Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Majlis Libat Urus Belanjawan 2026

Majlis Libat Urus Belanjawan 2026

MUKADIMAH

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

Salutasi

YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar
Ketua Setiausaha Negara

YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Dato' Sri Abdul Rasheed Ghaffour
Gabenor Bank Negara Malaysia

Dato’ Mohammad Faiz Azmi
Pengerusi Eksekutif

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Ketua Setiausaha, Ketua Perkhidmatan

Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan, wakil-wakil industri, persatuan,

NGO, serta tokoh-tokoh ekonomi dan ilmuan.

Hadirin yang saya muliakan.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, kita dapat berkumpul pada pagi ini di Majlis Libat Urus Belanjawan 2026. Ini merupakan saluran rasmi sebagai tanda bermulanya proses penyediaan Belanjawan 2026.

2. Majlis ini tentunya penting dalam memastikan bahawa Belanjawan MADANI Keempat (2026) mencerminkan aspirasi rakyat, yang direncana bersama-sama rakyat demi menghasilkan sebuah Belanjawan rakyat.

3. Saya merakamkan ucapan terima kasih dan menghargai kehadiran semua hari ini iaitu hampir 300 orang (292 orang) yang mewakili insitusi penjawat awam, sektor industri, dewan perniagaan, teknokrat, pakar ekonomi, para ilmuan, NGO dan pertubuhan antarabangsa.

4. Cadangan dan pandangan tuan-tuan dan puan-puan hari ini amat penting dan pastinya diambil kira dalam menggubal Belanjawan ini.

MALAYSIA MADANI TERUS BERANI & GAGAH MENGHARUNGI PELBAGAI TANTANGAN

5. Kerajaan MADANI mula mentadbir ketika Malaysia berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran dari dalam dan luar negara.

6. Dari dalam, kita mewarisi hutang melebihi RM1 trilion dengan 16% hasil negara digunakan hanya untuk membayar khidmat hutang. Asas hasil cukai rendah berbanding negara serantau sementara perbelanjaan tinggi meliputi peruntukan subsidi pukal yang tiris kepada golongan dan sektor yang tidak selayaknya.

7. Dari luar kita diasak ketidaktentuan geopolitik global. Tambahan lagi sekarang dengan dasar tarif Amerika Syarikat dan langkah timbal balas negara-negara dunia.

8. Maka apakah pilihan kita? Sejak 2023, pendekatan kita tegas dan bersungguh-sungguh dalam menghadapi rintangan dan cabaran:

  • Kita memimpin ekonomi berteraskan Kerangka Ekonomi MADANI dan dasar-dasar khusus yang jelas untuk menyusun semula struktur ekonomi negara yang akhirnya dapat mengangkat darjat hidup rakyat.

  • Kita mengurus fiskal negara berpandukan Akta mengurangkan hutang baharu Kerajaan.

9. Usaha membetulkan kepincangan struktur ekonomi bukan suatu tugas mudah. Adakalanya dasar yang diperkenal tidak popular, tetapi perlu dilaksanakan kerana dasar-dasar ini membawa manfaat lebih besar kepada rakyat; dan sebarang reformasi fiskal yang kita laksanakan tidak sesekali mengenepikan kesejahteraan rakyat.

  • Penyasaran subsidi elektrik 2023 dan penstrukturan tarif elektrik Julai lalu tidak menjejaskan majoriti rakyat. Malah, 85% pengguna menikmati penurunan bil elektrik bulan lalu.

  • Penyasaran subsidi diesel tidak membebankan rakyat. Sektor pengangkutan awam, nelayan dan sektor logistik tertentu kekal layak menerima harga diesel bersubsidi. Malah, kita memberi bantuan tunai RM200 sebulan kepada pemilik individu, petani dan pekebun kecil yang layak.

  • Peluasan skop SST mengambil pendekatan bersasar dan tidak membebankan rakyat. Barangan keperluan asas dan perkhidmatan lazim tidak dikenakan cukai.

 

PENCAPAIAN EKONOMI MADANI: MEMPERKASA RAKYAT

10. Alhamdulillah, di sebalik kekangan yang ada, ekonomi Malaysia kekal di landasan kukuh dan meyakinkan.

  • KDNK suku pertama 2025 tumbuh 4.4% dan unjuran awal suku kedua bakal mencecah 4.5%. Unjuran semula KDNK 2025 oleh BNM pada 4.0 hingga 4.8% membuktikan ekonomi kita kekal berdaya tahan. Malah, IMF pada Julai menaikkan 0.4% unjuran KDNK Malaysia kepada 4.5%.

  • Dunia mengiktiraf kebangkitan negara.

    • Ringgit muncul antara mata wang terbaik Asia; mengukuh RM4.23 berbanding Dolar Amerika Syarikat atau hampir 5% setakat 5 Ogos 2025.

    • Jumlah pelaburan diluluskan pada 2024 adalah yang tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM384 bilion. Pelaburan diluluskan suku pertama 2025 terus naik sebanyak RM89.8 bilion atau 3.7% lebih tinggi berbanding tempoh sama 2024.

    • Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan 23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025. Ini pencapaian terbaik sejak tahun 2020.

    • S&P Global Ratings dan Moody’s Ratings mengekalkan penarafan kredit negara masing-masing pada A- dan A3, dengan kedua-duanya pada tinjauan “Stabil”.

    • Penurunan kadar tarif AS ke atas Malaysia kepada 19% ialah kejayaan signifikan kerana kita tidak mengorbankan kepentingan nasional seperti syarat bumiputera dan sijil halal dalam rundingan bersama AS. Malahan, kadar ini sama dengan Indonesia, Kemboja dan Thailand; bermakna kedudukan daya saing negara tidak terjejas berbanding negara serantau lain.

 

11. Segala pencapaian ini walaupun membanggakan, menjadi tidak bermakna sekiranya rakyat masih bergelut dengan beban kos sara hidup. Meskipun inflasi menyusut kepada 1.1% pada Jun 2025, Kerajaan terus menambah ikhtiar meringankan beban hidup rakyat. Antaranya:

  • Menambah peruntukan STR dan SARA daripada 10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion, menjadikannya peruntukan bantuan bersasar yang tertinggi dalam sejarah. Ini termasuk mengagihkan Penghargaan SARA untuk 22 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas sebanyak RM 2 bilion pada 31 Ogos 2025

  • Memperbanyak lagi Jualan Rahmah dengan menambah peruntukan kepada RM600 juta untuk tahun ini.

 

TUMPUAN BELANJAWAN MADANI KEEMPAT (2026)

Hadirin yang dimuliakan sekalian,

12. Belanjawan 2026 merupakan Belanjawan sulung yang mendokong matlamat Rancangan Malaysia Ketiga Belas. Langkah-langkah yang dirancang akan terus menaikkan siling dan lantai berteraskan tatakelola baik dalam pentadbiran.

13. Pertama, dalam Menaikkan Siling:

  • Dalam meningkatkan daya saing negara, sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi akan terus disokong terutamanya melibatkan industri semikonduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam. Saya yakin wakil industri ramai yang hadir hari ini dapat mengemukakan cadangan bernas.

  • Kerajaan akan terus mengupaya PMKS dan syarikat mula niaga agar menjadi pengeluar produk dan perkhidmatan Made by Malaysia.

  • Agenda digital dan kecerdasan buatan terus diberi tumpuan selari dengan usaha membudaya daya cipta bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi berteraskan penciptaan nilai.

14. Kedua, bagi menaikkan lantai:

  • Tumpuan Kerajaan kekal untuk meningkatkan mutu perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat selari dengan agenda RMK13 untuk mereformasi pendidikan dan kesihatan.

  • Dengan kehadiran wakil NGO serta persatuan sosial, kita dapat bersama-sama berikhtiar membantu rakyat termiskin secara holistik selain memperkasa jaringan perlindungan sosial.

  • Peningkatan pendapatan rakyat dan meringankan tekanan kos sara hidup juga akan terus menjadi ikhtiar utama Kerajaan dalam Belanjawan 2026.

15. Ketiga, negara ini terus dipimpin dengan Tatakelola Baik:

  • Soal bagaimana Kerajaan boleh memantapkan lagi perkhidmatan bagi mempercepat dan mempermudah urusan perniagaan (ease of doing business) memerlukan cadangan dan pandangan daripada tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada hari ini.

 

PENUTUP

16. Saya mengalu-alukan penglibatan aktif daripada semua pihak yang hadir dalam memberikan maklumbalas yang akan menjadi asas penting kepada penyediaan Belanjawan 2026.

17. Saya berharap sesi hari ini menjadi medan strategik untuk kita bersama-sama mencorak hala tuju masa hadapan negara dengan merumuskan input yang bernas demi merangka Belanjawan 2026 yang berimpak tinggi ke arah membangunkan Malaysia secara menyeluruh.

18. Saya turut mempelawa semua yang hadir dan semua rakyat Malaysia untuk kemukakan cadangan dalam Portal Cadangan Belanjawan 2026 di laman web Kementerian Kewangan seperti yang tertera di skrin.

19. Terima kasih. Saya serahkan sesi ini kepada para hadirin untuk berdialog secara terbuka dan berhemah.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


TEKS UCAPAN YB SENATOR DATUK SERI AMIR HAMZAH AZIZAN MENTERI KEWANGAN II

Tarikh : 7 Ogos 2025 (Khamis)
Masa : 9.30 pagi
Tempat : Dewan Utama Kementerian Kewangan Putrajaya

↓ Muat turun: Ucapan MKII Majlis Libat Urus Belanjawan 2026

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility