanan hutang yang terlalu tinggi yang menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60% KDNK pada tahun 2023. Malaysia juga mengalami kemerosotan pentadbiran dengan amalan rasuah dan penyelewengan bagaikan sudah sistemik dan membarah dalam tadbir urus Kerajaan. Pelaburan ketika itu juga belum mencapai prestasi sebelum pandemik. Lebih parah, tantangan ekonomi amat mengesankan rakyat dengan kadar inflasi makanan pada 2022 mencecah 5.8% dan pengangguran pula di tahap 3.9%.

Dengan penuh keazaman tinggi dan kesungguhan, kesempatan tersebut dimanfaat sebaiknya oleh Kerajaan MADANI untuk menggerakkan pelbagai kebijakan serta pengarahan baharu bagi membenih semula keyakinan rakyat dan membersihkan nama negara Malaysia di mata dunia. Hanya dalam tempoh tiga setengah tahun, pentadbiran MADANI berjaya merungkai permasalahan asas yang membelenggu negara selama ini melalui pelaksanaan reformasi dasar dengan segera dan berani. Kerangka Ekonomi MADANI yang diluncurkan telah menjadi nadi segala dasar dan ikhtiar. Segala pencapaian yang diraih dapat dilihat dengan jelas merentasi ketiga-tiga tonggak Ekonomi MADANI seperti berikut:

Tatakelola Baik Pentadbiran Negara

  • Kerajaan MADANI komited melaksanakan pembaharuan tatakelola pentadbiran negara sejak awal. Ini meliputi tatakelola baik dalam disiplin fiskal, agenda pembanterasan rasuah, kemudahan menjalankan perniagaan, serta pengurusan projek pembangunan berkepentingan rakyat.

  • Pembaharuan Tatakelola telah berjaya dilaksanakan segera melalui penubuhan Pasukan STAR iaitu Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi yang dipimpin oleh Ketua Setiausaha Negara. Peranan utama Pasukan ini termasuklah pembaharuan perkhidmatan awam dan agensi Kerajaan serta memacu penyelesaian pantas bagi isu berimpak tinggi melibatkan infrastruktur dan pendigitalan.

  • Disiplin fiskal dicapai hasil keberanian pentadbiran MADANI melaksanakan ikhtiar seperti penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850], Akta Perolehan Kerajaan 2026 [Akta 882] serta penyasaran subsidi. Defisit fiskal turun secara konsisten daripada 6.4% (2021); 5.5% (2022); 5.0% (2023); 4.1% (2024); dan 3.7% (2025). Penurunan defisit bermakna jumlah hutang baharu turun dan terkawal: daripada RM100 bilion (2021 & 2022); RM92.6 bilion (2023); RM77 bilion (2024); dan RM75.6 bilion (2025).

  • Penyasaran subsidi menyeluruh akhirnya dilaksanakan di bawah pentadbiran MADANI. Sungguhpun penyasaran subsidi dilaksanakan, ia tidak menjejaskan majoriti besar rakyat Malaysia kerana subsidi ialah keistimewaan rakyat dan yang terkesan hanyalah warga asing dan sektor perniagaan besar. Melalui pengapungan harga ayam dan telur, serta penyasaran subsidi elektrik, diesel dan petrol RON95 yang telah dilaksanakan, Kerajaan berjaya jimat dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun. Penjimatan hasil ini telah menjadi penampan untuk negara bertahan daripada kesan konflik di Asia Barat yang meningkatkan beban subsidi bahan api negara mencecah sehingga RM40 bilion tahun ini.

  • Ikhtiar MADANI seperti Sejati MADANI, Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI ialah komitmen Kerajaan memperkasa komuniti setempat melalui pengagihan sumber berdasarkan keutamaan di peringkat lapangan. Prasarana sekolah daif, klinik daif dan jalan berlubang turut diberi tumpuan sejak awal.

Menaikkan Siling

  • Ekonomi Malaysia terus mengatasi jangkaan kesekian kalinya meski berdepan krisis tenaga global. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku kedua 2026 berkembang 6%, melebihi median unjuran 5.2% dalam tinjauan Bloomberg dan anggaran awal DOSM sebanyak 5.8%. Sejak di bawah pentadbiran MADANI, pertumbuhan KDNK meningkat secara konsisten iaitu pada 3.6% pada 2023 kepada 5.2% pada 2024 dan 2025. Momentum ini berterusan bagi keseluruhan tahun 2026 dipacu permintaan domestik yang utuh, pelaburan swasta dan kepelbagaian aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026); yang berpotensi berkembang menghampiri paras tertinggi antara 4.0% hingga 5.0%.

  • Pelaburan Diluluskan mencatat rekod tertinggi dalam sejarah secara berturut-turut, meningkat daripada RM267.8 bilion (2022), RM329.5 bilion (2023), RM384.4 bilion (2024) kepada RM431.1 bilion (2025). Pencapaian ini adalah hasil strategi pelaburan yang ampuh antaranya melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), disokong oleh Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang menggerakkan pelaburan langsung domestik syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) ke dalam sektor berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.

  • Perdagangan luar turut mencipta sejarah baharu apabila buat kali pertama jumlah dagangan melepasi paras RM3 trilion; iaitu RM3.06 trilion pada 2025; peningkatan 6.3% berbanding 2024. Malaysia kekal berdaya tahan dan menunjukkan prestasi memberangsangkan meskipun berhadapan dengan krisis global. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jumlah dagangan terus merekodkan pertumbuhan 22.4% kepada RM1.80 trilion berbanding RM1.47 trilion dalam tempoh sama 2025.

  • Ringgit muncul sebagai mata wang terbaik di Asia pada 2025 dengan pengukuhan sekitar 10.2% berbanding dolar AS. Indeks Bursa Malaysia kembali melepasi paras 1,700 mata. Agensi penarafan kredit antarabangsa mengekalkan penarafan Malaysia pada gred A3 oleh Moody’s Ratings dan A- oleh S&P Global Ratings, kedua-duanya dengan tinjauan “Stabil”. Penarafan ini mencerminkan ekonomi yang pelbagai, berdaya saing serta prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

  • Daya saing negara melonjak 19 anak tangga dalam tempoh dua tahun sahaja, daripada kedudukan ke-34 (2024) kepada ke-23 (2025) dan seterusnya ke-15 (2026) dalam Laporan Daya Saing Dunia IMD; pencapaian terbaik sejak 2015. Peningkatan ini cerminan keberkesanan reformasi kecekapan Kerajaan dan perniagaan serta penambahbaikan prasarana yang dilaksana secara bersepadu.

Menaikkan Lantai

  • Bantuan tunai rakyat mencatat nilai tertinggi dalam sejarah. Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2026 untuk rakyat mencecah RM15 bilion dengan kadar maksimum RM4,600; jauh mengatasi Bantuan Rakyat 1Malaysia (RM6 bilion; maksimum RM1,200) pada 2018 dan Bantuan Keluarga Malaysia (RM8 bilion; maksimum RM2,500) pada 2022. Lebih bermakna, manfaat ini bukan sahaja untuk golongan susah, di bawah ikhtiar SARA UNTUK SEMUA, 22 juta rakyat menerima SARA RM100, iaitu sekiranya sebuah keluarga dengan lima orang, layak menerima sebanyak RM500.

  • BUDI MADANI membolehkan harga petrol bersubsidi dan diesel bersubsidi turun untuk rakyat iaitu masing-masing RM1.99 seliter dan RM2.10 seliter. Sekalipun harga pasaran global melambung, reformasi berani penyasaran subsidi tepat pada masanya bagi melindungi ketahanan fiskal negara tanpa menjejaskan kepentingan rakyat. Dengan BUDI95 yang memanfaat 14 juta pengguna aktif, mengambil kira harga runcit RON95 RM3.62 seliter setakat 18 Ogos 2026, penjimatan wang rakyat RM326 sebulan atau RM3,912 setahun; manakala BUDI Diesel jimat sehingga RM711 sebulan atau RM8,532 setahun sekiranya harga pam RM4.47 seliter (setakat 18 Ogos 2026).

  • Agenda Gaji Bermaruah terus diberi keutamaan di bawah pentadbiran MADANI. Gaji Minimum telah dinaikkan kepada RM1,700 sebulan berbanding RM1,200 sebelum Mei 2022. Gaji penjawat awam yang tidak disemak sejak lebih sedekad turut dinaikkan sehingga 15% di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan peruntukan tambahan RM18 bilion. Manakala Gaji Kehidupan Wajar RM3,100 sebulan dilaksanakan oleh GLIC dan GLC sebagai komitmen menyokong pertumbuhan pendapatan isi rumah dan perbelanjaan domestik.

  • Pasaran buruh kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan global dan kekal berada pada tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran serendah 2.9% setakat suku pertama 2026, terendah dalam tempoh 11 tahun.

  • Barangan asas mudah diperolehi dengan bekalan lebih terjamin dan harga lebih murah di bawah pentadbiran MADANI. Kekerapan Jualan Rahmah MADANI ditingkatkan kepada setiap minggu di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sasaran sehingga 30,000 program pada 2026. Kebijakan pengurusan barangan asas turut menunjukkan hasil: pengapungan harga ayam dan telur menyaksikan harga kini lebih murah dengan bekalan tidak putus di pasaran, manakala penambahbaikan pengurusan minyak masak paket RM2.50 khusus untuk rakyat menjadikannya kini mudah diperoleh berbanding sebelum ini.

  • Inflasi kekal terkawal pada 1.9% (Jun 2026); jauh lebih rendah berbanding 4% pada November 2022; iaitu sewaktu MADANI mengambil alih Kerajaan. Walaupun dihimpit lonjakan harga tenaga global, keberkesanan pelaksanaan pelbagai ikhtiar telah berjaya mengawal kenaikan mengejut harga barangan.

  • Tabung simpanan rakyat turut kembali mencatat kadar dividen bermaruah. Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Simpanan Konvensional meningkat daripada 5.35% (2022) kepada 6.15% (2025), Simpanan Shariah daripada 4.75% kepada 6.15%, Amanah Saham Bumiputera (ASB) daripada 4.60% kepada 5.75%, Tabung Haji daripada 3.10% kepada 3.50% dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) daripada 3.05% kepada 4.10%. Ini mencerminkan pengurusan dana rakyat yang cekap dan ekonomi yang kukuh di bawah pentadbiran MADANI.

Agenda Bumiputera


Agenda Bumiputera diperkukuh di bawah Kerajaan MADANI. Pemerkasaan Bumiputera terus dipacu melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35). Di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, 50 ekar tanah daripada pembangunan projek strategik Bandar Malaysia diperuntukkan sebagai Tanah Rizab Melayu bagi memastikan pembangunan turut tidak mengabaikan kepentingan melaksana projek rakyat. PNB dan PHB juga meningkatkan kerjasama membangun tanah rizab Melayu dalam projek perumahan mampu milik, penginapan pelajar dan pembangunan komersial.

Rakyat Dengan Pendapatan Pertengahan

  • Belanjawan pertama Kerajaan MADANI terus memberi tumpuan kepada rakyat dengan pendapatan pertengahan (M40). Bermula 2023, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan 2% melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000. Pengurangan yang memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.

  • Kerajaan MADANI juga menyediakan banyak inisiatif untuk manfaat M40. Selain Bantuan Awal Persekolahan RM150 bagi setiap murid dan dua kali pelaksanaan SARA Untuk Semua RM100 kepada semua rakyat 18 tahun ke atas, banyak pelepasan cukai diberikan untuk meringankan kos kehidupan rakyat M40. Antaranya kos pendidikan awal kanak-kanak (sehingga RM3,000), kos rawatan pemulihan anak kurang upaya pembelajaran (sehingga RM10,000), kos bayaran premium insurans/takaful (peluasan skop pelepasan meliputi anak), dan kos pembelian rumah pertama (pengecualian duti setem rumah pertama).

3. TUMPUAN BELANJAWAN 2027

Belanjawan 2027 dirangka berpandukan 10 bidang tumpuan sebagai hala tuju dasar dan agenda konsultasi bagi memandu penglibatan rakyat, perniagaan dan pihak berkepentingan. Kesemua bidang tumpuan ini kekal berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI serta keutamaan RMK13, dan akan diperhalusi berdasarkan maklum balas yang diterima sebelum dimuktamadkan dalam Belanjawan 2027.

Rakyat menjadi keutamaan merentas kesemua bidang tumpuan Belanjawan 2027. Setiap dasar, ikhtiar dan peruntukan membawa manfaat nyata kepada rakyat sama ada meringankan beban sara hidup, meningkatkan pendapatan, membuka peluang pekerjaan berkualiti dan menjamin kehidupan lebih bermaruah. Suara rakyat akan didengar, keresahan akan disantuni dan harapan akan diterjemah kepada tindakan. Belanjawan 2027 bertekad memastikan kemajuan ekonomi benar-benar dirasai dan kemakmuran negara dikongsi secara adil. Ini belanjawan yang lahir daripada denyut nadi rakyat, digerakkan untuk rakyat dan dipersembahkan demi masa depan rakyat.

Pertama: Keadilan Sosial dan Pembangunan Untuk Semua

Pembangunan terangkum menuntut agar setiap negeri, wilayah dan komuniti menikmati peluang ekonomi, perkhidmatan awam dan kemudahan asas yang berkualiti secara saksama. Belanjawan 2027 bertekad mengurangkan lagi jurang pembangunan wilayah dengan tumpuan kepada Sabah, Sarawak, desa, pedalaman dan komuniti yang masih berdepan kekurangan infrastruktur asas. Pada masa yang sama, strategi pembangunan disesuaikan dengan kekuatan dan potensi setiap negeri bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan mampan.

Pembangunan komuniti terus diperkasa sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat dan daya tahan ekonomi setempat. Keutamaan diberikan kepada pemerkasaan PMKS, koperasi, ekonomi sosial, belia, wanita dan komuniti rentan, di samping memperkukuh pembangunan berasaskan komuniti melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan masyarakat. Tumpuan turut diberikan bagi meningkatkan kemampuan memiliki dan menyewa rumah, memperkukuh pengangkutan awam, memperbaiki kebolehhunian bandar serta memastikan pembangunan lebih terancang dan inklusif.

Perpaduan nasional terus menjadi teras agenda pembangunan negara. Pengagihan peluang yang lebih adil, penyampaian perkhidmatan yang saksama serta penyertaan aktif komuniti dalam pembangunan akan mengeratkan hubungan antara wilayah dan kaum, serta memastikan setiap rakyat merasakan dirinya sebahagian daripada kemajuan negara.

Maklum balas awam diperlukan bagi tumpuan berikut:

  • Apakah sektor ekonomi atau kelebihan setempat yang wajar diperkasa bagi merancakkan pembangunan ekonomi mengikut potensi setiap negeri/wilayah?;

  • Bagi merapatkan kesenjangan ekonomi, bagaimana dapat dipertingkatkan penyertaan serta pemilikan Bumiputera dalam ekonomi?;

  • Bagaimanakah pembangunan komuniti, termasuk pemerkasaan belia, wanita, koperasi, PMKS, boleh diperkukuh bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat?; dan

  • Apakah langkah untuk meningkatkan kemampuan memiliki atau menyewa rumah, memperkukuh pengangkutan awam serta meningkatkan kebolehhunian bandar?

Kedua: Melindungi Rakyat Mendepani Cabaran Kos Sara Hidup

Tumpuan utama Kerajaan MADANI kekal untuk terus melindungi kebajikan rakyat. Penambahbaikan berterusan penyasaran subsidi dan bantuan sosial akan dilaksanakan menggunakan data diperolehi dan tahap kelayakan yang jelas.

Penilaian menyeluruh bebanan isi rumah akan dijalankan merangkumi makanan, perumahan, pengangkutan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak. Kerajaan komited menjelaskan secara telus bagaimana penjimatan fiskal daripada penyasaran subsidi disalurkan semula kepada program perlindungan rakyat dan pengukuhan perkhidmatan utama.

Kuasa beli golongan rentan terus dilindungi melalui STR, SARA dan BUDI MADANI; menstabilkan harga barangan keperluan melalui penguatkuasaan, Jualan Rahmah MADANI dan pengurusan bekalan strategik; serta meningkatkan pendapatan melalui gaji progresif, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan program penjanaan pendapatan komuniti seperti Sejati MADANI. Pengalaman krisis 2026 menunjukkan sistem subsidi dan bantuan bersasar berasaskan data mampu bertindak pantas melindungi golongan paling terkesan.

Persoalan untuk maklum balas awam seperti berikut:

  • Apakah tekanan kos sara hidup yang paling membebankan isi rumah dan wajar diberi keutamaan dalam Belanjawan 2027?;

  • Bagaimanakah bantuan dan subsidi Kerajaan boleh disasarkan dengan lebih baik agar tiada golongan yang memerlukan tercicir?;

  • Bagaimanakah bantuan Kerajaan boleh membantu penerima beralih kepada pekerjaan atau sumber pendapatan yang lebih mampan?; dan

  • Apakah bentuk perlindungan sosial yang perlu diperkukuh bagi membantu rakyat menghadapi kejutan ekonomi atau kehilangan pendapatan?

Ketiga: Memperkukuh Perlindungan Sosial Untuk Keluarga Terjejas

Mendepani perubahan demografi, Belanjawan 2027 akan menilai semula kecukupan dan kemampanan sistem perlindungan sosial negara, termasuk liputan di bawah KWSP, PERKESO dan skim berkaitan. Keutamaan diberikan kepada usaha memperluas perlindungan kepada pekerja tidak formal, pekerja gig dan golongan rentan agar lebih ramai rakyat mendapat jaringan keselamatan sosial yang mencukupi sepanjang kitaran kehidupan.

Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila sekitar 15% penduduk berusia 60 tahun ke atas. Maka dengan itu, persediaan perlu dimulakan dari sekarang bagi memastikan sistem persaraan, penjagaan kesihatan, ekonomi penjagaan dan sokongan komuniti mampu memenuhi keperluan masyarakat yang semakin menua.

Kerajaan juga akan memperkukuh pembangunan ekonomi penjagaan sebagai sektor pertumbuhan baharu melalui peningkatan kapasiti penjagaan jangka panjang, penjagaan berasaskan komuniti, pembangunan kemahiran tenaga kerja penjagaan, pemantapan piawaian perkhidmatan serta penyediaan sokongan yang lebih menyeluruh kepada wanita, ibu bapa tunggal, orang kurang upaya dan isi rumah yang memikul tanggungjawab penjagaan.

Persoalan untuk maklum balas rakyat:

  • Apakah langkah berkesan untuk memperluas perlindungan sosial kepada pekerja gig, pekerja tidak formal dan golongan bekerja sendiri secara mampan?;

  • Bagaimanakah kita boleh meningkatkan kecukupan simpanan persaraan dan menjamin kesejahteraan rakyat pada usia tua?;

  • Apakah langkah yang perlu diambil bagi membangunkan sektor penjagaan sebagai kerjaya profesional yang berkualiti dan memenuhi keperluan masyarakat yang semakin menua?; dan

  • Apakah bentuk sokongan yang paling diperlukan oleh individu atau keluarga yang memikul tanggungjawab penjagaan warga emas, orang kurang upaya atau ahli keluarga yang memerlukan penjagaan jangka panjang?

Keempat: Memperkasa Pendidikan, Kesihatan dan Perkhidmatan Asas Rakyat

Perkhidmatan asas berkualiti merupakan tunjang kepada kesejahteraan rakyat, peningkatan produktiviti dan keyakinan rakyat. Belanjawan 2027 terus memperkukuh sistem pendidikan, kesihatan dan penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap dan terangkum demi memastikan setiap rakyat mempunyai peluang yang saksama untuk meningkatkan taraf hidup.

Reformasi pendidikan perlu menekankan penguasaan literasi dan numerasi, TVET, STEM, digital dan AI, penguasaan bahasa serta pembangunan sahsiah. Majlis Pendidikan Negara mengemudi reformasi pendidikan selaras RMK13 terutamanya usaha merapatkan jurang pendidikan antara wilayah dan kumpulan sosioekonomi, sambil memastikan sistem pendidikan terus melahirkan bakat berkualiti tinggi.

Usaha tertumpu untuk memperluas akses perkhidmatan kesihatan mampu berkualiti, mengurangkan kesesakan fasiliti awam, memperkukuh tenaga kerja kesihatan dan meningkatkan pencegahan penyakit. Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta terus menerajui ikhtiar menangani peningkatan kos rawatan melalui kerjasama bersepadu sektor awam dan swasta.

Penyelenggaraan dan kefungsian sekolah, universiti, klinik, hospital dan kemudahan awam terus menjadi agenda utama, di samping memastikan akses mobiliti, air, elektrik dan jaringan internet untuk seluruh rakyat Malaysia.

Persoalan pokok untuk maklum balas rakyat:

  • Apakah penambahbaikan diperlukan dalam sistem pendidikan bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan melengkapkan murid dengan kemahiran masa depan?;

  • Bagaimanakah dapat ditambah baik akses perkhidmatan kesihatan berkualiti serta mengurangkan kesesakan di hospital awam dan kos rawatan?;

  • Apakah langkah boleh diambil bagi memperkukuh peranan institusi pengajian tinggi sebagai pemacu penyelidikan, daya cipta dan pembangunan bakat?; dan

  • Apakah penambahbaikan yang diperlukan dalam pendidikan tinggi bagi memastikan graduan memiliki kemahiran yang relevan dengan ekonomi masa hadapan, termasuk AI dan ekonomi digital?

Kelima: Perbelanjaan dengan Nilai Faedah Terbaik Untuk Rakyat

Krisis tenaga 2026 membuktikan betapa pentingnya negara mempunyai daya tahan fiskal. Hasil pengurusan kewangan yang berhemat membolehkan Kerajaan mempunyai ruang fiskal untuk melindungi rakyat apabila kejutan melanda.

Secara amnya, Kerajaan MADANI terus mengekalkan keseimbangan antara usaha disiplin fiskal dan keperluan menyokong pertumbuhan dan perbelanjaan awam. Keutamaan diberikan untuk menambah baik pengurusan subsidi, meningkatkan kecekapan perbelanjaan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat, meningkatkan pematuhan cukai, serta memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi nilai faedah terbaik kepada rakyat.

Nilai faedah terbaik tidak semata-mata bererti memilih perbelanjaan yang paling murah, tetapi memastikan setiap program dan projek benar-benar menyelesaikan masalah rakyat serta memberikan manfaat yang berkekalan. Peruntukan perlu disalurkan kepada keutamaan yang paling mendesak, termasuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, menyediakan infrastruktur asas serta memperkukuh perlindungan sosial dan peluang ekonomi rakyat.

Pada masa yang sama, ketirisan, pertindihan program dan kelewatan pelaksanaan perlu terus ditangani. Pemantauan berasaskan keberhasilan akan diperkukuh supaya kejayaan sesuatu perbelanjaan tidak hanya diukur berdasarkan jumlah yang dibelanjakan, tetapi berdasarkan perubahan nyata yang dirasai rakyat sama ada masa menunggu menjadi lebih singkat, kos dapat dikurangkan, pendapatan meningkat ataupun mutu perkhidmatan bertambah baik.

Persoalan yang dikemukakan untuk maklum balas ialah:

  • Bagaimanakah subsidi Kerajaan boleh disasarkan dengan lebih baik?;

  • Apakah bantuan atau insentif yang wajar ditambah baik agar lebih berkesan?; dan

  • Apakah jenis perbelanjaan Kerajaan yang wajar diberi keutamaan untuk manfaat terbaik kepada rakyat?

  • Bagaimanakah Kerajaan dapat mengukur keberhasilan sesuatu projek atau program supaya rakyat dapat menilai impaknya?

Keenam: Tatakelola dan Penyampaian Perkhidmatan Rakyat Yang Terbaik

Fasa seterusnya dalam agenda reformasi ialah beralih daripada penggubalan undang-undang kepada pelaksanaan yang boleh diukur dan pengalaman rakyat yang lebih baik. Ini merangkumi pemerkasaan reformasi fiskal, perolehan, audit, pembanterasan rasuah dan kecekapan perkhidmatan awam, serta pengurangan beban peraturan dan tempoh kelulusan, terutamanya bagi pelaburan dan pengembangan perniagaan.

Belanjawan 2027 akan terus memperluas inisiatif GovTech, identiti digital, penyepaduan data merentas agensi dan perkhidmatan awam digital hujung-ke-hujung. Prestasi kementerian dan agensi akan diperkukuh termasuk penerbitan petunjuk penyampaian utama (KPI) untuk penilaian awam. Prestasi penyampaian mestilah menjadi budaya, dan tidak hanya sekadar sasaran.

Rangka perundangan reformasi sebahagian besarnya telah tersedia seperti Akta 850, Akta 882 dan pindaan Akta Audit. Agenda pengukuhan institusi akan diteruskan menerusi agenda reformasi Parlimen serta penggubalan antaranya RUU Entiti Milik Kerajaan, RUU Ombudsman dan RUU Kebebasan Maklumat, bagi melengkapi komitmen Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024–2028. Cabaran paling utama di sebalik segala dasar ialah penyampaian.

Persoalan yang dikemukakan untuk maklum balas rakyat:

  • Apakah pengalaman berurusan dengan Kerajaan yang paling mendugakan, dan apakah penambahbaikan yang perlu diberi keutamaan?;

  • Proses kelulusan atau urusan Kerajaan manakah yang paling membebankan rakyat dan perniagaan; lalu perlu segera dipermudah atau didigitalkan?;

  • Apakah langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam penyampaian perkhidmatan awam?;

  • Bagaimanakah Kerajaan boleh meningkatkan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam?; dan

  • Apakah jenis pembaharuan tatakelola yang penting bagi melindungi kepentingan rakyat?

Ketujuh: Mengutama Kebajikan Pekerja dan Tahap Gaji Bermaruah

Peningkatan taraf industri mesti diterjemah kepada produktiviti buruh yang lebih tinggi, gaji yang bermaruah dan lebih baik serta mobiliti pekerja yang lebih luas. Belanjawan 2027 akan memperluas TVET yang diterajui industri, program perantisan dan latihan semula yang diselaraskan dengan sektor strategik, di samping literasi AI, keupayaan digital dan pembelajaran sepanjang hayat untuk pekerja dan PKS.

Penyertaan majikan dalam kurikulum, peralatan latihan dan penempatan pekerjaan akan dipergiat. Kebergantungan berlebihan kepada buruh asing berkemahiran rendah akan terus dikurangkan menerusi automasi dan perancangan tenaga kerja yang lebih baik supaya pertumbuhan ekonomi dinikmati menerusi gaji rakyat yang meningkat. Pertumbuhan gaji mampan hanya boleh dicapai menerusi peningkatan produktiviti.

Bagi mengoptimumkan sumbangan wanita kepada ekonomi, sasaran 60% penyertaan wanita dalam tenaga buruh terus diberi tumpuan merangkumi pelaburan infrastruktur penjagaan kanak-kanak berkualiti dan berpatutan, galakan pengaturan kerja fleksibel, insentif majikan mengambil wanita kembali bekerja serta program kemahiran dan keusahawanan wanita.

Pandangan diperlukan bagi bidang tumpuan ini mencakup persoalan:

  • Bagaimana negara dapat mengurangkan pengangguran belia?

  • Apakah penambahbaikan boleh dilakukan bagi memastikan TVET dan program perantisan memenuhi keperluan industri serta kebolehpasaran graduan?

  • Apakah bentuk insentif paling berkesan untuk mendorong majikan melabur dalam peningkatan kemahiran pekerja serta pelaksanaan AI dan pendigitalan?

  • Apakah langkah paling berkesan untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi?

  • Apakah bentuk sokongan paling diperlukan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh?

Kelapan: Usahawan Anak Tempatan Berdaya Saing dan "Made by Malaysia"

Malaysia perlu memperkasakan lebih banyak syarikat tempatan yang mampu berinovasi, berkembang dan bersaing di pasaran ASEAN dan global. Belanjawan 2027 terus menumpukan kepada pembiayaan peringkat pertumbuhan bagi syarikat mula niaga dan pertengahan, PKS inovatif, serta kepelbagaian pasaran eksport.

Usahawan tempatan masih berdepan cabaran untuk memulakan perniagaan, meningkatkan skala operasi, menembusi pasaran baharu dan bertahan dalam persaingan antarabangsa. Oleh itu, sokongan Kerajaan perlu merangkumi akses kepada pembiayaan, teknologi, bakat, pensijilan, rangkaian pemasaran dan peluang menembusi rantaian bekalan syarikat besar serta pasaran global.

Perolehan Kerajaan dan GLIC dimanfaat secara berdisiplin sebagai pemangkin kepada inovasi tempatan, tertakluk kepada nilai faedah terbaik yang dapat dibuktikan. Anak tempatan yang berkeupayaan perlu diberikan ruang membuktikan mutu produk dan perkhidmatan, membina rekod prestasi serta berkembang menjadi peneraju industri tanpa mengabaikan prinsip persaingan, ketelusan dan tatakelola baik.

Laluan penyelidikan universiti dan R&D awam kepada penggunaan komersial terus diperkukuh sebagaimana diperkenalkan dalam Belanjawan 2026. Aspirasi “Made by Malaysia” diperkukuh bagi menghasilkan produk, teknologi dan harta intelek yang direka, dibangunkan serta dimiliki oleh rakyat Malaysia, serta seterusnya mencipta pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan pendapatan dan menjana kekayaan negara.

Konsultasi bidang tumpuan ini menumpukan kepada persoalan:

  • Apakah bentuk pembiayaan atau sokongan yang paling diperlukan bagi membantu syarikat tempatan berkembang dan bersaing di peringkat serantau serta global?;

  • Apakah cabaran utama yang menghalang syarikat tempatan daripada berkembang ke pasaran antarabangsa?;

  • Bagaimana pelaburan Kerajaan dan GLIC boleh dimanfaat untuk memperkukuh syarikat tempatan yang inovatif serta produk "Made by Malaysia"?; dan

  • Apakah langkah terbaik mempercepat pengkomersialan hasil penyelidikan universiti dan institusi penyelidikan awam?

Kesembilan: Pertumbuhan Melalui Pelaburan dan Pekerjaan Bernilai Tinggi

Penekanan diberikan kepada pelaburan yang benar-benar direalisasikan iaitu yang mewujudkan rantaian bekalan tempatan, meningkatkan produktiviti dan menjana pekerjaan berkualiti. Insentif pelaburan berasaskan keberhasilan terus diperkukuh bersama pemudahcaraan pascakelulusan, pembangunan pembekal tempatan, pemindahan teknologi dan pengkomersialan R&D.

Sektor strategik terus ditumpukan seperti semikonduktor, AI, perkhidmatan digital, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa selaras dasar-dasar Kerajaan MADANI iaitu NIMP 2030, NETR, NSS, Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030, AI Untuk Rakyat, Pelan KL20, PuTERA35 dan GEAR-uP. Kerajaan akan memperkukuh pemantauan pelaburan dari awal hingga akhir, dan menangani kekangan pelaksanaan seperti proses kelulusan tanah dan utiliti serta bekalan bakat.

Kesan berganda pelaburan akan dipupuk melalui pendigitalan dan akses pembiayaan PMKS termasuk skim jaminan BNM-CGC RM10 bilion pascakrisis, Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi sektor pelancongan, pengukuhan ekonomi halal dan kewangan Islam, serta hab wilayah seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JSSEZ), Kulim Hi-Tech Park, Pulau Silikon Pulau Pinang dan koridor ekonomi Sabah dan Sarawak.

Pembangunan terus berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) agar tidak hanya pesat, malah mampan dan bertanggungjawab kepada generasi akan datang. Susulan kedudukan ke-15 dunia dalam Laporan Daya Saing IMD 2026, Pasukan STAR akan meneruskan usaha ke arah penanda aras 12 teratas di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.

Persoalan untuk maklum balas rakyat:

  • Apakah insentif yang perlu diberi keutamaan dalam menarik pelaburan yang mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan memanfaat syarikat tempatan?;

  • Bagaimanakah syarikat tempatan, khususnya PMKS, boleh mendapat lebih banyak manfaat daripada pelaburan asing yang masuk ke Malaysia?; dan

  • Apakah aspek yang perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan lagi daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan?

Kesepuluh: Membina Keterjaminan Tenaga, Makanan, Iklim dan Siber

Krisis tenaga 2026 menegaskan keperluan membina keupayaan negara menghadapi kejutan geopolitik, iklim, teknologi dan komoditi. Belanjawan 2027 akan memperkukuh usaha peralihan kepada tenaga bersih; mempertingkatkan produktiviti agromakanan dan teknologi pertanian, serta mempercepat rancangan tebatan banjir, kesiapsiagaan bencana dan adaptasi terhadap perubahan iklim.

Keselamatan siber, pencegahan penipuan dalam talian, daya tahan data dan perlindungan prasarana kritikal turut diangkat sebagai komponen keselamatan negara, memandangkan ancaman digital kini memberi kesan langsung kepada rakyat, perniagaan dan kestabilan sistem kewangan.

Dalam aspek tenaga khususnya, pelaksanaan NETR terus dipercepat: kapasiti tenaga boleh baharu dan sistem storan tenaga bateri, penggredan semula grid nasional dan sambungan grid ASEAN, kecekapan tenaga di bawah Akta Kecekapan Tenaga dan Konservasi (EECA) 2024, serta pembangunan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan hidrogen di bawah Akta CCUS 2025 merupakan anjakan ke arah kedaulatan tenaga negara. Insentif pelaburan pusat data akan diselaras dengan komitmen kecekapan tenaga dan air supaya pertumbuhan ekonomi digital tidak menekan bekalan dan kos rakyat. Pengajaran krisis 2026 akan diterjemahkan kepada dasar kesiapsiagaan yang kekal.

Persoalan untuk maklum balas rakyat:

  • Apakah langkah yang memperkukuh keselamatan tenaga negara dan mengurangkan risiko gangguan bekalan pada masa hadapan?

  • Apakah langkah yang memperkukuh keterjaminan makanan negara serta menstabilkan bekalan dan harga makanan?

  • Apakah langkah yang meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi banjir, cuaca ekstrem dan perubahan iklim?

  • Bagaimanakah rakyat dan perniagaan dapat dilindungi daripada sebarang ancaman siber?

4. PENUTUP

Kesepuluh-sepuluh bidang tumpuan ini dikemukakan untuk diperhalusi bersama rakyat. Kerajaan mengalu-alukan pandangan mengenai keutamaan, reka bentuk program dan pertimbangan pelaksanaan bagi setiap bidang, dan akan meneliti serta menterjemah input diterima ke dalam langkah konkrit Belanjawan 2027.

Tahun 2026 menguji daya tahan negara. Krisis tenaga membuktikan pembaharuan yang dilaksanakan sejak Belanjawan MADANI pertama telah menjadi benteng pertahanan ekonomi dan rakyat. Untuk tahun kelima berturut-turut, Belanjawan MADANI meneruskan agenda memperbetul struktur yang sekian lama menghalang Malaysia mencapai potensi sepenuhnya, sambil memastikan rakyat terus dilindungi.

Walaupun berhadapan pelbagai cabaran dalaman dan luaran termasuk krisis tenaga global dan tekanan kos sara hidup, Kerajaan optimis bahawa Belanjawan 2027 akan membawa Malaysia selangkah lebih dekat kepada merealisasikan visi Ekonomi MADANI sepenuhnya. Kejayaan ini perlu merangkul seluruh kekuatan dan tenaga Malaysia: rakyat, Kerajaan, industri dan masyarakat sivil untuk berganding bahu, menghayati nikmat perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi teras identiti nasional dan asas pembangunan yang mampan dan terangkum.

Kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen pada 9 Oktober 2026. Kementerian Kewangan akan menyelaras penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dan orang awam untuk mendapatkan input belanjawan selaras dengan keutamaan Ekonomi MADANI. Kerajaan komited menterjemah input yang diterima ke dalam Belanjawan 2027, terutamanya yang dapat menyokong keselamatan tenaga, kos sara hidup, pemerkasaan ekonomi dan tatakelola baik.

Sebarang maklum balas dan cadangan mengenai Belanjawan 2027 boleh disalurkan melalui Portal Belanjawan di laman sesawang https://belanjawan.mof.gov.my yang akan mula dibuka pada 18 Ogos 2026.


Kementerian Kewangan
18 Ogos 2026

↓ Muat turun: Kenyataan-Prabelanjawan-2027

Arkib Siaran Media