Dialog Bacaan Kali Kedua Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2022
DIALOG BACAAN KEDUA DAN KETIGA RANG UNDANG-UNDANG DI DEWAN NEGARA
RANG UNDANG-UNDANG EKSAIS(PINDAAN) 2022
DIALOG BACAAN KALI KEDUA RANG UNDANG-UNDANG EKSAIS (PINDAAN) 2022
| Setiausaha: |
Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2022 Bacaan Kali Yang Kedua. |
| YB Timbalan Menteri: |
(YB Timbalan Menteri bangun) |
| |
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan suatu Akta untuk meminda Akta Eksais 1976 dibacakan kali kedua sekarang. |
(YB Timbalan Menteri membaca teks ucapan di bawah)
Tuan Yang di-Pertua,
Rang Undang-undang Eksais (Pindaan) 2022 yang dicadangkan ini adalah bagi meminda Akta Eksais 1976 [Akta 176]. Pindaan utama yang dilaksanakan dalam Akta ini merupakan pindaan sama dalam Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2022 iaitu bagi memasukkan peruntukan baharu yang membolehkan fasilitasi tertentu diberikan kepada pembayar cukai ketika berlakunya kecemasan awam atau krisis kesihatan awam.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon untuk menghuraikan setiap fasal dalam Rang UndangUndang ini yang mengandungi 11 fasal seperti berikut:
- Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan kuasa Menteri untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan;
- Fasal 2 bertujuan meminda seksyen 91DC, 91K, subseksyen 13(1)(b), 19(1)(d), 19A(1)(e), 47(2), dan 67(3A)(b) bagi menggantikan perkataan “in the prescribed form” dengan perkataan “in the form and manner as determined by the Director General”. Ini merupakan pindaan am bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kastam untuk menentukan bentuk dan cara akuan dibuat berhubung perkara tertentu seperti tuntutan pulang balik wang terlebih bayar, tuntutan pulang balik duti eksais bagi barang yang dieksport semula dan kaedah pemakluman bagi tuntutan semula barang sitaan;
- Fasal 3 bertujuan meminda subseksyen 5A(1) bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk menentukan bentuk dan cara permohonan yang boleh dibuat bagi tujuan mendapatkan ketetapan kastam;
- Fasal 4 bertujuan meminda subseksyen 16(2) bagi memotong perenggan 2 berhubung bentuk dan cara yang ditetapkan bagi pengiraan duti eksais yang kena dibayar. Ini memandangkan penilaian dan penentuan nilai duti eksais telah diperuntukkan di bawah seksyen 85(2)(bd);
- Fasal 5 bertujuan meminda seksyen 19B bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk menentukan bentuk dan cara akuan tuntutan pulang balik duti eksais yang telah dibayar bagi tujuan eksport semula ke luar negara dan tidak dibawa masuk ke dalam negara melalui mana-mana pelabuhan kastam atau lapangan terbang;
- Fasal 6 bertujuan meminda subseksyen 20(1) bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk menentukan bentuk dan cara lesen eksais dikeluarkan bagi aktiviti penyulingan dan penapaian minuman keras serta aktiviti pengilangan tembakau atau liquor yang memabukkan;
- Fasal 7 bertujuan meminda 23(1) bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk menentukan bentuk dan cara kelulusan permit oleh pegawai yang hak bagi tujuan memindahkan barangan berduti dari suatu tempat kawalan eksais seperti tempat penyulingan, bruari, kilang eksais atau gudang berlesen;
- Fasal 8 bertujuan memasukkan seksyen baharu 44AA dan 44AB ke dalam Akta 176.
Seksyen 44AA memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk melanjutkan apa-apa tempoh sebelum tamat tempoh yang ditetapkan di bawah Akta 176 atau perundangan subsidiarinya, jika tempoh tersebut tidak dapat dipenuhi oleh mana-mana orang disebabkan berlakunya kecemasan awam seperti bencana alam atau krisis kesihatan awam seperti pandemik Covid-19. Manakala seksyen 44AB memberi kuasa kepada Menteri untuk menambah, mengubah atau membatalkan terma dan syarat yang dikenakan di bawah akta atau perundangan subsidiarinya, dengan syarat bahawa suatu notis makluman telah diberikan terlebih dahulu kepada orang yang terikat dengan terma dan syarat tersebut;
- Fasal 9 bertujuan meminda subseksyen 85(2)(bc) dengan memotong keseluruhan perenggan berhubung penggunaan borang yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Eksais. Subseksyen 85(2)(e) turut dipinda bagi memberi kuasa kepada Menteri untuk membuat peraturan bagi menetapkan borang yang hendak digunakan bagi tujuan pelesenan eksais di bawah seksyen 35 akta;
- Fasal 10 dan Fasal 11 bertujuan meminda seksyen 90C dan seksyen 91W bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk menentukan bentuk dan cara pengikraran yang boleh dibuat bagi tujuan mengangkut keluar barangan dari Pulau
Bebas Cukai ke Kawasan Utama Kastam; dan
- Pindaan lain yang tidak dinyatakan secara khusus adalah pindaan bersifat kecil atau consequential in nature.
Secara keseluruhannya, pindaan kepada Akta 176 ini adalah bersifat positif yang akan memberi manfaat kepada pembayar cukai dalam menyempurnakan obligasi di bawah Akta 176 dan perundangan subsidiarinya. Dengan pindaan prescribed form kepada bentuk dan cara yang boleh ditentukan oleh Ketua Pengarah, pelbagai jenis borang eksais yang digunakan pada masa ini tidak lagi perlu ditetapkan di bawah peraturan, sebaliknya boleh diterbitkan dalam bentuk ketetapan umum yang disiarkan melalui Portal Rasmi Jabatan Kastam. Secara tidak langsung, ia akan memudahkan pihak industri untuk membuat rujukan secara berpusat dan sekiranya terdapat apaapa perubahan kepada butiran dalam borang tersebut selari dengan peredaran semasa, pengemaskinian borang juga lebih mudah dan cepat untuk dilaksanakan.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.