Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Soalan Lazim

Soalan Lazim : Peluasan Skop Perkhidmatan Bercukai Dan Perubahan Kadar Cukai Perkhidmatan

Soalan Lazim : Peluasan Skop Perkhidmatan Bercukai Dan Perubahan Kadar Cukai Perkhidmatan

1. Apakah itu cukai perkhidmatan?

Cukai perkhidmatan (CP) adalah cukai yang dikenakan ke atas perkhidmatan bercukai tertentu (prescribed services). Cukai perkhidmatan juga dikenakan ke atas perkhidmatan bercukai yang diimport (B2B) dan perkhidmatan digital (B2C).

2. Apakah perkhidmatan yang dikenakan cukai perkhidmatan?

  1. CP dikenakan ke atas perkhidmatan bercukai yang disenarai berdasarkan kepada sembilan (9) kumpulan dalam Jadual Pertama, Peraturan- peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 dengan kadar semasa bermula 1 September 2018 seperti berikut:

    Kumpulan Perkhidmatan Bercukai (berkuat kuasa 2018) Kadar Semasa
    Kumpulan A: Hotel, pangsapuri servis dan rumah inapan 6%
    Kumpulan B: Restoran, bar atau kedai kopi 6%
    Kumpulan C: Kelab malam, dewan tari menari, kabaret, pusat kesejahteraan, rumah urut 6%
    Kumpulan D: Kelab persendirian termasuk rumah kelab berdasarkan keahlian, profesion atau kelas 6%
    Kumpulan E: Padang golf atau lapang sasar golf 6%
    Kumpulan F: Pertaruhan, ambil tagan, loteri, mesin perjudian, atau permainan mengadu nasib 6%
    Kumpulan G: Profesional
    • Perundangan
    • Perakaunan
    • Penilaian/ Penaksiran
    • Kejuruteraan, Seni bina
    • Perundingan, latihan & tunjuk ajar
    • Teknologi maklumat (IT)/ Digital
    • Perkhidmatan pengurusan (penyenggaraan, penggudangan, kutipan & hutang, tempat letak kereta, kemudahan sukan dan kesetiausahaan)
    • Perkhidmatan pekerjaan
    • Perkhidmatan pengawal/ perlindungan (sekuriti)
    6%
    Kumpulan H: Perkhidmatan kad kredit, atau kad caj RM25/setahun
    Kumpulan I: Penyedia Perkhidmatan Lain
    • Insurans & takaful
    • Telekomunikasi
    • Agen Kastam
    • Penyedia ruang letak kenderaan
    • Servis kenderaan bermotor
    • Perkhidmatan kurier
    • Perkhidmatan kereta sewa dan pandu, kereta sewa, dan bas persiaran
    • Pengiklanan
    • Bekalan elektrik domestik >600kWh
    • Pengangkutan penumpang udara tempatan kecuali Rural Air Services (RAS)
    • Pembrokeran & penajajaminan (berhubung kewangan)
    • Pembersihan
    6%
  2. CP juga dikenakan ke atas perkhidmatan bercukai yang diimport bermula 1 Januari 2019 dan perkhidmatan digital (service tax on digital services – SToDS) bermula 1 Januari 2020..

3. Apakah perkhidmatan baharu yang akan dikenakan cukai perkhidmatan?

Perkhidmatan baharu adalah seperti berikut:

  1. Perkhidmatan pusat karaoke di bawah Kumpulan C;
  2. Perkhidmatan pembrokeran dan penajajaminan untuk perkhidmatan selain kewangan seperti broker kapal/kapal terbang, komoditi dan harta tanah di bawah Kumpulan I
  3. Perkhidmatan logistik di bawah Kumpulan J.
  4. Perkhidmatan penyenggaraan atau pembaikan di bawah Kumpulan G

4. Berapakah kadar cukai baharu cukai perkhidmatan yang dicadangkan dalam Belanjawan 2024?

  1. Semua perkhidmatan bercukai dikenakan kadar cukai baharu iaitu 8% kecuali untuk perkhidmatan berikut:

    1. Perkhidmatan penyediaan makanan atau minuman di bawah Kumpulan B;
    2. Perkhidmatan telekomunikasi di bawah Kumpulan I;
    3. Perkhidmatan penyediaan ruang parkir kenderaan di bawah Kumpulan I; dan
    4. Perkhidmatan logistik di bawah Kumpulan J.

