TEKS UCAPAN
YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL BIN TENGKU ABDUL AZIZ
MENTERI KEWANGAN
SEMPENA PELANCARAN
PRINSIP TABIR URUS YANG BAIK BAGI SYARIKAT PELABURAN BERKAITAN KERAJAAN
(PRINCIPLES ON GOOD GOVERNANCE FOR GOVERNMENT-LINKED INVESTMENT COMPANIES (PGG))
15 APRIL 2022 (Jumaat) DEWAN UTAMA, MOF | 10:00 PAGI
Bismillahirahmanirahim,
Yang Berhormat Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah,
Timbalan Menteri Kewangan I;
Yang Berhormat Tuan Haji Yamani Hafez bin Musa,
Timbalan Menteri Kewangan II;
Yang Berbahagia Datuk Seri Asri Hamidon,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan;
Yang Berusaha Puan Anis Rizana Mohd Zainuddin,
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan);
Yang Berbahagia Datuk Syed Zaid Albar,
Pengerusi, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia;
Puan Rohaya Mohammad Yusof, Pengerusi,
Majlis Pelabur Institusi Malaysia;
Para Pengerusi, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC);
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
- Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahuwataa'la kerana dengan rahmat dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul pada pagi ini bagi Majlis Pelancaran Prinsip Tadbir Urus Baik bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, atau Principles on Good Governance for Government Linked Investment Companies (PGG).
- Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur serta semua agensi dan individu yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.
LATARBELAKANG PENYUSUNAN SEMULA GLIC/GLC
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
- Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, atau GLIC yang terdiri daripada Dana Kekayaan Berdaulat (SWF) dan Pelabur Institusi, telah menjadi asas kepada pembangunan dan pertumbuhan sosioekonomi Malaysia selama ini.
- Secara keseluruhan, GLIC hari ini mengurus pelaburan bernilai lebih 1.7 trilion ringgit, dan memainkan peranan yang penting bagi menarik pelabur ke Malaysia, memacu pembangunan infrastruktur yang kritikal, dan membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi.
- Lebih kurang 18 bulan yang lalu, Kementerian Kewangan (MOF) telah memulakan satu inisiatif penyusunan semula GLIC dan GLC. Program penyusunan semula jangka sederhana ini bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan GLIC dan GLC dalam menghadapi pelbagai cabaran baharu pasca-pandemik, dan mengoptimumkan peranan Kerajaan dalam sektor perniagaan.
- Secara amnya, program ini mempunyai empat objektif utama:
- pertama, memangkin pertumbuhan industri baharu dengan meningkatkan penjajaran GLIC kepada agenda pembangunan negara;
- kedua, mengukuhkan kedudukan fiskal negara;
- ketiga, memastikan kesejahteraan rakyat dan memudahcara peruntukan simpanan bagi memastikan dana persaraan yang mencukupi; dan
- keempat, meningkatkan kecekapan kerajaan dalam mengoptimumkan aset strategik negara.
- Di sebalik objektif berikut, terdapat sub-inisiatif yang memberi tumpuan kepada peningkatan penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus, atau ESG, ke atas pelaburan yang dilaksanakan oleh GLIC. Inilah asas kelahiran dokumen PGG tersebut.
PENGGUBALAN PRINCIPLES ON GOOD GOVERNANCE
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
- Pandemik COVID-19 yang telah melanda dunia lebih dua tahun yang lalu dan telah mengubah persekitaran ekonomi global, sekaligus membawa gelombang perubahan berkait pengurusan syarikat korporat.
- Persekitaran yang mencabar ini telah mewujudkan keperluan mendesak untuk memastikan GLIC menambahbaik amalan tadbir urus mereka supaya ia setaraf dengan amalan terbaik antarabangsa.
- Menyedari keperluan ini, sebuah pasukan kerja yang diterajui oleh MOF telah ditubuhkan untuk merencana rangka kerja tadbir urus yang efektif. Ini terutamanya dalam menguruskan dana secara berhemat, menjamin kemampanan fiskal, dan memastikan pertumbuhan kekayaan negara bagi tahun-tahun yang akan datang.
- Pasukan kerja ini turut dianggotai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, mengambil kira pengalaman luas mereka dalam mengawalselia dan mengukuhkan amalan tadbir urus korporat bagi pasaran modal negara.
- Secara ringkas, garis panduan yang termaktub di dalam dokumen PGG ini bertujuan untuk menajamkan lagi peranan yang dimainkan oleh GLICs dalam menghadapi cabaran di masa hadapan.
- Dalam usaha menghasilkan PGG, perbincangan antara wakil GLIC dan pasukan kerja telah diadakan bagi mempertimbangkan pendapat, pandangan, serta kritikan dari semua pihak. Kementerian dan institusi yang berkepentingan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut memberikan pandangan sewaktu proses penggubalan dokumen ini.
- Untuk makluman, proses merangka PGG telah mengambil kira perkembangan semasa dan perbincangan berkaitan prinsip dan amalan tadbir tadbir urus terbaik di peringkat tempatan dan antarabangsa. Ia juga telah mempertimbangkan pendapat, pandangan dan pengalaman ahli lembaga pengarah GLIC yang baharu dan terdahulu. Malah, PGG turut mengintegrasikan beberapa perkara yang disentuh dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada tahun lepas.
PGG: PENEKANAN KEPADA INTEGRITI LEMBAGA PENGARAH
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
- PGG berteraskan tiga prinsip utama iaitu:
- Pertama, kepimpinan dan keberkesanan lembaga pengarah;
- Kedua, memastikan komposisi lembaga pengarah yang optimum, berkelayakan dan berwibawa; dan
- Ketiga, menyokong pengendalian pelaburan dengan efektif.
- Bagi memastikan GLIC dikemudi dengan baik, PGG memberi penekanan terhadap peranan dan tangunggjawab Lembaga Pengarah. Semua pengarah harus memimpin melalui teladan berdasarkan prinsip, serta kewajipan dalam ketelitian, ketelusan, dan kesetiaan.
- Proses lantikan dan kelayakan seseorang Pengarah juga diberi penekanan penting. Hanya individu yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman yang luas, serta berintegriti akan diberi mandat sebagai ahli lembaga pengarah GLIC.
- PGG juga memberi perhatian yang mendalam terhadap kepelbagaian komposisi Lembaga Pengarah dari segi latar belakang, budaya, pengalaman, umur dan jantina. Ini amatlah penting agar ia mencerminkan Lembaga Pengarah yang progresif dan mencapai komposisi yang optimum.
- Ingin saya tekankan di sini bahawa penglibatan wanita dalam Lembaga Pengarah boleh memberi impak yang positif terhadap keberkesanan kepimpinan, serta kedua-dua prestasi kewangan dan bukan kewangan sesebuah entiti. Malah, ini telahpun terbukti melalui beberapa kajian empirikal. Oleh itu, PGG menyarankan agar wanita mewakili sekurang-kurangnya 30 peratus daripada komposisi keseluruhan Lembaga Pengarah GLIC.
PGG: PENEKANAN KEPADA ISU-ISU KELESTARIAN ALAM SEKITAR, SOSIAL DAN TADBIR URUS (ESG)
Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin yang saya hormati sekalian,
- Masalah perubahan iklim dunia kini dirasai oleh seluruh umat manusia, termasuklah Keluarga Malaysia. Musibah banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini membuktikan betapa pentingnya untuk kita memelihara kelestarian alam sekitar. Yang lebih tragis lagi, apabila musibah banjir, atau mana-mana bencana alam berlaku, lazimnya golongan rentanlah yang lebih terkesan dengan ketara.
- Selain itu, kita juga sering mendengar mengenai kontroversi berkaitan isu ESG. Ini termasuklah masalah pencemaran alam sekitar, serta isu yang berkait rapat dengan aspek sosial seperti layanan yang kurang baik terhadap pekerja asing.
- Oleh itu, bagi memastikan GLIC bersedia menghadapi peningkatan permintaan pasaran berkenaan ESG, PGG mencadangkan penubuhan struktur tadbir urus bagi pengawasan ESG di dalam strategi pelaburan mereka. Yang sama penting dan perlu ditekankan adalah keperluan untuk meningkatkan kapasiti dan kepakaran mengenai ESG dalam memastikan kelangsungan usaha ini di masa hadapan.
- Malah, ada pelbagai data yang menunjukkan bahawa syarikat yang memberi tumpuan kepada isu ESG telah berjaya mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti pekerja, mengurangkan pelbagai risiko, dan mencipta lebih banyak peluang perniagaan.
- Tambahan pula, pandemik COVID-19 telah banyak membuktikan dengan jelas bahawa syarikat korporat yang sentiasa bersiap-siaga dan mengamalkan tadbir urus atau governance yang baik memiliki kelebihan dari segi daya tahan. Dalam jangka masa panjang, ini tentu sekali akan meningkatkan keuntungan korporat dan memastikan kelangsungan perniagaan.
- Secara ringkas, saya berharap bahawa PGG akan menjadi penanda aras baharu dan akan juga diamalkan oleh sektor korporat di negara kita, terutamanya berkenaan prinsip ESG yang turut merangkumi aspek tadbir urus syarikat yang baik.
USAHA GLIC/GLC MENDUKUNG ASPIRASI NEGARA: PERKONGSIAN BERTERUSAN DENGAN RAKYAT
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
- Pada bulan lepas, MOF dan GLIC telah menganjurkan Hari Terbuka GLC 2022 yang telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
- Alhamdulillah, program tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan, dan telah berjaya menghebahkan kepada orang ramai mengenai peranan ekosistem GLC dalam mendukung aspirasi negara. Saya juga difahamkan terdapat golongan belia yang telah menggunakan platform tersebut sebagai peluang untuk mencari pekerjaan.
- Susulan dari Hari Terbuka tersebut, saya percaya seluruh Keluarga Malaysia lebih celik mengenai kepentingan GLC dalam pembangunan ekonomi negara. Hakikatnya, ekosistem GLC ini dipacu oleh GLIC yang memainkan peranan sebagai pihak berkepentingan bagi syarikat yang menerima pelaburan.
- Pada pendapat saya, program penyusunan semula dan peranan GLIC dan GLC di dalam agenda pembangunan negara perlu dikongsi dengan rakyat secara berterusan. Dan inisiatif PGG ini merupakan antara aspek terpenting dalam agenda penyusunan semula yang dipacu oleh MOF. Oleh sebab itulah, kita mengambil inisiatif untuk melancarkan dan berkongsi mengenai dokumen PGG tersebut pada hari ini.
PENUTUP DAN TERIMA KASIH
Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin yang saya kasihi sekalian,
- Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, suka saya berkongsi bahawa saya yakin inisiatif PGG ini akan membina daya tahan GLIC untuk menghadapi cabaran masa hadapan, dan seterusnya menimba peluang bagi kesejahteraan sosio- ekonomi Malaysia.
- Akhir kata, terima kasih sekali lagi dan tahniah saya ucapkan kepada warga MOF, Suruhanjaya Sekuriti, serta peserta industri yang terlibat dalam merangka dan merencana dokumen ini. Dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim”, saya dengan berbesar hati melancarkan Prinsip Tadbir Urus Baik bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.