Majlis Ulang Tahun Ke-30 Biasiswa PNB Membina Legasi, Memperkasa Generasi
Ucapan
Bismillahirrahmanirrahim Terima kasih saudara dan saudari pengacara majlis.
Yang Mulia Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda Pengerusi Kumpulan PNB;
Yang Berbahagia Dato' Rizal Rickman Ramli Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB;
Lembaga Pengarah PNB,
Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI);
Para alumni Biasiswa PNB, Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian;
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Malaysia MADANI,
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, dapat kita bersama-sama meraikan Ulang Tahun ke-30 Program Biasiswa PNB. Satu pencapaian yang cukup bermakna.
Sejak 1996, lebih 6,000 anak muda telah menerima manfaat daripada program-program Biasiswa PNB. Ramai dalam kalangan mereka yang kini berkhidmat sebagai profesional, penyelidik, usahawan, penjawat awam dan pemimpin korporat yang menyumbang bakti kepada industri dan negara.
Sekira dilihat dari satu sudut, program ini seperti platform bantuan kewangan untuk mengiktiraf pencapaian akademik semata-mata. Namun hakikatnya, nilai sebenar program ini terletak pada bakat yang digilap, pintu peluang yang dibuka luas, dan pengupayaan mobiliti sosial demi membina sebuah negara yang inklusif dan sejahtera.
Setinggi-tinggi penghargaan dan syabas ingin saya rakamkan kepada kepimpinan serta seluruh warga Permodalan Nasional Berhad (PNB) atas komitmen yang tidak pernah luntur selama tiga dekad dalam memacu pembinaan negara dan pemerkasaan bumiputera.
Program Biasiswa PNB telah bertapak sebagai satu program yang berjaya melaksanakan agenda negara dengan menyerlahkan potensi anak-anak muda daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi menjadi aset kepimpinan yang amat berharga kepada Malaysia.
Biasiswa merupakan pelaburan strategik jangka panjang. Hasilnya tidak semestinya dilihat serta merta, tetapi kesannya dapat dirasai merentasi dekad.
Hasilnya terbukti dan nyata apabila saudara-saudari — para alumni yang memenuhi dewan pada malam ini — menggalas tanggungjawab sebagai profesional, penyelidik, usahawan, penjawat awam, dan pemimpin korporat yang memacu kemajuan negara serta mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Hadirin yang saya hormati,
Dunia kini berada dalam era peralihan yang menuntut ketahanan serta daya adaptasi yang tinggi. Perubahan berlaku begitu pantas menerusi ledakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), proses pendigitalan yang menyeluruh, serta cabaran peralihan tenaga.
Dalam persekitaran global yang mencabar ini, kelebihan daya saing sebenar sesebuah negara tidak lagi bergantung kepada sumber asli atau infrastruktur fizikal semata-mata, sebaliknya terletak pada keupayaan modal insannya.
Berlandaskan Kerangka Ekonomi MADANI dan ikhtiar GEARuP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan, tumpuan utama Kerajaan adalah untuk melahirkan bakat tempatan yang berdaya saing, berdaya tahan, serta mampu mencipta nilai tinggi bagi ekonomi negara.
Selari dengan hasrat ini, inisiatif Bakat MADANI yang dilancarkan baru-baru ini oleh YAB Perdana Menteri, menyasarkan penglibatan seramai 25,000 anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah ke dalam ekosistem sektor strategik negara menjelang pertengahan 2027.
Ekosistem yang dimaksudkan termasuklah di syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan serta industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, tenaga hijau, dan AI.
Bakat MADANI menjurus kepada tiga bidang:
Pertama: Penempatan dalam ekosistem dengan peluang kerjaya di Petronas, GLIC dan GLC
Kedua: Penumpuan dalam sektor strategik negara meliputi bidang semikonduktor, tenaga, digital dan AI
Ketiga: Pemerkasaan institusi TVET melalui kerjasama strategik industri bersama institusi awam
Melalui Program Bakat MADANI anak-anak muda ini diberi laluan yang jelas yang berasaskan pada pendidikan, latihan, pensijilan dan pembangunan kerjaya.
Dalam jangka masa panjang Bakat MADANI akan merapatkan jurang sosioekonomi dan membina generasi peneraju baharu negara.
Kejayaan yang dicapai oleh saudara-saudari para alumni hari ini adalah cerminan dan bukti terbaik kepada matlamat Bakat MADANI.
Apabila modal insan yang digilap oleh sebuah institusi seperti PNB berkembang dan memperkukuhkan institusi-institusi lain di seluruh negara, ianya memberikan kesan ketara kepada daya saing dan daya tahan ekonomi negara.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Pada majlis yang amat bermakna ini izinkan saya berkongsi harapan dengan saudara-saudari para alumni Biasiswa PNB.
Tema sambutan ulang tahun kita pada malam ini, "Membina Legasi, Memperkasa Generasi", membawa erti yang amat mendalam. Tema ini menggariskan suatu amanah dan tanggungjawab moral yang disandang ke atas bahu saudara-saudari.
Jika 30 tahun pertama program ini telah dibina atas dasar memberi peluang dan membentuk perjalanan kerjaya saudara-saudari, maka 30 tahun yang akan datang bergantung kepada bagaimana saudara-saudari memimpin, membimbing, dan meneruskan legasi kecemerlangan ini.
Saya akui tanggungjawab ini berat. Ikatan alumni dengan PNB tidak akan terputus oleh masa. Dan ikatan ini erat terpaut dengan jasa budi dan bakti kepada negara.
Ikatan ini berasaskan rasa syukur, nilai budi dan tanggungjawab mendalam terhadap pertiwi. Suatu ketika dahulu, saudara-saudari juga merupakan anak-anak muda yang mengorak langkah di menara gading, berbekalkan tekad, impian untuk berjaya dengan sokongan daripada Biasiswa PNB.
Sudah sampai masanya saudara-saudari menyumbang semula kepada anak-anak muda masa yang sedang mengatur langkah yang sama, berbekalkan tekad dan impian untuk mencipta masa depan yang lebih terjamin.
Justeru, pada majlis gilang gemilang ini, saya ingin menyeru seluruh alumni Biasiswa PNB: Jangan biarkan kejayaan dan keistimewaan ini terhenti pada diri anda sahaja. Sumbanglah bakti dan jasa kepada masyarakat dan negara.
Luangkan masa dan tenaga untuk menjadi mentor, memberi peluang, mendidik bakat baru, lebih-lebih lagi jika anakanak muda ini berasal dari luar bandar atau golongan berpendapatan rendah.
Anak-anak muda inilah yang akan menjadi lapisan baharu peneraju ekonomi masa depan negara.
Dengan menyumbang kembali kepada masyarakat, saudara-saudari mampu mencipta impak yang lebih besar untuk Malaysia.
Dengan cara inilah Malaysia akan terus teguh pada asasnya dan tidak mudah goyah apabila mendepani apa sahaja kemungkinan pada masa depan; arus geopolitik, perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi dan bekalan malah kesan pandemik sekalipun.
Saya yakin bahawa saudara-saudari alumni Biasiswa PNB berjiwa besar untuk terus berbakti demi pertiwi dan memacu masa depan Malaysia yang lebih makmur, saksama, dan sejahtera.
Penutup
Akhir kata, sakali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada PNB dan seluruh warganya yang cekal menghidupkan program Biasiswa PNB selama tiga dekad.
Semoga legasi kejayaan pembangunan negara ini akan terus memperkasa generasi masa depan. Selamat Menyambut Ulang Tahun ke 30 Program Biasiswa PNB.