Pilih bahasa anda
YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hari ini meneruskan sesi libat urus bersama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi mendapatkan gambaran langsung cabaran di lapangan, serta merangka langkah segera bagi membantu perniagaan yang terkesan susulan krisis tenaga global yang menekan kos operasi dan mengganggu rantaian bekalan.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada gerak kerja berterusan Kerajaan MADANI sejak awal krisis. Minggu lalu, YAB Dato’ Seri Anwar menyantuni PMKS Bumiputera, dan hari ini diperluaskan kepada komuniti Cina dan India, menegaskan tiada segmen ekonomi dipinggirkan dan setiap suara didengar serta dibantu secara bersasar.
“Dalam keadaan tekanan global yang kian meruncing, Kerajaan MADANI tidak berlengah sebaliknya setiap tindakan segera digerakkan berpandu maklum balas secara terus daripada pemain industri, bagi memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.
Tempias konflik Asia Barat kini memberi kesan meluas kepada ekonomi global melalui gangguan bekalan tenaga, peningkatan kos logistik dan insurans, serta tekanan berterusan terhadap harga input yang ditanggung peniaga, pengilang, peladang dan pemain industri lain.
Berpandukan input langsung daripada PMKS, Kerajaan hari ini mengumumkan beberapa langkah segera bagi meringankan tekanan kos dan memastikan kelangsungan perniagaan:
Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP)
Setakat ini, skim SJPP terus menjadi antara instrumen utama Kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS, dengan lebih 50,000 PMKS telah dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Kelonggaran e-invois
Pengecualian Duti Import untuk Pengimportan Semula
YAB Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan, Kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan para usahawan agar setiap langkah yang diambil benar-benar membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat. Ini bukan situasi sementara; kita perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan,” tambah beliau.
Sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, Kerajaan bertekad untuk terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global, sambil memastikan bantuan disampaikan secara bersasar kepada mereka yang paling memerlukan.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
20 April 2026
↓ Muat turun: Siaran-Media-Perdana-Menteri-Umum-Langkah-Untuk-PMKS-20042026