  2. Kadar CP ke atas perkhidmatan di bawah Kumpulan B iaitu makanan dan minuman, perkhidmatan telekomunikasi, penyediaan ruang parkir kenderaan serta perkhidmatan logistik kekal dikenakan kadar cukai 6%.
  3. Kadar cukai untuk kad kredit dan kad caj kekal dikenakan pada RM25/setahun.

5. Ringkasan peluasan skop perkhidmatan bercukai berkuat kuasa pada 26 Februari 2024 dan tarikh kuat kuasa kadar cukai adalah pada 1 Mac 2024. Jadual kumpulan perkhidmatan bercukai adalah seperti di bawah:

Kumpulan Perkhidmatan Bercukai berkuat kuasa pada 26 Februari 2024 Cadangan
Peluasan Skop Kadar Baharu
Kumpulan A: Hotel, pangsapuri servis dan rumah inapan   8%
Kumpulan B: Restoran, bar atau kedai kopi   6%
Kumpulan C: Kelab malam, dewan tari menari, kabaret, pusat kesejahteraan, rumah urut Pusat Karaoke 8%
Kumpulan D: Kelab persendirian termasuk rumah kelab berdasarkan keahlian, profesion atau kelas   8%
Kumpulan E: Padang golf atau lapang sasar golf   8%
Kumpulan F: Pertaruhan, ambil tagan, loteri, mesin perjudian, atau permainan mengadu nasib   8%
Kumpulan G: Profesional
  • Perundangan
  • Perakaunan
  • Penilaian/ Penaksiran
  • Kejuruteraan, Seni bina
  • Perundingan, latihan & tunjuk ajar
  • Teknologi maklumat (IT)/ Digital
  • Perkhidmatan pengurusan (penyenggaraan, penggudangan, kutipan & hutang, tempat letak kereta, kemudahan sukan dan kesetiausahaan)
  • Perkhidmatan pekerjaan
  • Perkhidmatan pengawal/ perlindungan (sekuriti)
Perkhidmatan penyenggaraan atau pembaikan 8%
Kumpulan H: Kad kredit atau kad caj   Kekal RM25
Kumpulan I: Penyedia Perkhidmatan Lain
  • Insurans & takaful
  • Telekomunikasi
  • Agen Kastam
  • Penyedia ruang (parkir) letak kenderaan
  • Servis kenderaan bermotor
  • Perkhidmatan kurier
  • Perkhidmatan kereta sewa dan pandu, kereta sewa, dan bas persiaran
  • Pengiklanan
  • Bekalan elektrik domestik >600kWh
  • Pengangkutan penumpang udara tempatan kecuali RAS
  • Pembrokeran & penajajaminan (berhubung kewangan)
  • Pembersihan
Pembrokeran & penajajaminan (peluasan ke atas perkhidmatan selain kewangan seperti kapal/kapal terbang, komoditi dan harta tanah)

Semua dinaikkan kepada kadar cukai perkhidmatan 8% kecuali perkhidmatan berikut kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6%:

  1. Perkhidmatan telekomunikasi
  2. Penyedia ruang (parkir) kenderaan; dan
  3. Makanan dan minuman (F&B)
Kumpulan J: Perkhidmatan logistik
  • perkhidmatan logistik termasuk keseluruhan atau sebahagian daripada rantaian bekalan perkhidmatan pengurusan logistik, perkhidmatan penggudangan atau pengurusan penggudangan, perkhidmatan penghantaran fret, perkhidmatan pelabuhan atau lapangan terbang, perkhidmatan perkapalan, perkhidmatan penerbangan atau perkhidmatan kemudahan rantaian sejuk
  • perkhidmatan penghantaran, pengedaran atau pengangkutan barang
  • perkhidmatan penghantaran, pengedaran atau pengangkutan barang, dokumen atau bungkusan melalui platform E-Dagang termasuk bagi pihak mana-mana orang
  • perkhidmatan kiriman cepat yang dilesenkan di bawah seksyen 10 Akta Perkhidmatan Pos 2012 [Akta 741]
  • Ejen kastam
  6%

6. Bilakah tarikh kuat kuasa pelaksanaan peluasan skop dan kenaan kadar cukai baharu?

  1. Tarikh kuat kuasa pelaksanaan peluasan skop: 26 Feb 2024
  2. Tarikh kuat kuasa kadar cukai baru : 1 Mac 2024

7. Apakah nilai ambang (threshold) yang ditetapkan?

  1. Bagi tujuan pendaftaran, threshold yang ditetapkan adalah RM500,000 berdasarkan keseluruhan nilai perkhidmatan bercukai yang disediakan; dan
  2. Pengiraan threshold adalah berdasarkan kepada jumlah nilai semua perkhidmatan yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan kepada pengguna dalam tempoh masa 12 bulan.

8. Apakah justifikasi/ rasional peluasan skop dan perubahan kadar cukai perkhidmatan?

  1. Selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI di bawah Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan, langkah reformasi percukaian perlu dilaksanakan bagi meluaskan asas hasil negara yang akan dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat. Langkah ini termasuk peluasan skop dan perubahan kadar CP.
  2. Peluasan skop perkhidmatan ke atas kumpulan perkhidmatan sedia secara amnya untuk menyelaraskan dan memberikan layanan sama rata dalam industri yang sama. Sebagai contoh:
    • Perkhidmatan baharu pusat karaoke yang berunsur hiburan sama seperti dengan kelab malam, dewan tari menari & kabaret di bawah Kumpulan C.
    • Perkhidmatan pembrokeran dan penajajaminan yang pada masa ini hanya dikenakan ke atas perkhidmatan kewangan diperluas untuk meliputi industri pembrokeran lain seperti broker kapal/kapal terbang, komoditi dan harta tanah.
  3. Perubahan kadar CP daripada 6% kepada 8% tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini. Sebagai contoh perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6%. Ini termasuk perkhidmatan baharu iaitu logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6%.

9. Apakah peluasan skop perkhidmatan bercukai dan kenaikan kadar cukai perkhidmatan menyebabkan kenaikan harga barang? Apakah langkah proaktif untuk mengekang peningkatan kos barang?

  1. Cukai kepenggunaan di Malaysia yang merupakan cukai seperingkat ditadbir oleh dua perundangan berbeza iaitu Akta Cukai Jualan 2018 dan Akta Cukai Perkhidmatan 2018. Cukai jualan dikenakan dan dilevi ke
    atas:
    1. barang bercukai yang dikilangkan di Malaysia; dan
    2. barang bercukai yang diimport. Manakala, CP dikenakan ke atas perkhidmatan bercukai tertentu (prescribed services), perkhidmatan bercukai yang diimport dan perkhidmatan digital (SToDS).
  2. Di bawah perundangan cukai perkhidmatan semasa, terdapat kemudahan pelepasan kumpulan (group relief) dan pengecualian B2B (B2B exemption) yang bertujuan untuk mengurangkan impak cukai berganda (tax on tax) ke atas perkhidmatan bercukai tertentu.
  3. Cadangan peluasan skop dan perubahan kadar CP bukan merupakan faktor utama peningkatan kos barang kerana terdapat faktor-faktor lain yang lebih cenderung mempengaruhi harga barang antaranya faktor permintaan dan penawaran, tukaran wang asing termasuk sikap peniaga yang ingin mengambil kesempatan untu mengaut keuntungan secara berlebihan.
  4. Sebagai langkah proaktif, pengguna perlu bijak mengambil tindakan antaranya seperti berikut:
    1. Membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia.
    2. Memboikot penyedia perkhidmatan yang menawarkan harga tidak berpatutan.
    3. Mendapatkan sesuatu perkhidmatan atau membeli barang apabila benar-benar perlu.
    4. Membuat perbandingan harga/ kajian pasaran terlebih dahulu bagi mendapatkan nilai untuk wang (value for money).
    5. Viral (tular).

10. Kemudahan pelepasan kumpulan (group relief) dan pengecualian B2B (B2B exemption)

  1. Kemudahan group relief telah disediakan di bawah Perenggan 3 Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 bagi penyediaan perkhidmatan bercukai di bawah butiran (a), (b), (c), (d), (e), (f), (g),(h), (i) atau (l) dalam ruang (2) dalam Kumpulan G. Melalui kemudahan ini, syarikat diberi pengecualian dari membayar CP ke atas perkhidmatan bercukai yang diperolehi dari syarikat dalam kumpulan syarikat yang sama.
  2. Kemudahan pengecualian B2B diberikan kepada penyedia perkhidmatan profesional – Kumpulan G (tidak termasuk perkhidmatan agensi pekerjaan dan agensi keselamatan), logistik (Kumpulan J) serta
    perkhidmatan pengiklanan (Kumpulan I) yang mendapatkan perkhidmatan yang sama daripada penyedia perkhidmatan yang lain. Kemudahan ini disediakan di bawah Perintah Cukai Perkhidmatan
    (Orang Yang Dikecualikan Daripada Pembayaran Cukai) 2018.

Muat Turun: Soalan Lazim : Peluasan Skop Perkhidmatan Bercukai Dan Perubahan Kadar Cukai Perkhidmatan

 

Logo Accessibility