Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Pelancaran Program ePEMULA

Pelancaran Program ePEMULA

TEKS UCAPAN
YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL BIN TENGKU
ABDUL AZIZ
MENTERI KEWANGAN

SEMPENA PELANCARAN PROGRAM ePEMULA
15 APRIL 2022 (Jumaat)


Bismillahirahmanirahim,

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Perdana Menteri Malaysia

Yang Berhormat Datuk Seri. Dr. Noraini binti Ahmad
Menteri Pengajian Tinggi

Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan I

Yang Berhormat Tuan Haji Yamani Hafez Musa
Timbalan Menteri Kewangan II

Yang Berbahagia Datuk Seri Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Barisan Pengurusan Telekom Malaysia dan Universiti Multimedia

Ketua-ketua Pegawai Eksekutif syarikat e-Dompet;

Pegawai-pegawai kanan Kerajaan, rakan-rakan media, dan seterusnya;

Saudara dan saudari,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

  1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahuwataa'la kerana dengan rahmat dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul pada petang ini untuk bersama-sama menjayakan majlis pelancaran Program ePemula.

  2. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, atas kesudian beliau untuk meyempurnakan majlis pada hari ini.

  3. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada kementeriankementerian, agensi-agensi dan pihak yang terlibat dalam usahasama menjayakan pelancaran ePemula ini.

Tuan-tuan, Puan-puan, para hadirin yang saya hormati,

  1. Saya percaya, ramai di sini masih ingat di kala pandemik COVID-19 mula melanda. Di waktu itu, pandemik telah menjejaskan nyawa dan mata pencarian ahli Keluarga Malaysia, terutamanya golongan rentan dan belia.

  2. Menyedari implikasi pandemik COVID-19 kepada golongan belia, pelbagai inisiatif telah diumumkan melalui pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah 530 bilion ringgit, serta langkah-langkah melalui Belanjawan 2021 dan Bajet 2022

  3. Dan tahun ini, antara langkah yang telah mula memanfaatkan golongan belia termasuklah inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (yang akan menjamin penyediaan 600 ribu peluang pekerjaan, dengan peruntukan berjumlah 4.8 billion ringgit). Kita juga ada inisiatif SemarakNiaga bernilai RM40 bilion yang menyediakan pelbagai pelan pembiayaan untuk usahawan belia memulakan perniagaan.

ePEMULA MEMUPUK BUDAYA TANPA TUNAI YANG LEBIH MUDAH, TELUS DAN SELAMAT

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Umum mengetahui bahawa pandemik COVID-19 telah mempercepatkan peralihan dan penggunaan aplikasi digital bagi mempermudahkan pelbagai urusan.

  2. Salah satu aplikasi digital yang menjadi kebiasaan hari ini termasuklah pembayaran secara digital. Dan kini, dengan pembukaan kesemua sektor ekonomi dan sosial, penggunaan e-Dompet juga semakin meningkat.

  3. Sambutan yang menggalakkan tersebut turut dicerminkan melalui program eBelia yang dilaksanakan pada tahun lalu. Sepanjang tempoh program tersebut kita mencatatkan pendaftaran lebih dari 580 ribu pengguna e-Dompet baharu, dan lebih dari 5 ribu peniaga baharu yang mendaftar dengan penyedia e-Dompet.

  4. Malah, kita dapat lihat semakin banyak kedai yang sudah mula menerima kaedah pembayaran melalui e-Dompet bagi pembelian offline iaitu pembelian secara fizikal di kedai-kedai. Pada akhir tahun lalu, Malaysia telah mencatatkan peningkatan hampir 60 peratus bagi pendaftaran peniaga untuk perkhidmatan e-tunai kod QR DuitNow kepada 1.1 juta touchpoints atau pusat pembayaran fizikal.

  5. Saya juga ingin berkongsi bahawa manfaat padanan berupa cash back, baucar, mata terkumpul atau coins turut ditawarkan oleh penyedia e-Dompet yang boleh digunakan secara dalam atau luar talian selain daripada RM150 kredit e-tunai ePemula. Risik dahulu apa yang ditawarkan oleh setiap e-Dompet dan buatlah pilihan anda.

  6. Peningkatan jumlah transaksi tanpa tunai sebanyak 74.4 peratus berbanding tahun 2020 kepada 1.1 billion pada tahun 2021 juga jelas menggambarkan bahawa peniaga dan pengguna semakin selesa menggunakan fasiliti tanpa tunai di kedai-kedai. Untuk makluman, kod QR DuitNow ini adalah satu kod standard yang boleh menerima bayaran melalui pelbagai jenis e-Dompet.

  7. Melalui Program ePemula, Kerajaan berharap agar momentum e-tunai ini kekal, terutamanya bagi meneruskan usaha Kerajaan dalam memacu penggunaan perkhidmatan kewangan digital. Pelaksanaan e-tunai bukan sahaja memudahkan pengguna, tetapi juga mengutamakan aspek keterangkuman, keselamatan dan ketelusan.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Semenjak 1 April, negara kita sudahpun memasuki fasa peralihan ke endemik, dan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial telah pun dibenarkan. Oleh itu, program ePemula yang diperkenalkan tahun ini menekankan penggunaan e-Dompet atau e-tunai untuk pembelian secara fizikal. Kerajaan berharap, dengan peruntukan Kerajaan sebanyak RM300 juta bagi ePemula, langkah ini akan menggalakkan pengguna untuk menyokong komuniti perniagaan tempatan, khususnya PKS mikro yang amat terkesan akibat pandemik.

  2. Keempat-empat e-Dompet yang mengambil bahagian melalui Program ePemula iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet ini boleh digunakan melalui jaringan peniagaan runcit yang melebihi 1.2 juta touchpoints.

  3. Jaringan yang luas ini akan memastikan pelaksanaan ePemula secara menyeluruh di seluruh negara, termasuk di bandar-bandar kecil, lantas memanfaatkan lebih ramai belia dan pelajar, selain membudayakan satu sistem pembayaran tanpa tunai yang lebih mudah, telus dan selamat.

TERIMA KASIH DAN PENUTUP

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Sebelum saya mengakhiri ucapan, setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan kepada Khazanah Nasional Berhad dan TIME dotCom selaku pengurus projek, serta syarikat e-Dompet BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

  2. Saya juga ingin menekankan bahawa program ini juga tidak akan berjaya tanpa kerjasama dari pelbagai kementerian, terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Sumber Manusia, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

  3. Semua pihak terlibat telah bertungkus-lumus untuk menjayakan inisiatif ini. Usahasama antara Kerajaan dan pihak swasta ini amat penting dalam usaha memulih dan memacu ekonomi kita, dan perlu diteruskan, terutamanya bagi melaksanakan pelbagai inisiatif yang akan memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia.

  4. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri, bin Yaakob serta rakan-rakan sekerja dari Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Perdana Menteri dalam menjayakan majlis ini.

  5. Akhir kata, kepada belia yang saya kasihi, jangan lupa untuk berkongsi dengan rakan-rakan berkaitan program ini. Demi kesejahteraan ekonomi Malaysia, gunakanlah peluang ini juga untuk berbelanja di kedai-kedai fizikal, agar kita sedikit sebanyak dapat membantu peniaga-peniaga tempatan, terutamanya PKS mikro, untuk pulih dan berkembang semula.

Sekian, terima kasih.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warrahmatullahi
Wabarakatuh.

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility