YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM, Perdana Menteri
YAB DATO’ SERI UTAMA AMINUDDIN HARUN, Menteri Besar Negeri Sembilan
Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri
Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara
Pengurusan Tertinggi GLIC Dan GLC
Para penerima manfaat program BAKAT MADANI
Para hadirin yang dihormati sekalian
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Malaysia MADANI.
Terlebih dahulu, saya merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri kerana sudi meluncurkan BAKAT MADANI pada hari ini, kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan selaku tuan rumah, serta kepada rakan-rakan YB Menteri yang turut hadir meraikan majlis yang amat bermakna ini. Jelas sekali kehadiran ini mencerminkan bahawa pembangunan bakat merupakan agenda yang kita kongsi bersama, kerana ia menyentuh asas sebenar kekuatan negara, iaitu rakyatnya. Persoalan Yang Menentukan Masa Depan
Dalam kajian terbaharu Bank Dunia, The Global Jobs Challenge, dianggarkan seramai 1.2 bilion orang anak muda di negara-negara membangun akan memasuki usia bekerja antara tahun 2025 hingga 2035, termasuk sejumlah 280 juta orang di Asia Timur dan Pasifik. Namun, laporan yang sama turut mengingatkan bahawa di kebanyakan negara, pertumbuhan peluang pekerjaan masih belum mampu mengejar pertumbuhan penduduk usia bekerja.
Persoalan ini bukan hanya cabaran di luar negara. Malah, ia juga menjadi suatu persoalan di negara kita. Alhamdulillah, ekonomi kita berada pada landasan yang semakin kukuh. Pelaburan terus meningkat, keyakinan pelabur bertambah baik dan kadar pengangguran kini sekitar tiga peratus, antara yang terendah dalam tempoh sedekad. Tetapi kejayaan kita tidak boleh diukur hanya melalui jumlah pelaburan yang dibawa masuk. Persoalan yang lebih penting ialah sama ada rakyat Malaysia mempunyai kemahiran untuk mengisi peluang yang diwujudkan. Modal Membina, Rakyat Yang Mengekalkannya
Saya sering mengatakan bahawa modal boleh dibawa masuk, tetapi modal dengan sendirinya tidak membina kemakmuran. Kemakmuran yang sebenar hanya berlaku apabila rakyat mempunyai keupayaan untuk merebut peluang yang diwujudkan oleh pelaburan tersebut.
Oleh itu, saya melihat pembangunan bakat sebagai infrastruktur ekonomi, sama pentingnya dengan lapangan terbang atau grid tenaga. Seperti mana kita membina infrastruktur fizikal untuk menggerakkan ekonomi, kita juga perlu membina modal insan yang mampu menggerakkannya.
Peranan Dan Amanah Institusi Negara
Di sinilah institusi-institusi terbesar negara memainkan peranan yang amat penting. Tiga angkatan berdiri sama tinggi di sebalik BAKAT MADANI, iaitu enam GLIC utama negara, rangkaian GLC dan PETRONAS. GLIC sahaja menguruskan aset melebihi RM2 trilion, setanding dengan saiz ekonomi negara. Pada akhir tahun 2025, PETRONAS dan GLC, telah memberikan pekerjaan kepada 236,000 orang rakyat serta menyokong 44,000 syarikat vendor di seluruh negara.
Namun saya percaya tanggungjawab institusi ini jauh lebih besar daripada menjana pulangan. Institusi-institusi ini menguruskan amanah rakyat. PNB melalui ASNB sahaja mempunyai lebih 11 juta pemegang unit ASB, manakala KWSP menguruskan simpanan lebih 18 juta ahli. Dana yang mereka uruskan bukan sekadar angka di dalam penyata kewangan, tetapi mewakili harapan dan masa depan jutaan rakyat Malaysia.
Atas sebab itulah pembangunan bakat bukanlah suatu tanggungjawab sampingan, tetapi merupakan sebahagian daripada amanah tersebut.
Membina Bakat Teknikal Dan Vokasional
Institusi-institusi ini juga berada pada kedudukan terbaik untuk melaksanakannya, kerana keperluan tenaga kerja yang berpaksikan sektor-sektor teras ekonomi negara seperti peralihan tenaga, automotif, digital, dan tenaga.
Kebanyakan pekerjaan ini memerlukan kemahiran teknikal. Kita seharusnya merasa bangga apabila menyebut operator dron di ladang, jurutera gentian optik. juruteknik semikonduktor di kilang-kilang pembuatan termaju. Kita melihat bagaimana K-Youth membuka laluan kepada anak muda untuk membina kerjaya dalam industri semikonduktor melalui syarikat seperti Onsemi di Seremban dan ViTrox di Pulau Pinang. TNB pula melatih belia sebagai chargeman, pemasang solar serta menyediakan laluan pekerjaan bersama vendor-vendornya; manakala Program VISTA PETRONAS, yang telah dilaksanakan sejak 1992, memperkukuh institusi TVET di seluruh negara melalui latihan seperti Kimpalan 6G, pendawaian elektrik dan pelbagai lagi kemahiran teknikal yang diperlukan industri.
BAKAT MADANI: Menyatukan Usaha, Membuka Laluan
Hadirin yang dihormati sekalian,
Usaha ini bukan dipupuk dalam sehari dua malah bertahun-tahun lamanya, Pada hari ini, hampir 8,000 orang anak muda menerima biasiswa dengan nilai keseluruhan mencecah sekitar RM250 juta setahun. Lebih 90 peratus daripada anak-anak muda ini berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana. Mereka kini berpeluang mengikuti kerjaya yang lebih menjamin masa depan diri dan keluarga.
BAKAT MADANI menghimpunkan usaha-usaha yang selama ini berjalan secara berasingan ke dalam satu platform nasional, dengan tiga tumpuan utama: mengukuhkan penempatan kerjaya dalam ekosistem PETRONAS, GLIC dan GLC; memperluas peluang tersebut ke sektor-sektor strategik negara; serta memperkasa institusi TVET. Dengan pendekatan ini, seorang anak muda dapat menyusuri satu laluan yang jelas, daripada pendidikan, ke latihan dan pensijilan, sehingga ke pekerjaan yang bermaruah.
Penutup
Malaysia tidak pernah kekurangan bakat. Apa yang kurang ialah jambatan yang menghubungkan bakat tersebut dengan peluang yang sudah menanti.
Saya berharap BAKAT MADANI menjadi satu cara baharu kita membangunkan modal insan negara. Jika institusi-institusi terbesar negara boleh berganding bahu melabur dalam bakat rakyat, saya percaya lebih banyak syarikat akan turut menyahut usaha yang sama.
Membina bakat negara menuntut kesabaran, keazaman dan ketekunan, kerana hasilnya akan hanya diraih bertahun-tahun kemudian. Sesungguhnya tiada pelaburan yang memberikan pulangan lebih kekal, atau menyentuh lebih banyak kehidupan, selain pelaburan ke atas rakyat negara kita sendiri.
Dan itulah amanah negara yang kita pikul bersama pada hari ini.