Majlis Pelancaran Kemudahan e-Payroll KWSP Bagi Majikan
Yang Berbahagia, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir
Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Yang Berusaha, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Ketua Pegawai Eksekutif, KWSP
Dato' Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato' Aziz Mohammed
Ketua Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Dato' Sri Dr. Sabin Samitah
Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN)
Datuk Shahul Hameed Shaikh Dawood
Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp)
Ahli-Ahli Lembaga KWSP serta barisan Pengurusan KWSP
Rakan-rakan media, dan
Hadirin yang dikasihi sekalian.
Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera,
- Tidak dinafikan kini pandemik COVID-19 merupakan antara cabaran yang terbesar yang melanda negara dan seluruh dunia. Rakyat dan perniagaan, termasuklah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terkesan akibat penularan wabak ini.
- Hampir semua jenis industri dan perniagaan terpaksa mengadaptasikan perniagaan mereka ke dalam talian dan proses operasi perniagaan secara digital.
- Kerajaan melalui Kementerian dan agensi- agensi berkaitan telah bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama untuk membangunkan sebuah pelan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan baharu Rakyat dan perniagaan.
- Pelan tindakan ini, yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA), akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12, dan akan dilaksanakan secara berfasa dalam memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih serta mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih.
- Kemudahan e-Payroll atau sistem penggajian digital KWSP terutamanya bagi usahawan PKS adalah sejajar dengan inisiatif JENDELA yang menyokong keseluruhan rancangan infrastruktur digital nasional, di mana RM21 bilion telah diperuntukkan selama lima tahun untuk meningkatkan sambungan internet, memacu digitalisasi dan mengoptimumkan penggunaan internet. Dengan kita berganding bahu bersama-sama, pendigitalan ini akan dapat membantu mengurangkan kos perniagaan serta memudahkan operasi.
- e-Payroll memainkan peranan yang penting untuk membantu para majikan mengurus rekod penggajian secara digital sekaligus memudahkan proses pengurusan caruman.
- Bagi industri PKS dan para usahawan, penggunaan Inisiatif e-Payroll akan dapat mengurangkan kos operasi dan mengoptimumkan sumber manusia sedia ada bagi membolehkan fokus dikhususkan kepada urusan perniagaan seperti pemasaran dan sebagainya.
- Inisiatif e-Payroll ini juga merupakan antara medium yang menyokong usaha Kerajaan dalam mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif di negara ini.
- Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada KWSP, yang telah bertungkus-lumus dan berjaya menghasilkan inisiatif ini. Saya juga ucapkan terima kasih kepada agensi lain seperti LHDN, PERKESO dan HRD Corp yang terlibat dalam memberikan kerjasama agar inisiatif ini dapat direalisasikan. Diharapkan juga agar kerjasama seperti ini diteruskan lagi bagi memanfaatkan rakyat Malaysia.
- Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya menyempurnakan perasmian kemudahan e-Payroll KWSP.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
18 Jun 2021