Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Hari Kastam Sedunia Kali Ke–40

Hari Kastam Sedunia Kali Ke–40

JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA 

TEKS UCAPAN

YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL BIN TENGKU ABDUL AZIZ
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

SEMPENA

HARI KASTAM SEDUNIA KALI KE-40
TAHUN 2022

PADA
26 JANUARI 2022 (RABU)

LOKASI
KOMPLEKS KASTAM WP. KUALA LUMPUR
KELANA JAYA


Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Perdana Menteri

Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara

Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan I.

Yang Berhormat Tuan Haji Yamani Hafez bin Musa,
Timbalan Menteri Kewangan II.

Yang Berbahagia Dato' Asri bin Hamidon,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Yang Berbahagia Dato’ Sri Abdul Latif bin Abdul Kadir
Ketua Pengarah Kastam Malaysia

Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Timbalan Ketua Pengarah Kastam dan Penolong Ketua Pengarah Kastam.

Barisan Pengarah-Pengarah Kastam Bahagian Ibu Pejabat,

Pengarah-Pengarah Kastam Negeri, Pengarah-Pengarah Operasi Zon, Pengarah AKMAL dan PCKP Singapura.

Seterusnya Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan warga Kastam yang saya hormati sekalian.

  1. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

  2. Salam Keluarga Malaysia dan Salam Semarak Kastam Di Mata Dunia.

  3. Alhamdulillah, sepenuh rasa kesyukuran saya rafakkan ke hadrat Allah s.w.t lantaran dengan limpah rahmat dan izin-Nya, pada hari ini kita dapat berkumpul bersama-sama meraihkan “Sambutan Hari Kastam Sedunia ke 40 Tahun 2022 (HKS40)”.

  4. Seterusnya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana sudi hadir di sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-40 ini. Sesungguhnya, kehadiran YAB amat bermakna kepada MOF dan JKDM.

  5. Kini kita telah melangkah ke tahun 2022 yang akan membentangkan seribu satu cabaran yang perlu kita tempuhi. Namun, apa yang pasti, berdasarkan penunjuk ekonomi baru-baru ini seperti pemulihan pasaran buruh serta peningkatan aktiviti perdagangan, saya yakin negara kita kekal dilandasan pemulihan ekonomi seperti yang diunjurkan, iaitu antara 5.5 hingga 6.5 peratus.

Yang Amat Berhormat, Yang Berbahagia Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Tuan dan Puan Sekalian.

  1. Selaku salah satu tunjang dalam memastikan hasil ekonomi negara terjamin, peranan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) amatlah penting. JKDM sentiasa berusaha sebaik mungkin bagi memperkasa prestasi peningkatan hasil, serta mengekang penyeludupan dan mencegah ketirisan dengan memperhebat kawalan pintu keluar dan masuk negara.

  2. Sebagai contoh, jentera pentadbiran JKDM yang digerakkan telah berjaya memungut hasil melebihi unjuran bagi tahun 2021. Ucapan setinggi-tinggi syabas dan tahniah saya ucapkan di atas kejayaan ini. Tidak dinafikan, usaha dan kejayaan ini mencerminkan peranan signifikan JKDM selaku agensi pemungut cukai tidak langsung, sekaligus menjadi antara penyumbang hasil terbesar buat negara. Diharapkan momentum ini terus dipertingkatkan lagi pada tahun ini.

TRANSFORMASI DAN MENAIKTARAF ASET JKDM

Yang Amat Berhormat, Yang Berbahagia Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Tuan dan Puan Sekalian.

  1. Selaku Menteri Kewangan, saya amat menghargai segala pengorbanan JKDM yang dicurahkan demi menjaga kemakmuran dan kesejahteraan negara dan Keluarga Malaysia. Justeru amatlah penting supaya kesiapsiagaan, iltizam dan tekad yang telah dipasakkan oleh JKDM ini diperhebat dan diperkasakan lagi.

  2. Sebagai konteks, menurut data yang dikumpul oleh Bank Dunia, semenjak tahun 2000 hingga 2019, kontena yang berlabuh di pelabuhan negara telah mencatatkan peningkatan twenty-foot equivalent unit, atau TEU dari 4.6 juta kepada 26.2 juta, iaitu hampir 500 peratus. Ini merupakan pencapaian yang amat memberangsangkan, dan mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu negara perdagangan utama dirantau ini.

  3. Jika dilihat dari sudut pungutan hasil, tentunya pencapaian kutipan kastam dan duti import lain boleh dipertingkatkan lagi. Saya faham ada cabaran dari segi pemindahan penghantaran (transshipment) yang tidak dikenakan bayaran, serta pengecualian duti import susulan perjanjian perdagangan bebas (FTA). Namun saya yakin, JKDM mampu mencapai sasaran yang lebih baik, terutamanya apabila negara kita terus mencatatkan jumlah perdangangan yang telah melonjak melebihi 2 trilion ringgit bagi 11 bulan pertama tahun 2021. Dari keseluruhan nilai tersebut, 1.1 trilion ringgit merupakan eksport, dan 894 bilion ringgit merupakan import. Dengan ekonomi dunia dan negara yang dijangka terus memulih tahun ini, nilai ini dijangka akan terus meningkat.

  4. Saya juga yakin bahawa sasaran yang lebih tinggi mampu dicapai dengan penggunaan aset-aset fizikal tambahan JKDM seperti mesin pengimbas yang lebih moden, mahupun bot ronda laju.

  5. Seterusnya, saya pasti JKDM juga boleh meneliti dengan lebih strategik aset-aset modal insannya tersendiri, terutamanya dari segi hala tuju strategik bagi memastikan keutuhan JKDM dalam jangka masa panjang, termasuk transformasi pengurusan.

  6. Saya sentiasa mengingatkan semua agensi-agensi MOF untuk memperkasa dan meningkatkan tahap profesionalisma modal insannya, dan hari ini adalah giliran JKDM. Selain itu, pengambilan atau pinjaman modal insan dari agensi-agensi lain yang berkaitan, dan golongan professional dari luar juga haruslah dipertimbangkan untuk menggalakkan perkongsian idea yang lebih meluas.

  7. MOF dan agensi-agensinya perlu mempaksikan budaya dan pemikiran lebih inovatif bagi melahirkan modal insan yang mampu beroperasi secara strategik dan sistematik. Ini termasuklah berfikir di luar kotak, dan membuka ruang pemikiran untuk idea-idea yang lebih berhasil dan bermutu untuk kemampanan hasil dan perbelanjaan negara.

PELAKSANAAN INISIATIF DAN DASAR KERAJAAN

Yang Amat Berhormat, Yang Berbahagia Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Tuan dan Puan Sekalian.

  1. Semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, Kerajaan telah melaksanakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah 530 bilion ringgit, serta Belanjawan 2021 bernilai 322.5 bilion ringgit dan Bajet 2022 berjumlah 332.1 bilion ringgit.

  2. Usaha-usaha ini merupakan manifestasi keprihatinan dan usaha murni Kerajaan bagi membantu golongan dan sektor yang terjejas dengan merangka pertumbuhan ekonomi berpaksikan rakyat.

  3. Dan suka saya untuk menekankan bahawa JKDM telah memainkan peranan sebagai salah satu agensi yang menggerakkan dasar dan inisiatif Kerajaan.

  4. Sebagai contoh, JKDM telah memberi sumbangan besar dalam merealisasikan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Ini termasuklah pemberian remisi penalti, pengecualian cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai pelancongan dan duti eksport.

  5. Selain itu, susulan pengumuman Bajet 2022, JDKM telah diberi mandat melaksanakan Program VA – iaitu salah satu usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela dan melaporkan cukai yang sepatutnya.

  6. Bermula dari awal tahun ini hingga 30 September 2022, JKDM perlu menggerakkan jentera yang dapat memastikan sasaran kutipan bagi program ini boleh dicapai, iaitu antara 1 hingga 2 billion ringgit. Saya yakin, JKDM mampu mencapai sasaran ini.

PENUTUP

Yang Amat Berhormat, Yang Berbahagia Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Tuan dan Puan Sekalian.

  1. Di kesempatan ini, saya dan barisan kepimpinan MOF ingin menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh warga JDKM.

  2. Akhir kata, rapatkan lagi saf serta tingkatkan jalinan kerjasama dengan semangat “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Kita perlu mengorak langkah dalam mendepani cabaran pandemik dan musibah yang melanda negara. Semoga akan wujud perkongsian kemakmuran negara yang adil demi kesejahteraan Keluarga Malaysia, insya-Allah.

  3. Selamat menyambut Hari Kastam Sedunia yang ke-40. Sekian, terima kasih. Wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL BIN TENGKU ABDUL AZIZ
MENTERI KEWANGAN

26 Januari 2022

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility