Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan SEPTEMBER 2026

Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan SEPTEMBER 2026

Bismillahirrahmanirrahim

Yang Berhormat Tuan Liew Chin Tong
Timbalan Menteri Kewangan

Yang Berbahagia Datuk Dr Shahrazat Hj Ahmad
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan)

Yang Berbahagia Dato’ Sri Ab. Rahim Ab. Rahman
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan)

Pasukan Pengurusan Kanan MOF,

Ketua-ketua Jabatan, Agensi serta Syarikat Pelaburan Berkaitan
Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),

Saudara dan saudari yang saya muliakan.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

  1. Syukur Alhamdulillah kita dapat bersama-sama dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan pada pagi ini.

  2. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga MOF atas komitmen, profesionalisme dan kesungguhan yang terus ditunjukkan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat dan negara.

Saudara dan saudari sekalian,

TATAKELOLA: AMANAH MESTI DIJAGA

  1. Kita kini berada dalam satu tempoh yang sangat penting.

  2. Di satu sudut, kita sedang memperkukuh tatakelola dan kompetensi organisasi. Di sudut yang lain, kita sedang bergerak pantas dalam persediaan Belanjawan 2027, sambil memastikan dasar serta keputusan kerajaan terus memberikan manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat.

  3. Perkembangan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 memberikan satu pengajaran yang tidak mungkin dapat kita lupakan.

  4. Laporan tersebut mengandungi 25 syor penambahbaikan, dan sebahagian besar daripadanya telahpun dilaksanakan. Namun begitu, perkara paling utama bukan sekadar berapa banyak syor yang telah selesai dilaksanakan.

  5. Laporan ini memperlihatkan bagaimana kelemahan dalam tatakelola, kawalan dalaman, pemantauan dan proses membuat keputusan boleh menjejaskan kedudukan kewangan dan reputasi sesebuah institusi. Malah lebih buruk lagi boleh mengikis keyakinan rakyat dan Kerajaan.

  6. Tatakelola merangkumi pematuhan prosedur serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Perkara ini memerlukan keberanian untuk bertanya soalan yang sukar, mencabar keputusan yang terpesong, dan bertegasdalam mempertahankan kepentingan kerajaan dan rakyat.

  7. Saya mahu peranan dan sikap ini diamalkan oleh semua pegawai MOF, lebih-lebih lagi bagi mereka yang memegang mandat sebagai Wakil Kementerian Kewangan dalam Lembaga Pengarah.

  8. Pada hari ini, seramai 180 pegawai memegang mandat tersebut dalam syarikat MKD, syarikat berhad menurut jaminan (CLBG), badan berkanun persekutuan dan negeri serta entiti berkaitan. Jangan sesekali wakil MOF menjadi pemerhati pasif dalam boardroom.

  9. Saya mahu saudara dan saudari menjadi governance steward yang memahami mandat organisasi, membaca risiko, bertanya soalan yang tepat dan mencabar secara konstruktif apabila diperlukan.

  10. Ingatlah setiap kali kita membuat keputusan, kita sebenarnya membawa bersama amanah kerajaan dan rakyat.

CONTINUOUS LEARNING PROGRAMME: KOMPETENSI MESTI BERGERAK SEIRING AMANAH

  1. MOF telah merangka Inisiatif Pembangunan Keupayaan (Capability Uplifting) dengan matlamat meningkatkan kapasiti wakil-wakil MOF dalam Lembaga Pengarah syarikat dan badan berkanun, supaya dapat menjalankan peranan dan tanggungjawab fidusiari dengan berkesan.

  2. Inisiatif ini merangkumi Program Pembelajaran Berterusan (CLP) serta pembangunan rangka kerja pencalonan dan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah (ALP).

  3. CLP perlu menjadi platform untuk membina kebijaksanaan dalam membuat keputusan, keyakinan dan kepemimpinan dalam kalangan pegawai kita.

  4. Dunia yang kita urus hari ini semakin kompleks. Risiko kewangan, geopolitik, teknologi, kecerdasan buatan, keselamatan siber dan perubahan struktur ekonomi bergerak dengan sangat pantas. Jika pengetahuan kita tidak   berkembang, keupayaan kita untuk membuat keputusan juga akan ketinggalan. Justeru, budaya pembelajaran berterusan mesti menjadi sebahagian daripada DNA MOF.

Saudara dan saudari yang dihormati,

HKHM 2026: KESEJAHTERAAN MESTI DAPAT DIRASAI

  1. Kita baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan yang ke-69 dan minggu depan kita akan menyambut Hari Malaysia. Tema tahun ini, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sesungguhnya sangat dekat dengan tanggungjawab kita di Kementerian Kewangan.

  2. Kesejahteraan Dinikmati bermakna kemajuan negara melangkau angka dalam statistik. Maksudnya:
    Pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada pekerjaan yang lebih
    baik.

    • Pelaburan membuka peluang lebih luas kepada rakyat.
    • Bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
    • Perkhidmatan kerajaan menjadi lebih pantas dan berkesan.
    • Pembangunan dan kemakmuran dapat dirasai oleh rakyat di seluruh pelusuk negara.
  3. nilah makna sebenar kesejahteraan yang dinikmati.

  4. Bagi warga MOF, semangat cintakan negara adalah melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan baik: apabila setiap ringgit wang awam dijaga dengan berhemat; apabila kita menolak pembaziran; apabila kita memperbaiki kelemahan; dan apabila setiap keputusan yang kita buat akhirnya memberikan manfaat kepada rakyat.

    JELAJAH BELANJAWAN 2027

  5. Semangat yang sama dapat kita lihat melalui beberapa langkah yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 30 Ogos lalu:

    • Pertama, menaikkan had kelayakan BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter dan menaikkan had kelayakan Budi Diesel melalui permohonan daripada 300 liter kepada 400 liter bagi kenderaan pikap dan jip
    • Kedua, menaikkan ambang pengecualian e-invois daripada satu juta ringgit kepada jualan tahunan di bawah 3 juta ringgit.
    • Ketiga, bantuan untuk peniaga mikro ditambah sebanyak satu bilion ringgit menjadikan jumlah keseluruhannya 6 bilion ringgit.
    • Keempat, menambah peruntukan sebanyak satu bilion bagi mempercepatkan urusan rawatan dan mengurangkan tempoh menunggu melalui system EMR dan ketersambungan WiFi di fasiliti kemudahan awam.
    • Kelima, tambahan peruntukan penyelenggaraan sekolah daripada satu bilion ringgit kepada 1.5 bilion ringgit.
    • Keenam, membuka peluang digital untuk belia Malaysia dengan memberikan langganan AI percuma selepas melengkapkan modul pembelajaran di Rakyat Digital.
  6. Semua langkah ini membawa satu mesej yang jelas. Kerajaan MADANI sentiasa peka terhadap keluh kesah rakyat dan berikhtiar meningkatkan kesejahteraan rakyat.

  7. Prinsip ini kita bawa dalam Jelajah Belanjawan 2027 dan sesi libat urus yang sedang berlangsung.

  8. Kita telah turun ke negeri-negeri, bertemu kementerian dan agensi, mendengar industri, masyarakat sivil serta pelbagai kelompok rakyat. Kita mendengar sendiri cabaran yang dihadapi di lapangan.

  9. Untuk merangka belanjawan yang baik kita perlu mendengar sebelum menentukan. Pastikan data kita tepat, analisis kita kukuh setiap cadangan mempunyai outcome yang boleh diukur dan bukan sekadar output yang boleh dilaporkan.

  10. Kita perlu tahu bukan sahaja apa yang telah dilaksanakan, tetapi apakah perubahan yang terhasil untuk rakyat. Setiap ringgit yang diperuntukkan haruslah menghasilkan nilai untuk negara dan rakyat. Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

    PENUTUP

  11. Daripada RCI Tabung Haji, kita belajar bahawa tatakelola mesti dipertahankan.

  12. Daripada CLP, kita memahami bahawa kompetensi mesti sentiasa dipertingkatkan.

  13. Daripada semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kita diingatkan bahawa kesejahteraan mesti dapat dinikmati oleh rakyat.

  14. Dan melalui Belanjawan 2027, kita mempunyai peluang untuk menterjemahkan semua prinsip itu kepada tindakan dan impak.

  15. Kita terus bekerja sebagai satu pasukan.

  16. Berani bertanya. Berani memperbaiki. Berani membuat keputusan yang betul.

  17. Sedarlah bahawa setiap angka yang dianalisis, setiap dasar yang dicadangkan dan setiap ringgit yang diuruskan akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

  18. Inilah amanah kita. Dan amanah itu mesti kita laksanakan sebaikbaiknya.

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

 

↓ Muat Turun : 20260908-Final-PERHIMPUNAN-BULANAN-KEMENTERIAN-KEWANGAN-SEPT-2026-1

Arkib Koleksi Ucapan