Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama-sama Menteri Kewangan II Bilangan IV

Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama-sama Menteri Kewangan II Bilangan IV

Bismillahirahmanirrahim

Salutasi

Yang Berhormat Tuan Liew Chin Tong
Timbalan Menteri Kewangan

YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kementerian Kewangan

Setiausaha-setiausaha Bahagian

Saudara dan saudari,
seluruh warga MOF yang saya hormati.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan

Salam Malaysia MADANI.

  1. Alhamdulillah, kita berhimpun pada pagi ini dalam suasana yang aman dan tenang dalam bulan yang penuh keberkatan. Bersyukurlah kita kerana dengan Kuasa yang Maha Esa dan limpah rahmatnya Malaysia terus aman, sejahtera dan makmur.

  2. Izinkan saya untuk memulakan ucapan pada pagi ini dengan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kementerian atas dedikasi, integriti dan disiplin yang berterusan demi menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

  1. Alhamdulillah, Malaysia mencatat rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara. Pada tahun 2025, jumlahnya mencecah RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sebanyak 8,390 projek telah diluluskan dan daripada itu Kerajaan yakin dapat mewujudkan hampir 245,000 peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia.

  2. Pada masa yang sama, pelaburan domestik kekal kukuh pada RM219.6 bilion, merangkumi 51.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara. Manakala pelaburan asing melonjak 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion. Jelas sekali Malaysia menjadi pilihan pelabur masa kini kerana kestabilan politik, hala tuju dan dasar ekonomi yang jelas seperti kerangka Ekonomi MADANI dan RMK13.

  3. Momentum ini harus dikekalkan walaupun kita kini berdepan dengan cabaran geopolitik dan kejutan ekonomi akibat langsung daripada konflik di Asia Barat. Kesan ketara setakat ini, harga minyak mentah yang melonjak dan berpotensi melepasi AS100 setong. dan turut mempengaruhi pasaran Asia. Begitu juga dengan industri penerbangan global, lebih 20,000 penerbangan telah dibatalkan dan ini adalah gangguan paling buruk sejak pandemik Covid-19.

  4. Bahang daripada konflik ini akan turut dirasai oleh negara kita bergantung kepada tempoh peperangan dan skalanya. Namun begitu kesan sebenar daripada perang ini sukar diramalkan dan kita harus bersedia sebaik mungkin supaya ekonomi negara terus berdaya tahan. MOF dan Bank Negara akan memantau konflik ini dengan rapat untuk mengkaji pelbagai kemungkinan yang bakal memberi kesan langsung kepada ekonomi negara dan rakyat. Dalam kata lain, di saat dunia mengalami gegaran ekonomi, MOF memikul tanggungjawab untuk mencorak daya tahan ekonomi negara supaya kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

  5. Konflik di Asia Barat adalah distraction, iaitu suatu bentuk gangguan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pembaharuan fiskal yang telah diusahakan sejak 3 tahun lepas telah mewujudkan ruang fiskal supaya negara lebih kukuh berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

  6. MOF mempunyai peranan penting untuk menyelaras dengan semua Kementerian dan agensi bagi terus memacu pertumbuhan ekonomi domestik. Ini termasuklah memastikan peruntukan Belanjawan 2026 dioptimakan dengan memudahcara dan menyegerakan terutamanya pelaksanaan projek kecil. Selain itu, kita perlu memastikan pelaburan—sama ada menerusi syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), badan berkanun, mahupun insentif pelaburan domestik bernilai tinggi—berupaya menjana peluang pekerjaan dan perniagaan yang bermakna untuk rakyat.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

  1. Seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Tahun Baharu 2026, pelaksanaan projek-projek kecil yang dinantikan oleh rakyat dan telah dirancang dalam Belanjawan 2026 dan harus disegerakan.

  2. MOF berperanan sebagai pengerusi kepada pelaksanaan projek-projek kecil ini atau kini dikenali sebagai Projek Cakna MADANI. Antara kriterianya ialah:

    • Memberi manfaat kepada rakyat khususnya dari sektor pendidikan, kesihatan, perumahan dan & pengangkutan
    • Mempunyai impak segera, berjangka pendek dan memberikan hasil yang cepat
    • Bersasar kepada golongan tumpuan seperti B40, M40 dan penduduk luar bandar
    • Berskala kecil hingga sederhana, projek mudah dan praktikal untuk komuniti setempat
    • Boleh dipantau, diukur dan mempunyai indikator yang jelas
    • Meningkatkan kualiti hidup, sejahtera, selesa dan selamat

  3. Lebih 400 projek-projek kecil bernilai 10 bilion ringgit, termasuk 2.4 bilion ringgit khusus untuk kontraktor kelas G1 hingga G4, telah dikenalpasti dan perlu disiapkan sepenuhnya sebelum hujung tahun ini. Antara projek-projek ini adalah:

    • Menaik taraf jalan pertanian, bantuan rumah nelayan dan pasar nelayan,
    • Naik taraf kemudahan di hospital, perolehan peralatan dan pembaikan fasiliti,
    • Kerja-kerja naik taraf sekolah, padang sekolah dan kuarters,
    • Pemulihan cerun dan menambah baik sistem perparitan,
    • Penyenggaraan jalan persekutuan, lampu jalan dan lampu isyarat, dan
    • Pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir.

  4. Sejajar dengan paksi kerangka Ekonomi MADANI, saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada LHDN dan JKDM untuk terus memberikan tumpuan kepada tatakelola yang baik dengan meningkatkan penguatkuasaan. Ketirisan dalam bentuk apa sekalipun, penyelewengan, ekonomi gelap, penyeludupan, penipuan dan jenayah lain, harus dihentikan.

  5. LHDN harus melipatgandakan kempen kesedaran untuk inisiatif seperti e-invois supaya lebih ramai lagi pembayar cukai berminat untuk menggunakan sistem ini yang dapat membantu mereka merekod cukai dengan lebih cekap, dan pada masa yang sama, dapat mengekang aktiviti ekonomi gelap yang amat merugikan negara.

  6. Begitu juga dengan JKDM, penguatkuasaan harus diketatkan bagi membanteras penyeludupan dan penyelewengan yang kedua-duanya menyumbang kepada ketirisan pendapatan negara.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

  1. Susulan pewartaan Akta Kredit Pengguna 2025 [Akta 873] (AKP) pada 31 Disember 2025, sebuah badan berkanun iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) telah ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan pada 1 Mac 2026.

  2. Penubuhan ini bertujuan menangani risiko dalam industri kredit yang tidak dikawal selia, khususnya yang menyasarkan pengguna rentan. Pengawalseliaan akan dilaksanakan ke atas enam sektor perniagaan melalui dua kaedah:

    • Pertama melalui Pelesenan: Diwajibkan bagi perniagaan kredit seperti skim "Beli Sekarang Bayar Kemudian" (BNPL), pemajakan, dan pemfaktoran; dan
    • Kedua melalui Pendaftaran: Diwajibkan bagi perkhidmatan kredit termasuk pemungutan hutang dan pengurusan hutang.

  3. Akta ini merupakan pengukuhan infrastruktur perlindungan pengguna dan bukti kepada komitmen Kerajaan dalam mewujudkan ekosistem kredit yang adil, telus, dan selamat daripada eksploitasi. Bilangan pengguna BNPL telah meningkat daripada 2.6 juta pada tahun 2023 kepada 7.5 juta pengguna pada akhir tahun 2025.

  4. Di bawah kerangka ini, semua penyedia BNPL diwajibkan mematuhi piawaian pelakuan yang ketat, termasuk melaksanakan penilaian kelayakan kredit dan kemampuan berhutang sebelum sesuatu pembiayaan diluluskan. Penyedia BNPL juga perlu memastikan terma urus niaga, caj dan fi yang telus, munasabah serta tidak membebankan pengguna, selaras dengan prinsip pemberian kredit secara bertanggungjawab.

  5. Kejayaan dasar negara bukan hanya diukur pada penggubalan akta atau penyediaan dana, tetapi sejauh mana ia sampai dan dimanfaatkan oleh golongan sasar. Suka saya mengingatkan bahawa warga MOF mempunyai peranan sampingan iaitu sebagai rujukan utama masyarakat. Kita mestilah sentiasa peka dan bersikap mengambil tahu dasar-dasar, inisiatif serta program yang diwujudkan oleh Kerajaan. Inisiatif seperti kemudahan SJPP untuk peniaga, pembiayaan alternatif seperti MyCIF, serta perlindungan di bawah Akta Kredit Pengguna boleh dikongsikan kepada saudara-mara dan rakan-rakan sebagai maklumat yang tepat dan bermanfaat kepada mereka.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

  1. Bagi membantu penjawat awam dan pesara membuat persiapan menjelang perayaan Aidilfitri, sukacita juga dimaklumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak akan dibayar pada 13 Mac ini. Pemberian BKK ini adalah seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober tahun lepas.

  2. Maka saya dan pengurusan tertinggi MOF mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, memohon maaf zahir dan batin, seikhlasnya daripada kami.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sekian, terima kasih.

Arkib Koleksi Ucapan