Hari Terbuka GLC 2022
TEKS UCAPAN
YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL AZIZ MENTERI KEWANGAN
SEMPENA
HARI TERBUKA GLC
11 MAC 2022 | 3.00 PTG | PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR
Bismillahirrahmanirrahim
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Perdana Menteri
Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Azmin bin Ali
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa Dan Industri
Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan
Ahli lembaga pengarah dan Ketua pegawai eksekutif GLIC dan GLC
Rakan-rakan media
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan, Puan-Puan yang saya hormati sekalian
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.
- Alhamdulillah, izinkan saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahuwataa'la kerana dengan rahmat dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul pada petang ini untuk menyaksikan Majlis Perasmian Hari Terbuka Syarikat Berkaitan Kerajaan, atau GLC Open Day, berserta Majlis Perasmian Inisiatif GLC Demi Rakyat dan Negara, atau GDRN.
- Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, atas kesudian beliau untuk menyempurnakan majlis pada hari ini. Kehadiran Yang Amat Berhomat amat bermakna kepada semua yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.
- Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam usahasama dalam menjayakan majlis pada hari ini.
Tuan-tuan, Puan-puan, para hadirin yang saya kasihi,
- Hari Terbuka GLC 2022 dianjurkan bagi meraikan usaha keseluruhan GLC dan GLIC, terutamanya dalam membina semula kehidupan kita pasca pandemik COVID-19.
- Sejak dua tahun lalu, COVID-19 telah menjejaskan ekonomi, kestabilan kewangan negara serta periuk nasi penduduk seluruh dunia.
- Walaupun beberapa negara sedang menuju ke arah pemulihan, banyak lagi negara lain yang masih terjejas akibat wabak ini. Kehadiran risiko varian baru, gangguan rantaian bekalan dunia serta konflik Russia-Ukraine baru-baru ini pula menjadikan keadaan semakin membimbangkan. Dalam jangka masa panjang pula, perjalanan kita dipenuhi onak dan duri akibat perubahan iklim, peralihan kepada populasi yang terus menua dan jurang kekayaan yang semakin besar.
- Walaubagaimanapun setelah dua tahun berdepan dengan pelbagai cabaran, pemulihan yang kita impikan kini dalam jangkauan, InsyaAllah. Bagi tahun 2021, KDNK negara meningkat 3.1 peratus, jumlah perdagangan luar mencecah 2 trilion ringgit dan aliran masuk bersih pelaburan langsung asing, atau FDI, berjumlah hampir 55 bilion ringgit.
- Pelbagai petanda terus mencerminkan potensi perkembangan yang memberangsangkan bagi tahun 2022, termasuk:
- Kadar vaksinasi negara yang kini hampir 80 peratus bagi seluruh Malaysia atau hampir 98 peratus untuk penduduk dewasa;
- Peralihan negara ke fasa endemik bermula 1 April ini;
- Pemulihan kadar pengangguran ke 4.2 peratus pada Januari 2022, jauh dari kadar paling tinggi 5.3 peratus hampir dua tahun lalu. Ini adalah penurunan 1.1 peratus kepada 680,400 berbanding 687,600 pada bulan Disember 2021;
- Minat berterusan dari pelabur asing yang, secara bersih, telah melabur 3.5 bilion ringgit dalam pasaran bon tempatan pada Januari lalu, dan 3.6 bilion ringgit dalam pasaran ekuiti tempatan sehingga kini;
- Pemulihan perdangangan dunia yang dijangka berkembang 6 peratus bagi tahun 2022; serta
- Kemasukan Malaysia sebagai ahli Regional Comprehensive Economic Partnership, atau RCEP, bermula 18 Mac ini yang dijangka akan meningkatkan hasil eksport sebanyak 44 bilion ringgit setahun.
- Perkembangan ini akan dilengkapi dengan strategi dan inisiatif Bajet 2022 bernilai 332.1 bilion ringgit bagi meneruskan momentum pemulihan jangka pendek sambil menerapkan dasar-dasar penyusunan semula jangka panjang.
- Ini termasuklah usaha oleh ekosistem GLC yang diumumkan dalam Bajet 2022 yang merangkumi:
- perbelanjaan modal dan pelaburan bernilai 30 bilion ringgit;
- usaha membantu usahawan bernilai 5 bilion ringgit;
- usaha membantu rakyat bernilai 500 juta ringgit;
- penyediaan 30,000 peluang pekerjaan; dan
- sekurang-kurangnya 40 peratus perolehan tempatan dianugerahkan kepada usahawan Bumiputera.
- Tambahan pula, keputusan bulan lepas oleh Fitch Ratings dan Moody’s untuk mengekalkan penarafan kredit mereka terhadap Malaysia terus membuktikan keyakinan komuniti antarabangsa akan tren pemulihan dan potensi pertumbuhan ekonomi negara.
Para hadirin sekalian,
- Ekosistem GLC merupakan antara elemen terpenting bagi merealisasikan visi Malaysia.
- Melihat kepada saiz dan pengaruh ekosistem ini dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, sememangnya mustahak bagi GLIC dan GLC untuk terus distruktur dan ditambah baik. Dalam perkara ini, Kerajaan kini giat berusaha untuk menajamkan lagi fokus GLICs, terutamanya dalam menceburi industri baru seperti yang berteraskan Revolusi Industri 4.0.
- Selain itu, program GDRN, sebagai sebuah platform yang menyelaraskan kesemua bantuan kemanusiaan semasa bencana oleh GLIC dan GLC, adalah antara contoh bagaimana GLIC dan GLC mengoptimumkan sumber terkumpul bagi memanfaatkan lebih ramai benefisiari, terutamanya dalam kalangan B40 dan golongan tumpuan tertentu.
- Untuk makluman, pada tahun 2004, Kerajaan pernah menyusun semula dan mentransformasikan ekosistem GLC dengan menstruktur semula mandat, tadbir urus, keupayaan dan keberkesanan lembaga pengarah dalam menjana GLC yang berprestasi tinggi.
- Berikutan itu, Program Transformasi GLC telah dilancarkan bagi 5 GLIC dan 20 GLC terpilih. Secara keseluruhannya, dalam masa 10 tahun, program ini berjaya:
- meningkatkan permodalan pasaran bagi 20 GLC tersebut sebanyak 2.9 kali kepada 386 bilion ringgit;
- meningkatkan hasil bersih mereka kepada 26.2 bilion ringgit setahun; serta
- meningkatkan jumlah pulangan pemegang saham, atau total shareholders’ return, kepada 11.1 peratus setahun.
- Namun, pandemik COVID-19 telah mengubah hidup dan cara kita beroperasi secara total, samada di peringkat individu mahupun perniagaan. Ia juga telah menyerlahkan pelbagai kelemahan yang telah lama bertapak di dalam struktur sosio-ekonomi kita. Sehubungan itu, dalam usaha kita untuk terus menambahbaik ekosistem GLC ini, kita juga harus mengambil kesempatan ini untuk memperkasakan GLIC dan GLC bagi membantu Kerajaan menangani isu-isu struktur tersebut.
- InsyaAllah, dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, tetapi juga mampu membina sebuah ekonomi yang berdaya tahan dan lestari.
Para hadirin sekalian,
- Usaha menambah baik ini juga akan dilaksanakan oleh GLC tersenarai melalui program transformasi syarikat tersenarai awam, atau PLC Transformation Programme yang saya lancarkan pada 2 Mac baru-baru ini.
- Diterajui Bursa Malaysia, program ini melibatkan terbitan lima buku panduan untuk mendorong syarikat-syarikat tersenarai awam di Malaysia ke arah prestasi tinggi bukan sahaja untuk pemegang saham mereka, tetapi juga pihak berkepentingan lain.
- Dalam jangka masa panjang, program ini dijangka akan menghasilkan syarikat-syarikat tersenarai awam yang berdaya maju, berdaya saing, serta selaras dengan perkembangan terkini dunia dan permintaan dari pelabur.
- Usaha menambah baik ini juga akan dilengkapi oleh inisiatif penyusunan semula oleh Kerajaan.
- Ini termasuk usaha:
- penubuhan sebuah Voluntary Carbon Market oleh Bursa Malaysia;
- peralihan kepada operasi karbon rendah untuk sektor perusahaan dengan geran padanan bernilai 1 bilion ringgit; dan
- peningkatan taraf rangkaian ketersambungan negara melalui inisiatif JENDELA dengan peruntukan 700 juta ringgit untuk tahun 2022.
- Melangkah ke hadapan, MOF yakin ekosistem GLC yang diperkasa dan ditambahbaik akan turut menyumbang kepada objektif MOF untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara di masa hadapan.
Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin sekalian,
- Bagai benih cengal yang telah menjadi sebuah pokok yang matang, ekosistem GLC merupakan antara elemen terpenting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.
- Dengan ini, adalah menjadi harapan saya agar Hari Terbuka GLC 2022 dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendekatkan lagi masyarakat dengan ekosistem ini, terutamanya dalam membina semula kehidupan kita pasca pandemik COVID-19.
- Setelah dua tahun berdepan dengan pelbagai cabaran, pemulihan yang kita impikan kini dalam jangkauan kita, dibantu oleh benih cengal yang telah kita tanam, baja dan siram berdekad-dekad lalu. Insya Allah.
- Sebelum saya mengundur diri, sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, wakil-wakil agensi, GLIC dan GLC, yang hadir pada hari ini dalam merealisasikan Hari Terbuka GLC 2022.
- Kepada semua yang hadir pada hari ini, dari rakyat ke perniagaan, terima kasih atas semangat Keluarga Malaysia yang terus membara dalam usaha kita menongkah segala cabaran bersama-sama.
Sekian,
Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.