Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% pada suku ketiga 2025 (S3 2025) (S2 2025: 4.4%) dipacu oleh prestasi kukuh merentas semua sektor. Permintaan domestik yang berdaya tahan terus menjadi peneraju pertumbuhan meskipun berdepan halangan luaran dan ketidaktentuan global.
Permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan mencatat sebanyak 5.8% (S2 2025: 7%) disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan serta inflasi yang terkawal. Pada masa yang sama, usaha berterusan oleh Kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat serta disokong oleh program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut menyumbang kepada perbelanjaan pengguna.
Pertumbuhan juga didorong oleh peningkatan eksport yang sebahagiannya mencerminkan impak aktiviti perdagangan yang dilakukan lebih awal (front-loading). Bagi sembilan bulan pertama 2025, ekonomi berkembang sebanyak 4.7% sekali gus membuktikan daya tahan dan asas negara yang kukuh dalam menghadapi cabaran global.
“Prestasi suku tahunan yang kukuh meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk mencapai paras tinggi sasaran pertumbuhan 2025 sebanyak 4.0% hingga 4.8%. Dengan permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh yang stabil dan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan dan nilai yang tinggi, Kerajaan sedang membina asas yang kukuh untuk momentum ekonomi yang mampan sepanjang tahun ini,” kata YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Dari segi penawaran, pertumbuhan pada S3 2025 didorong oleh sektor perkhidmatan (5.0%) dan pembuatan (4.1%) manakala sektor perlombongan mencatatkan pemulihan yang ketara (9.7%). Perkembangan dalam sektor perkhidmatan disumbangkan oleh subsektor makanan & minuman dan penginapan serta pengangkutan & penyimpanan. Sektor pembuatan mengekalkan pertumbuhan yang stabil disokong oleh industri berorientasikan eksport dan domestik. Sektor perlombongan kembali pulih didorong oleh pengeluaran gas asli dan minyak mentah & kondensat yang lebih tinggi.
Prestasi suku ketiga adalah selaras dengan petunjuk ekonomi yang bertambah baik termasuk:
Kerajaan MADANI terus komited untuk memajukan agenda kerangka Ekonomi MADANI dengan melaksanakan pembaharuan struktur dan fiskal bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing serta menggalakkan pendigitalan dan pelaburan berkualiti tinggi. Kerajaan kekal teguh dalam usaha untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8% pada tahun 2025 dan 3.5% pada tahun 2026.
Melangkah ke hadapan, Rancangan Malaysia Ketiga Belas dan Belanjawan MADANI Keempat akan memacu trajektori ekonomi dan terus menyokong usaha untuk melindungi kesejahteraan rakyat di samping memastikan limpahan manfaat pertumbuhan terus dinikmati bersama.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
15 November 2025
↓ Muat turun:Siaran-Media-S3-2025-KDNK