Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Kewangan 2023

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Kewangan 2023

TEKS UCAPAN
YB SENATOR DATUK SERI AMIR HAMZAH AZIZAN
MENTERI KEWANGAN II

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2023
PERBENDAHARAAN MALAYSIA
LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA

DEWAN UTAMA
KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN
6 JUN 2024

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Malaysia MADANI.

Salutasi

YB Puan Lim Hui Ying
Timbalan Menteri Kewangan

YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Setiausaha-setiausaha Bahagian, Ketua-ketua Unit,

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.


  1. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita dapat berkumpul pada hari yang berbahagia ini untuk meraikan pencapaian cemerlang 131 warga Kementerian Kewangan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023.

  2. Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima APC pada hari ini. Pencapaian anda adalah bukti dedikasi, ketekunan dan profesionalisme yang tinggi dalam menjalankan tugas.

  3. Sumber tenaga manusia yang berkualiti adalah aset terbesar negara dan Kementerian komited untuk meningkatkan kebolehan dan kemahiran warga kerja dengan menyediakan peluang pembelajaran dan perkembangan profesional yang berterusan.

  4. Sebagai penjawat awam di Kementerian Kewangan, kita memikul tanggungjawab dan amanah yang sangat besar. Dalam suasana ekonomi yang mencabar, kita perlu sentiasa berinovasi untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kewangan negara. Setiap individu di Perbendaharaan berperanan penting dalam menyusun dan melaksanakan polisi dan inisiatif yang mempengaruhi setiap rakyat Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

  1. Seperti yang telah diumumkan baru-baru ini, Ekonomi Malaysiapada suku pertama 2024 (S1 2024) berkembang sebanyak 4.2%.Ini didorong oleh pemulihan prestasi eksport dan permintaan domestik yang rancak. Kerajaan MADANI optimis Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara berada pada kedudukan yang baik danakan berkembang pada kadar unjuran rasmi antara 4% hingga 5% bagi tahun 2024.

  2. Prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan ini membuktikan bahawa dasar Kerajaan yang berkesan serta pengurusan ekonomi yang baik telah memangkin pertumbuhan. Kerajaan MADANI telah memulakan reformasi dasar yang menyeluruh serta komited melaksanakan agenda reformasi bagi mentransformasi ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam.

  3. Peningkatan momentum ekonomi mencerminkan asas negara yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi domestik, serta diperhebat dengan Kerangka Ekonomi MADANI.

  4. Pada ketika ini Kementerian Kewangan diberikan kepercayaan untuk menjadikan kerangka Ekonomi Madani satu kenyataan. Kita sedang giat mengusahakan 3 perkara:

    1. Menaikkan siling, dalam kata lain menambahkan pendapatan negara.
    2. Menaikkan lantai, iaitu menambahkan pendapatan rakyat dan menyediakan perlindungan sosial yang lebih baik.
    3. Menambah baik tata kelola dalam semua urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan.

  5. Salah satu reformasi dasar yang akan dilaksanakan tidak lama lagi ialah penyasaran semula subsidi diesel yang merangkumi ketiga-tiga aspek yang saya sebutkan tadi. Pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel dapat memberikan struktur fiskal negara yang lebih mampan, memberikan perlindungan sosial yang lebih baik melalui subsidi bersasar, dan mengekang ketirisan yang berleluasa. Dalam hal ini, penjawat awam bertanggungjawab menyampaikan gambaran sebenar kepada orang sekeliling mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  1. Kerajaan telah melancarkan pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi dan kebajikan masyarakat, termasuklah kepada penjawat awam. Sebelum ini, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kenaikan gaji lebih 13 peratus membabitkan peruntukan melebihi RM10 bilion bermula Disember tahun ini.

  2. Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggunakan kriteria dan ukuran baharu iaitu pendapatan menyeluruh termasuk gaji dan elaun tetap, melebihi RM2,000. Keputusan ini adalah reaksi terhadap keperluan bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat serta daya saing bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara lebih inklusif, kukuh serta mampan.
  3. Keputusan menaikkan gaji penjawat awam adalah langkah progresif untuk membangun kelestarian ekonomi negara di samping membantu mengurangkan tekanan kewangan yang dialami penjawat awam, terutama dalam konteks kenaikan kos sara hidup.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  1. Penjawat awam memainkan peranan yang amat penting dalammemastikan kelangsungan dan keberkesanan pentadbiransesebuah negara. Penjawat awam diiktiraf sebagai tulang belakangkerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat danmemenuhi keperluan serta harapan masyarakat.

  2. Aspek kejujuran dan integriti adalah ciri penting kepada penjawat awam. Dalam memastikan akauntabiliti dan kepercayaan awam terpelihara, kita perlu sentiasa menunjukkan standard tinggi dalam amalan tugasan mereka.

  3. Kerajaan memberikan sokongan dalam pembangunan kemahiran, sistem ganjaran adil serta persekitaran kerja kondusif yang membolehkan kreativiti dan inovasi berkembang.

  4. Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang berusaha gigih menjayakan majlis ini. Kepada para penerima anugerah, saya ucapkan tahniah dan semoga konsisten dalam memberikan khidmat dan bakti yang terbaik kepada negara.

  5. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi untuk kita semua bekerja dengan lebih tekun dan berdedikasi dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negara.

 

Sekian terima kasih.

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility