Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Majlis Perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan Ke-26

Majlis Perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan Ke-26

Bismillahirrahmanirrahim

Yang Berhormat Tuan Liew Chin Tong
Timbalan Menteri Kewangan

Yang Berbahagia Tan Sri Johan Mahmood Merican
Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Yang Berbahagia Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin
Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Yang Berusaha Encik Alan Chung
Presiden Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM)

Para Moderator, Penceramah dan Ahli Panel yang dihormati,

Tetamu Kehormat dan Para Peserta Persidangan,

Tuan-tuan dan Puan-puan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Malaysia MADANI.

PENDAHULUAN

  1. Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini di Persidangan Percukaian Kebangsaan ke-26, yang dianjurkan bersama oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dan Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM).

  2. Selama lebih dua dekad, persidangan ini telah bertindak sebagai platform penting untuk dialog yang membina antara pembuat dasar, pentadbir cukai, ahli-ahli perniagaan dan para profesional. Lebih penting lagi, ia telah memberi peluang kepada kita untuk secara kolektif merenung bagaimana sistem cukai Malaysia boleh terus menyokong pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan kelestarian fiskal dan kekal responsif terhadap persekitaran global yang semakin dinamik.

  3. Tema persidangan tahun ini, “Percukaian Masa Hadapan: Memacu Kepercayaan, Ketelusan dan Transformasi”, adalah amat signifikan dan tepat pada masanya. Ketiga-tiga prinsip ini bukan sekadar aspirasi untuk pentadbiran cukai malah merupakan asas penting bagi tadbir urus yang baik, pembangunan ekonomi yang mampan dan keyakinan awam terhadap institusi cukai kita.

KETIDAKTENTUAN GLOBAL DAN DAYA TAHAN EKONOMI MALAYSIA

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Ekonomi global hari ini sedang melalui tempoh ketidaktentuan yang memuncak. Konflik di Timur Tengah juga telah meningkatkan kebimbangan mengenai pasaran tenaga global, tekanan inflasi, kos pengangkutan dan sentimen pelaburan.

  2. Bagi ekonomi yang sangat terbuka dan bergantung kepada perdagangan seperti Malaysia, perkembangan ini menggariskan kepentingan daya tahan. Kekuatan ekonomi tidak boleh diukur semata-mata dengan angka pertumbuhan. Sebaliknya, daya tahan dibina melalui institusi yang kukuh, pengurusan fiskal yang berhemat, dasar yang konsisten dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam keadaan yang berubah-ubah.

  3. Dalam senario ini, ekonomi Malaysia terus mempamerkan daya tahan dan kekuatan yang luar biasa. Berikutan pengembangan kukuh sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama tahun 2026, ekonomi Malaysia berjaya mengumpul momentum selanjutnya dengan anggaran awal menunjukkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua, disokong oleh permintaan domestik yang mampan dan pengembangan merentas sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pembinaan.

  4. Pada separuh tahun pertama 2026, jumlah perdagangan Malaysia mencecah RM1.8 trilion, manakala eksport berkembang sebanyak 27.5 peratus tahun ke tahun, menyumbang kepada lebihan dagangan sebanyak RM147.1 bilion.

  5. Prestasi yang memberangsangkan ini mencerminkan daya saing perniagaan Malaysia yang berterusan, daya tahan industri berorientasikan eksport dan keyakinan rakan dagang global kita.

  6. Ini adalah bukti komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan terhadap kerangka Ekonomi MADANI, disokong oleh pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, dasar berorientasikan pertumbuhan, dan inisiatif berpaksikan rakyat.

  7. Di peringkat antarabangsa, Malaysia juga terus mencatatkan kemajuan membanggakan dengan menduduki tempat ke-15 dalam kalangan 69 ekonomi dalam International Institute for Management Development 2026 World Competitiveness Ranking. Kedudukan ini adalah satu peningkatan berbanding tempat ke-23 pada tahun lepas, membuktikan kejayaan kerajaan dalam meningkatkan kecekapan kerajaan, perniagaan dan infrastruktur serta prestasi ekonomi.

  8. Namun begitu, kita tetap berwaspada dengan prospek global terus bercirikan ketidaktentuan. Oleh itu, Kerajaan akan terus melaksanakan dasar yang mengukuhkan daya tahan ekonomi, meningkatkan daya saing dan menjaga kelestarian fiskal jangka panjang. Di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas, objektif kita kekal jelas iaitu untuk menaikkan siling ekonomi dan secara  langsung menaikkan lantai bagi semua rakyat Malaysia.

PERCUKAIAN SEBAGAI TUNJANG KELESTARIAN FISKAL

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Kedudukan fiskal yang kukuh bergantung kepada sistem hasil yang cekap, saksama dan diyakini. Percukaian memainkan peranan kritikal dalam hal ini. Selain fungsinya sebagai sumber hasil, sistem cukai yang berkesan akan mengukuhkan keyakinan terhadap institusi awam, menyokong kestabilan ekonomi dan membolehkan kerajaan menyampaikan perkhidmatan penting serta melaksanakan program pembangunan.

  2. Pada tahun 2026, hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan mencecah RM343.1 bilion, dan hasil ini akan disalurkan bagi menyokong pelaburan dalam pendidikan, kesihatan, infrastruktur, keselamatan dan program perlindungan sosial.

  3. Dengan keadaan ekonomi yang semakin cenderung ke arah digital, saling berhubung dan kompleks, sistem cukai di seluruh dunia juga perlu bergerak seiring dengan evolusi ini. Model perniagaan baharu, transaksi rentas sempadan dan perkembangan cukai antarabangsa memerlukan kerajaan untuk terus memodenkan pendekatan mereka terhadap dasar dan pentadbiran cukai.

  4. Malaysia telah bertindak balas secara proaktif terhadap perkembangan ini. Melalui reformasi berterusan dan inisiatif digitalisasi, kita sedang mengukuhkan ketelusan, kecekapan dan integriti ekosistem cukai kita bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan menarik sebagai destinasi pelaburan.

MENGIKTIRAF SUMBANGAN HASiL KEPADA PEMBINAAN NEGARA

  1. Dalam konteks ini, saya ingin mengiktiraf sumbangan penting HASiL sebagai sebuah institusi utama negara yang menyokong kelestarian fiskal dan pembangunan ekonomi. Pada tahun 2025, HASiL melakar sejarah dengan melepasi paras kutipan cukai RM200 bilion buat pertama kalinya, mencatatkan RM203.991 bilion dan melepasi sasaran disemak semula yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

  2. Lebih penting lagi, pencapaian ini membuktikan nilai usaha berterusan untuk mengukuhkan pematuhan, meningkatkan tadbir urus dan memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem cukai.

  3. HASiL terus memacu agenda transformasi cukai Malaysia melalui pelaksanaan e-Invois iaitu salah satu reformasi paling signifikan dilaksanakan dalam landskap pentadbiran cukai negara. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan, tetapi juga memperbaiki integriti data sambil menyokong pendekatan pematuhan dan pentadbiran cukai yang lebih cekap serta berteraskan teknologi.

  4. Sejak pelaksanaannya, HASiL telah berjaya mengutip cukai tambahan sebanyak RM1.009 bilion dengan lebih 52,000 pembayar cukai tampil membuat pengakuan sukarela pendapatan mereka.

  5. Kerajaan MADANI walau bagaimanapun memahami cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam situasi global semasa. Sebagai langkah tindak balas, kerajaan telah memperkenalkan Program Pengakuan Sukarela e-Invois sehingga 31 Disember 2027. Melalui program ini, pembayar cukai boleh secara sukarela mengemas kini, menyemak atau membuat pembetulan tanpa dikenakan sebarang penalti.

  6. Kerajaan juga telah meluluskan insentif elaun modal dipercepatkan, yang membolehkan perniagaan menuntut elaun penuh dalam masa satu tahun bagi perbelanjaan yang layak berkaitan dengan pelaksanaan e-Invois.3 Secara kolektif, langkah-langkah ini akan membantu meringankan kos pematuhan dan beban pentadbiran di samping memupuk pematuhan yang lebih tinggi.

  7. Di peringkat antarabangsa, Malaysia terus memperkukuh bagi pelaksanaan kerangka Global Minimum Tax Framework di bawah OECD/G20 Inclusive Framework, iaitu satu reformasi bersejarah yang akan membentuk masa depan percukaian antarabangsa.

  8. Bersama-sama dengan usaha dan inisiatif berterusan untuk mengukuhkan pematuhan penentuan harga pindahan (transfer pricing), mekanisme pertukaran maklumat dan kerangka baharu seperti Crypto-Asset Reporting Framework (CARF) menunjukkan keazaman Malaysia untuk kekal di barisan hadapan dalam perkembangan cukai antarabangsa sambil memelihara asas hasil dan kedaulatan fiskal negara.

MENYOKONG AGENDA TRANSFORMASI EKONOMI MALAYSIA

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Kerajaan komited dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong pelaburan, inovasi dan keusahawanan. Dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, mencerminkan keazaman kita untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang kompetitif dan bersedia menghadapi masa hadapan.

  2. Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi nasional bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuhkan industri domestik, mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik dan meningkatkan kedudukan Malaysia di rantaian nilai serantau dan global.

  3. Sistem cukai yang moden dan berkesan memainkan peranan penting dalam menyokong cita-cita ini. Para pelabur mencari kepastian dan perniagaan menghargai konsistensi. Pasaran bertindak balas positif terhadap ketelusan dan tadbir urus yang baik. Oleh itu, mengekalkan kerangka cukai yang jelas, cekap dan dipercayai akan terus menjadi tunjang bagi daya saing Malaysia.

PENUTUP: KEPERCAYAAN, DAYA TAHAN DAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Sistem cukai yang kukuh mencerminkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam tetapi juga ketersediaan industri dan individu untuk menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat. Lebih penting lagi, hal ini menggambarkan kapasiti kerajaan untuk menggunakan sumber awam secara bertanggungjawab dalam pembangunan negara.

  2. Perkembangan global kebelakangan ini membuktikan bahawa negara yang mempunyai institusi yang kukuh, tadbir urus yang mantap dan kewangan awam yang mampan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengemudi ketidaktentuan, menangani krisis dan merebut peluang baharu.

  3. Namun, kekuatan ini tidak terhasil dalam sekelip mata. Ia dibina secara beransur-ansur melalui kepimpinan yang bertanggungjawab, institusi yang berkesan dan komitmen bersama terhadap kepentingan negara.

  4. Oleh itu, ketika Malaysia meneruskan perjalanannya di bawah kerangka MADANI, kita mesti terus mengukuhkan asas-asas yang telah mendayakan kemajuan kita. Kita mesti kekal komited terhadap pengurusan ekonomi yang kukuh, tanggungjawab fiskal dan kecemerlangan institusi.

  5. Yang paling utama, kita mesti sedar bahawa membina sistem cukai yang bersedia menghadapi masa hadapan adalah satu tanggungjawab bersama. Ia memerlukan kerjasama antara kerajaan, pentadbir cukai, para peniaga, pengamal industri dan pembayar cukai. Setiap pihak memainkan peranan dalam memastikan sistem cukai Malaysia kekal adil, cekap, berdaya saing dan dipercayai.

  6. Saya yakin bahawa segala perbincangan, perkongsian dan pertukaran pendapat di sepanjang persidangan ini akan menyumbang ke arah objektif tersebut dengan lebih bermakna.

  7. Dengan sukacitanya, saya merasmikan Persidangan Percukaian Kebangsaan ke-26.

Terima kasih.

Arkib Koleksi Ucapan