Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbendaharaan Malaysia Tahun 2016

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang  Perbendaharaan Malaysia Tahun 2016

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK ME
NTERI KEWANGAN

SEMPENA

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG PERBENDAHARAAN MALAYSIA TAHUN 2016

PADA 27 APRIL 2017 (KHAMIS), JAM 10.45 PAGI BERTEMPAT DI DEWAN UTAMA

KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN, PUTRAJAYA


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Negaraku.

Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani
Menteri Kewangan Kedua

Yang Berhormat Dato’ Wira Othman Aziz

Yang Berhormat Dato’ Lee Chee Leong

Timbalan-Timbalan Menteri Kewangan

Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar bin Abdullah
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Dif-dif Kehormat dan penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016. Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

  1. Bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan keizinan dan kurniaNya jua, kita dapat bertemu dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 yang diadakan pada hari ini.

  2. Dalam usaha kita menjalani dan melaksanakan transformasi negara, perkhidmatan awam merupakan komponen penting dan penghubung dalam menterjemahkan visi Kerajaan kepada program-program yang boleh dilaksanakan.

  3. Justeru Kerajaan masih kukuh dan akan meneruskan Agenda Transformasi Negara yang telah dilaksanakan sebelum ini, melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), dan Program Transformasi Sosial. Program-program ini telah dan akan terus dijadikan landasan untuk kita bergerak ke hadapan, demi mencapai T50 yang Kerajaan umumkan semasa Pembentangan Bajet 2017 yang lalu.

TN50: EKONOMI

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

  1. Sepanjang sejarah pembangunan negara, kita berpandukan cita-cita yang murni pada masa-masa yang penting. Bermula dengan era Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), kita melangkah ke era Wawasan 2020 (1991-2020). Kini, kita perlu bersedia menghadapi tempoh 30 tahun akan datang. Dunia akan jauh berbeza dari sekarang dalam tahun 2050 - apakah yang akan membimbing kita?

  2. Transformasi Nasional 2050 atau TN50 adalah satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050. Dari sebuah negara maju, kita harus menyasar untuk menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi.

  3. Sasaran ini harus diisi dan diberi makna oleh warga Malaysia sendiri. Ayuh, marilah kita berkongsi pendapat dan idea serta menetapkan matlamat bersama ke arah masa hadapan Negaraku. Bersama kita satukan minda dan harapan.

  4. Ekonomi Malaysia pada hari ini lebih berkonsepkan ekonomi digital yang sedang berkembang dan memerlukan kemahiran teknikal baharu dengan keupayaan tahap tertinggi daripada tenaga kerja sedia ada. Peredaran ekonomi digital juga mengubah cara kita berkomunikasi, menjana tenaga, dan berinteraksi antara satu sama lain. Kita boleh lihat trend yang berlaku disekeliling kita sebagai salah satu contoh yang sedia ada iaitu perbankan dalam talian, e-pembayaran, talian shopping seperti Lazada dan Zalora, kemudahan Uber dan Grabcar. Pendigitalan telah mencipta entiti yang lebih global dan berhubung seluruh benua. Sebagai contoh, Kereta Api Berkelajuan Tinggi yang menghubungkan Bandar Malaysia dan Singapura yang akan mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara. Pada masa yang sama ia berpotensi untuk menarik beberapa bentuk perniagaan bagi Malaysia dan mewujudkan kesan limpahan yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi bandar-bandar sekitarnya.

  5. Pada tahun 2050, Malaysia akan menghadapi ekonomi yang lebih mencabar dan dapat dijangka globalisasi ekonomi pada tahun 2050 akan menjadi satu perubahan besar terhadap masyarakat, kesedaran alam sekitar, operasi ekonomi, kemajuan teknologi, dan struktur tadbir urus. Potensi masa hadapan khususnya pada tahun 2050, OECD juga telah meramalkan bahawa ekonomi global dijangka berkembang sebanyak 3% setiap tahun dalam tempoh setengah abad akan datang dan akan menjadi pusat pertumbuhan global.

  6. Sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya menetapkan sasaran untuk mencapai RM2 trilion GDP pada tahun 2025 sekali gus dengan harapan menjadikan Malaysia antara 20 negara terunggul dalam sektor ekonomi pada tahun 2050. Sekiranya Malaysia di tahap tersebut, saya percaya ekonomi Malaysia pada tahun 2050 juga akan memberi manfaat kepada beberapa golongan seperti Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) yang akan mempelbagaikan produk dan perkhidmatan dalam memenuhi permintaan baru pelanggan dan perniagaan. Namun begitu, tidak lupa juga penyertaan golongan wanita dan pesara dalam aktiviti ekonomi. Sebagai contoh, hari ini mereka boleh mengambil bahagian dalam peluang ekonomi baru yang telah dibolehkan oleh pendigitalan ekonomi.

  7. Dengan adanya platform TN50 yang dirangka oleh kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu untuk mengumpul input dan aspirasi rakyat terhadap sektor ekonomi lebih-lebih lagi dalam memberi tumpuan terhadap keadilan bidang ekonomi serta memupuk keharmonian masyarakat berbilang bangsa.

PERKEMBANGAN EKONOMI NEGARA SEMASA

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

  1. Ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan mencatat pertumbuhan 4.2% pada 2016 dalam persekitaran luar yang tidak menentu. Permintaan domestik terus menjadi peneraju pertumbuhan, didorong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta. Penggunaan swasta meningkat 6.1% disokong oleh peningkatan guna tenaga dan upah yang berterusan serta langkah Kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat. Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, masing-masing menyumbang 54.2% dan 23% kepada KDNK.

  2. Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, negara berhadapan dengan persekitaran luar yang mencabar. Ini termasuk ketidakpastian dasar dan politik selepas pemilihan presiden baharu di Amerika Syarikat, pertumbuhan yang lebih perlahan dalam kalangan rakan dagangan utama seperti China dan juga keputusan referendum di UK untuk keluar daripada Kesatuan Eropah. Walau bagaimanapun, pembaharuan struktur ekonomi, kewangan dan fiskal yang dilaksanakan selama ini telah menyediakan penampan yang mencukupi untuk menangani cabaran luar. Ini termasuk pasaran buruh yang stabil dengan guna tenaga penuh; kadar inflasi yang terkawal; rizab asing yang mencukupi; dan sistem kewangan yang kukuh dengan pengantaraan berkesan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi. Usaha mempelbagaikan produk dan pasaran turut menyokong prestasi perdagangan negara.

  3. Pada tahun ini, ekonomi negara dijangka kekal berada pada landasan yang stabil, mencatat pertumbuhan 4.3 – 4.8 peratus. Pertumbuhan ini akan dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh dan disokong oleh sektor luar yang lebih baik. Ini adalah sejajar dengan unjuran Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa ekonomi dan perdagangan global meningkat kepada 3.5 peratus dan 3.8 peratus pada tahun ini, berbanding pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus dan 2.2 peratus pada 2016. Inflasi keseluruhan akan kekal terurus, diunjur meningkat antara 3% – 4%, manakala ekonomi akan terus beroperasi dalam keadaan guna tenaga penuh.

  4. Kerajaan merangka dasar fiskal untuk menyokong dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing negara dan menjamin kesejahteraan rakyat. Di samping itu, dasar fiskal terus menekankan langkah konsolidasi fiskal ke arah bajet hampir berimbang pada tahun 2020. Komitmen untuk mengurangkan defisit dan paras hutang adalah penting bagi memastikan kemampanan fiskal jangka panjang negara. Kedudukan fiskal yang kukuh mampu mengekalkan daya tahan ekonomi serta mewujudkan ruang fiskal dan fleksibiliti untuk melaksanakan langkah counter cyclical untuk menyokong ekonomi ketika berlakunya krisis.

  5. Walaupun harga minyak mentah telah meningkat kepada kira-kira USD54 setong, paras ini adalah lebih rendah berbanding sekitar USD100 setong pada tahun 2014. Penurunan harga ini telah memberi kesan negatif kepada hasil Kerajaan Persekutuan di mana jumlah hasil telah menyusut sebanyak lebih kurang 3% pada tahun 2016.

  6. Dalam hal ini, Kerajaan telah mengambil inisiatif fiskal, terutamanya pelaksanaan GST untuk memperluaskan asas cukai dan meningkatkan kecekapan sistem percukaian serta rasionalisasi subsidi melalui mekanisme subsidi bersasar bagi memastikan hanya golongan yang layak sahaja menerima manfaat daripada sesuatu subsidi berbanding mekanisme subsidi pukal yang mana golongan berkemampuan lebih banyak menikmati subsidi berbanding mereka yang layak.

  7. Kerajaan telah berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7% daripada KDNK pada tahun 2009 kepada 3.1% pada tahun 2016 dan disasarkan terus berkurang kepada 3.0% pada tahun 2017. Langkah berani Kerajaan untuk melaksanakan GST adalah tepat pada masanya dan membolehkan usaha konsolidasi fiskal dapat diteruskan walaupun harga minyak mentah dunia mengalami kejatuhan dan Kerajaan kehilangan hasil berkaitan minyak dengan ketara. Kerajaan menganggarkan bahawa kutipan GST pada tahun 2017 adalah sebanyak RM40 bilion.

  8. Hasil daripada konsolidasi fiskal, tahap hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus pada paras 52.7% daripada KDNK pada tahun 2016, di bawah paras threshold 55% daripada KDNK. Hutang ini digunakan untuk membiayai program dan projek pembangunan yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi kepada ekonomi.

  9. Penilaian terkini penarafan kredit berdaulat Malaysia merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan Kerajaan dalam pembaharuan struktur ekonomi untuk memastikan ianya mampan, inklusif dan berdaya saing. Ia juga mencerminkan asas-asas ekonomi yang kukuh dan kedudukan fiskal yang baik di negara ini. Untuk itu, agensi penarafan antarabangsa terkemuka seperti Fitch, Moody’s dan Standard & Poor’s telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara pada gred pelaburan, kelas “A”.

PENUTUP

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

  1. Saya rasa bertuah hari ini kerana sekali lagi saya dapat bersama-sama untuk berkongsi kegembiraan dan meraikan 81 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 Perbendaharaan Malaysia.

  2. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah pada hari ini. Sesungguhnya anugerah ini diberi sebagai menghargai anggota Perbendaharaan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun 2016.

  3. Semoga anugerah ini akan menjadikan tuan-tuan dan puan-puan lebih bersemangat dalam mencurahkan khidmat bakti kepada negara Malaysia yang tercinta ini dengan lebih cekap dan berkesan demi membantu kerajaan mencapai sasaran menjadikan negara kita sebagai Negara berprestasi tinggi di masa akan datang.

  4. Akhir kata, tahniah sekali lagi diucapkan kepada penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 dan seterusnya selamat maju jaya.

Sekian terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Kementerian Kewangan Putrajaya
27 April 2017

 

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility