Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Majlis Perasmian Hari HASiL ke–26

Majlis Perasmian Hari HASiL ke–26

MAJLIS PERASMIAN HARI HASiL KE-26

DEWAN BANGSAWAN MENARA HASiL, CYBERJAYA 
1 MAC 2022, 11 PAGI


Terima kasih saudara / saudari Pengacara Majlis.

Bismillahirrahmanirrahim

  • Yang Berhormat Tuan Haji Yamani Hafez bin Musa,
    Timbalan Menteri Kewangan II

  • Yang Berbahagia Datuk Mohd Nizom Sairi,
    Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

  • Yang Berusaha Puan Che Nazli binti Jaapar,
    Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan Malaysia

  • Yang Berbahagia Dato’ Sri Abdul Latif bin Abdul Kadir,
    Ketua Pengarah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia

  • Yang Berbahagia Anggota-Anggota Lembaga, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia,

  • Yang Berusaha Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

  • Tan Sri, Datuk, Datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

  1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama dalam Majlis Sambutan Hari HASiL ke-26 pada hari ini.

  2. Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia atau HASiL, kerana mengundang saya untuk menyempurnakan majlis pada pagi ini.

  3. Sebelum saya memulakan ucapan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan pesanan YAB Perdana Menteri yang memohon maaf kerana tidak dapat hadir untuk merasmikan majlis pada hari ini akibat tugas di Dewan Rakyat. Oleh itu, saya akan mewakili beliau dalam menyampaikan ucapan bagi majlis ini.

  4. Pertama sekali, saya ingin menzahirkan rasa dukacita atas bencana banjir yang kini melanda negeri-negeri pantai timur, dan turut bersimpati kepada semua yang terkesan.

  5. Salam takziah kepada mereka yang telah kehilangan orang yang tersayang, serta jutaan terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia, serta agensi-agensi yang terlibat dalam membantu mereka yang terjejas. Ketahuilah bahawa Kerajaan sentiasa komited untuk membantu semua yang terkesan.

Tuan-tuan dan Puan-puan, hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Tahun 2020 dan 2021 merupakan antara tahun yang amat mencabar dalam sejarah negara.

  2. Ketidaktentuan ekonomi berikutan pandemik COVID-19, serta impak bencana banjir pada awal dan hujung tahun 2021 telah menjejaskan kehidupan seluruh Keluarga Malaysia.

  3. Namun, di sebalik cabaran-cabaran tersebut, negara kita kekal berdaya tahan, serta terus di landasan pemulihan. Ini amatlah jelas di mana Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun 2021, berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020.

  4. Momentum pemulihan ini merupakan hasil daripada langkah segera Kerajaan melalui pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah 530 bilion ringgit, yang turut dilengkapi oleh inisiatif-inisiatif Belanjawan 2021, kejayaan Pelan Pemulihan Negara, serta pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sistematik.

  5. Malah, pencapaian ini turut disumbang oleh Keluarga HASiL, di mana jumlah kutipan bagi tahun 2021 meningkat sebanyak 17 peratus berbanding tahun 2020, kepada lebih 140 bilion ringgit.

  6. Prestasi cemerlang ini merupakan kejayaan yang amat membanggakan kerana hasil kutipan cukai ini menyumbang hampir separuh daripada jumlah pendapatan negara. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada seluruh Keluarga HASiL.

  7. Kejayaan yang amat membanggakan ini merupakan usaha transformasi HASiL yang merentasi 28 perkhidmatan percukaian secara dalam talian, dan enam aplikasi digital di bawah pendekatan Go Digital for Future Services.

  8. Ketangkasan HASiL dalam mengadaptasi keperluan pendigitalan jelas sekali telah mempermudahkan urusan percukaian bagi seluruh Keluarga Malaysia, seperti digambarkan melalui Statistik Percukaian HASiL yang menunjukkan trend pematuhan cukai yang meningkat dari tahun ke tahun.

  9. Selain itu, Keluarga HASiL juga telah memastikan pengurusan bantuan kepada seluruh Keluarga Malaysia berjalan dengan lancar, dan diterima dalam tempoh sepatutnya.

  10. Ini termasuklah pelbagai bantuan tunai kepada rakyat dan perniagaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Geran Khas Prihatin (GKP).

  11. Dan kini, menerusi Bajet 2022, HASiL sekali lagi diberikan amanah menguruskan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) serta Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia 2021 iaitu inisiatif di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-puan, hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Bagi memastikan pendapatan negara terus stabil, ia memerlukan pendekatan senegara (whole nation approach), merentasi semua pihak termasuklah kerajaan, swasta dan rakyat, selari dengan semangat dan konsep Keluarga Malaysia.

  2. Ini terutamanya melalui pembayaran cukai, di mana hasil yang dikutip akan digunakan bagi membangunkan negara, sekali gus mensejahterakan Keluarga Malaysia dengan pelbagai program bermanfaat.

  3. Dengan sinar pemulihan yang lebih jelas tahun ini, Kerajaan menjangkakan kutipan hasil akan kembali kepada paras sebelum pandemik COVID-19. Saya percaya dan yakin bahawa Keluarga HASiL akan berjaya mengulangi pencapaian tahun 2021, dan akan memenuhi atau melebihi sasaran kutipan cukai berjumlah 139 bilion ringgit bagi tahun ini.

  4. Oleh itu, bagi menyokong hasrat ini, HASiL melalui pengurusannya, perlu merangka pelbagai strategi jangka pendek dan sederhana untuk mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan, dan dalam masa yang sama mengekalkan prestasi yang baik pada masa hadapan.

  5. Ini termasuklah mengenal pasti sektor ekonomi baharu dan melaksanakan undang-undang percukaian dengan telus, berkesan dan cekap. Secara tidak langsung, usaha ini akan meningkatkan kepercayaan Keluarga Malaysia dan memastikan pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

  6. Namun, pendekatan yang lebih sesuai, mesra pelanggan dan dilengkapi dengan didikan harus menjadi panduan kepada Keluarga HASiL dalam melaksanakan tugas masing-masing.

  7. Aktiviti memberikan kesedaran dan penyampaian maklumat yang tepat kepada ‘focus group’ perlu terus dipertingkatkan agar rakyat sedar akan tanggungjawab mereka dan kepentingan cukai yang menyumbang kepada kemakmuran negara yang dicintai ini.

  8. Strategi yang betul dan kepekaan terhadap isu semasa perlulah diurus dengan baik oleh pihak yang berkaitan bagi menjamin keutuhan reputasi dan kepercayaan orang awam terhadap HASiL.

  9. Ke arah ini juga, saya pasti Pelan AntiRasuah LHDNM atau ringkasnya PeARL akan terus menjadi panduan dan rujukan kepada seluruh Hasilian dalam memupuk nilai-nilai integriti dalam diri masing-masing.

Tuan-tuan dan Puan-puan, hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Disebalik pemulihan yang kita berjaya kecapi baru-baru ini, kita tidak boleh leka terutamanya apabila kita berada di persimpangan jalan yang kritikal dalam menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.

  2. Menurut Bank Dunia dan IMF, unjuran pertumbuhan ekonomi dunia tahun ini dijangka berkurangan berbanding apa yang dicapai pada tahun 2021. Ini adalah berikutan ancaman varian Omicron, peningkatan kadar inflasi, serta gangguan rantaian bekalan dunia.

  3. Unjuran tersebut turut didorong oleh permintaan terpendam yang mula reda, serta pengurangan sokongan fiskal dan rangsangan ekonomi oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia.

  4. Malah, baru-baru ini, kita pula berhadapan dengan cabaran kemasukan tentera Rusia di Ukraine yang telah meningkatkan kadar inflasi, di mana harga minyak mentah telah melebihi paras 100 dolar Amerika Syarikat (AS) setong, manakala harga komoditi lain telah melonjak akibat rantaian bekalan yang terjejas.

  5. Oleh itu, Kerajaan akan berusaha sedaya upaya dalam mengimbangi perbelanjaan segera demi mengurangkan beban ke atas kos sara hidup Keluarga Malaysia melalui pelbagai bentuk bantuan, serta memastikan kemampanan fiskal negara dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Tuan-tuan dan Puan-puan, hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Bagi jangka masa panjang, Malaysia berhadapan dengan cabaran perubahan iklim, peralihan negara kepada populasi tua, serta isu struktur yang mengambil masa untuk diselesaikan.

  2. Sehubungan itu, selain dari memberi nafas kepada aspirasi Rancangan Malaysia Yang Ke Duabelas, strategi dan inisiatif Bajet 2022 digubal rapi bagi meneruskan momentum pemulihan jangka pendek, dan juga menerapkan dasardasar penyusunan semula jangka panjang.

  3. Tahun ini, Kerajaan mengunjurkan bahawa KDNK akan tumbuh sebanyak 5.5 hingga 6.5 peratus, selari dengan unjuran oleh IMF (5.7%) dan Bank Dunia (5.8%). Ini akan didorong oleh Bajet 2022 yang mengembang, serta pemulihan aktiviti ekonomi dan sosial; penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi; serta permintaan luar yang kukuh akan terus memacu pertumbuhan.

  4. Selain itu, saya yakin bahawa pertumbuhan ini akan turut disumbang oleh kerjasama berterusan antara Kementerian Kewangan dan HASiL, terutamanya berkenaan inisiatif Bajet 2022.

  5. Ini termasuklah pelaksanaan Cukai Makmur yang akan dikenakan secara one-off kepada syarikat yang meraih keuntungan luar biasa sepanjang tempoh pandemik. Hasil dari cukai ini akan digunakan untuk memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman di masa hadapan.

  6. Kerajaan juga akan melaksanakan Tax Identification Number, atau TIN, dan Sijil Pematuhan Cukai (TCC) untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengumpulan hasil negara.

  7. Pada masa yang sama, mulai tahun 2023, semua peniaga yang ingin mendapatkan projek dengan Kerajaan dikehendaki mempunyai Sijil Pematuhan Cukai sebagai salah satu syarat utama.

  8. Melangkah ke hadapan, saya pasti MOF dan kesemua agensi di bawah MOF akan terus komited untuk menyumbang kepada sebuah Kerajaan yang responsif, serta bertanggungjawab dan reformis dari segi fiskal.

  9. Selain fokus kepada menambah baik pasaran buruh negara dan memperkasa sektor perniagaan, salah satu penekanan yang akan diberikan oleh MOF termasuklah reformasi fiskal. Ini melibatkan usaha ke arah sistem percukaian yang lebih cekap dan telus melalui pelbagai sesi libat urus, termasuklah melalui kerjasama dengan agensi MOF, iaitu Keluarga HASiL .

  10. Ke arah ini, Kerajaan akan membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal bagi meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan pengurusan fiskal negara. Ini termasuklah merencana Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) yang menekankan sasaran pendapatan yang jelas, sejajar dengan amalan global terbaik, serta sistem cukai yang lebih telus, adil dan saksama berlandaskan penggunaan data raya.

  11. Selain itu, satu Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (atau JPB) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri juga telah ditubuhkan. Penubuhan JPB ini akan memantau pelaksanaan pelbagai inisiatif Bajet 2022, dan memastikan keberkesanan dan penyampaian yang cekap.

  12. Secara tidak langsung, kestabilan yang dizahirkan melalui usaha-usaha ini akan dapat memastikan negara kita kekal berdaya saing dan terus menjadi tarikan pelabur asing. Semua ini akan terus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, serta memperkukuhkan momentum pemulihan yang berjaya kita capai baru-baru ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan, hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Saya dimaklumkan dalam sambutan Hari Hasil ke-26 ini, terdapat anugerah yang akan disampaikan iaitu Anugerah Pembayar Cukai Terbaik Tahun 2021 dan Anugerah Most Outstanding Hasilian 2021.

  2. Tahniah kepada semua penerima anugerah pembayar cukai kerana memenuhi tanggungjawab anda yang tentunya penting bagi membiayai pemulihan dan pembangunan sosio-ekonomi negara. Semoga sifat tanggungjawab kepada tanah air kita yang dipamerkan turut memberi motivasi kepada rakan pembayar cukai yang lain.

  3. Tahniah juga kepada pemenang Anugerah Most Outstanding Hasilian 2021. Saya pasti anda semua akan menjadi role model atau persona contoh kepada warga HASiL yang lain.

Tuan-tuan dan Puan-puan, hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Sebelum mengundurkan diri, saya ingin menyeru seluruh Keluarga HASiL untuk mengekalkan momentum positif yang telah berjaya dicapai, dan terus berusaha untuk melakarkan kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun ini dan akan datang.

  2. Saya bersetuju dengan pendekatan HASiL mengenai keperluan untuk meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela melalui A.E.S, iaitu Awareness (Kesedaran Cukai), Education (Pendidikan Cukai) dan Services (Perkhidmatan Cukai).

  3. Melihat kepada strategi dan inisiatif yang telah digariskan tahun ini, saya yakin bahawa HASiL mampu untuk bertindak secara kreatif dan inovatif dalam mencapai objektifnya, sekaligus mengekalkan prestasi kutipan cukai yang tinggi demi kelestarian negara di masa depan, Insya’Allah.

  4. Akhir kata, sekali lagi saya ingin menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh Keluarga HASIL. 

  5. Kini, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Hasil ke-26 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Tahun 2022.

 

Sekian, Wabillahitaufikwalhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility