Bengkel Pengurusan Kewangan My Money & Me Sempena Global Money Week 2022
TEKS UCAPAN
YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL BIN TENGKU ABDUL AZIZ
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
BENGKEL PENGURUSAN KEWANGAN
MY MONEY & ME SEMPENA GLOBAL MONEY WEEK 2022
26 MAC 2022 (SABTU)
SECARA MAYA
myevents.mfpc.org.my
YANG BERUSAHA ENCIK VINCENT KWO SHIH KANG
Presiden, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC)
YANG BERUSAHA PUAN CHUNG KAR YIN
Pengarah Urusan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC)
Hadirin yang dihormati sekalian,
Assalamualaikum WBT dan Salam Keluarga Malaysia.
- Alhamdulillah serta syukur kepada Allah Subhanahuwataa'la kerana kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini untuk mengikuti program ilmiah pada pagi Sabtu ini. Program hari ini diadakan sempena Global Money Week 2022. Bertemakan Build Your Future: Be Smart About Money!, ianya antara inisiatif kebangsaan bertujuan untuk memperbaiki tahap tingkah laku kewangan dalam kalangan belia.
- Tahukah anda, salah satu kekecewaan utama warga emas di seluruh pelosok dunia adalah tidak merancang kewangan mereka semasa zaman muda. Faktor utama untuk memastikan kesejahteraan kewangan adalah dengan membuat perancangan kewangan yang rapi seawal yang mungkin.
- Pernah tak anda dengar tentang Warren Buffet? Beliau merupakan salah seorang pelabur yang paling berjaya dan terkemuka di dunia. Warren mula menyimpan dan melabur pada usia seawal 10 tahun dan sering kali mengutarakan bahawa salah satu faktor utama penentu kejayaan kewangan beliau adalah mengamalkan konsep simpanan dan pelaburan pada usia yang muda. Konsep Warren Buffet ini selari dengan tema program kita – Build Your Future – Be Smart About Money.
- Selain itu, saya sarankan agar anda semua membaca buku Psychology of Money, karangan Morgan Housel. Beliau mengetengahkan konsep simpanan, pentingnya membuat simpanan dan pelaburan pada usia muda dan yang paling penting adalah gaya hidup masing-masing. It’s worth a read.
- Saya juga pasti anda semua pernah dengar frasa seperti You Only Live Once (YOLO) atau Fear of Missing Out (FOMO). Saya faham akan kehendak anak-anak muda zaman sekarang tetapi kita harus juga ingat tentang masa depan dan mula mengamalkan konsep pengurusan kewangan yang positif.
- Justeru, untuk mencapai tahap kesejahteraan kewangan yang positif, anda perlu membiasakan diri dengan konsep kawalan diri. Bak kata pepatah, ‘Ukur baju di badan sendiri’. Percaya atau tidak, kawalan diri akan membolehkan anda mengagihkan simpanan dan berjinak-jinak dengan dunia pelaburan, serta menerajui pelan-pelan takaful dan insurans yang sedikit sebanyak akan membantu memastikan tahap kesejahteraan kewangan.
Hadirin sekalian,
- Program “My Money and Me” tahun 2022 ini dibahagikan kepada 4 komponen utama perancangan kewangan, “Asset Protection”, “Asset Accumulation”, “Asset Management” dan “Asset Distribution”. Dalam komponen “Asset Accumulation”, pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM) mengutarakan konsep asas dalam pelaburan sesuai dengan profil risiko masing-masing. Ini akan membolehkan anda menikmati kelestarian kewangan pada masa akan datang. Bank Negara Malaysia pula adalah untuk memastikan belia tidak terjerumus dengan scam dalam komponen “Asset Protection” dengan menekankan jenis-jenis scam yang semakin hari semakin menjadi.
- Dalam program hari ini, anda semua berpeluang untuk bertemu secara maya dengan pakar dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mendapat khidmat nasihat persaraan. Bagi mereka yang dibelenggu hutang pula, kaunselor kewangan dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut menyediakan khidmat kaunselling dalam pengurusan hutang.
- Pihak penganjur bertekad untuk membantu para belia mencapai tahap kesejahteraan kewangan yang lebih baik. Sehubungan dengan itu, penasihat kewangan berlesen Financial Advisor Representative yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia dan Financial Planners yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti turut sama menawarkan khidmat kaunselling secara percuma untuk setiap program “My Money and Me 2022”.
- Inisiatif ini bertujuan membantu Keluarga Malaysia untuk merancang segala keperluan kewangan peribadi termasuk persediaan persaraan. Jika anda terlepas peluang ini, jangan risau, kerana program MFPC akan menyediakan sesi rundingan percuma sepanjang tahun ini.
Hadirin sekalian,
- Ingin saya kongsikan bahawa terdapat banyak dana dan pembiayaan yang disediakan khas untuk golongan belia melalui Bajet 2022. Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang usahawan muda, Pelan Pembiayaan Belia Usahawan sebanyak RM150 juta ditawarkan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank. Rebutlah peluang ini untuk memperkasakan perniagaan anda.
- Tahukah anda sejak 2019, Kerajaan juga telah mula membayar elaun sebanyak 900 ringgit kepada pelajar yang menjalani program latihan industri. Ini bagi membantu mengurangkan beban kewangan dalam golongan belia.
- Terbaharu, program e-Pemula iaitu sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai akan dilancarkan tidak lama lagi khas bagi para belia berumur 18 hingga 20 tahun dan juga pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi. Program e-Pemula akan mengkreditkan 150 ringgit secara one-off ke dalam akaun e-dompet para belia ini. Lebih 2 juta belia bakal mendapat manfaat program ini dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.
- Terdapat banyak lagi bantuan-bantuan lain yang disediakan bagi membantu Keluarga Malaysia, khususnya golongan belia untuk terus berdaya saing pada masa akan datang. Saya sarankan agar anda layari portal Bajet 2022 untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai bantuan-bantuan yang disediakan oleh Kerajaan.
Hadirin sekalian,
- Para penganjur tahun ini juga menyediakan portal e-learning dengan akses percuma untuk para belia, jadi program hari ini bukanlah sekadar program one-off. Inisiatif ini selari dengan public policy recommendation dalam kajian 2021 bertajuk ‘Faktor penentu kesejahteraan kewangan dalam kalangan belia di Malaysia’.
- Antara rekomendasi pakar dalam kajian yang diterajui MFPC ini, tingkah laku kewangan positif para belia boleh diperbaiki melalui penerapan ilmu kewangan dengan mengikuti program-program ilmiah untuk satu jangka masa tertentu. Justeru, portal e-learning yang bakal disediakan selepas program hari ini mempunyai kandungan daripada semua kolaborator program temasuk juga konsep-konsep asas perancangan kewangan konvesional dan Shariah.
- Saya percaya belia secara dasarnya mempunyai kemahuan untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi masing-masing. Maka program-seperti My Money & Me yang pernah menerima pengikitirafan UNESCO berkemampuan memberi tunjuk ajar yang lebih sistematik dalam merancang dan mengurus kewangan peribadi dengan lebih baik.
- Dengan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada MFPC, para penceramah dan semua kolaborator kerana sudi menganjurkan program ini sepanjang 2022. Segala usaha, pengorbanan masa dan tenaga semua pihak yang terlibat amat dihargai oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Moga-moga segala urusan kita dipermudahkan dalam menghadapi cabaran kewangan peribadi pada masa akan datang
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
26 Mac 2022