Teks Ucapan Menteri Kewangan Malaysia Sempena Majlis Perasmian Tripart & CIMB Artober Hotel Art Fair 2021
UCAPTAMA
YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL ABDUL AZIZ
MENTERI KEWANGAN
MAJLIS PERASMIAN TRIPART
& CIMB ARTOBER HOTEL ART FAIR 2021
Rabu, 10 November 2021
Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera
Terima Kasih kepada saudara dan saudari Pengerusi Majlis.
Yang Berbahagia Datuk Mohd Nasir Ahmad, Pengerusi Kumpulan CIMB;
Yang Berhormat Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Pengerusi BERNAMA;
Yang Berusaha Encik Noor Azmi Bin Mat Said, Pengerusi MyCreative Ventures;
Yang Berbahagia Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad;
Yang dihormati rakan-rakan media,
Yang diraikan, pengusaha galeri, seni, budaya dan warisan atau lebih dikenali sebagai ‘cultural entrepreneurs’,
Dato-Dato, Datin-Datin dan Tuan-tuan sekalian.
- Terlebih dahulu, marilah bersama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita dapat berhimpun dalam satu lagi majlis bersejarah bagi Kumpulan CIMB Berhad dalam usaha memartabatkan industri seni dan budaya tanah air.
Sidang hadirin yang dihormati,
- Penggiat seni boleh dikatakan sebagai duta seni atau cultural ambassadors negara. Namun, ekoran pandemik COVID-19, lebih 70 peratus telah kehilangan sebahagian besar sumber pendapatan mereka, dan ramai juga yang terpaksa melepaskan premis perniagaan masing-masing.
- Pelbagai sokongan seperti geran dan pinjaman telah diberikan untuk membantu industri ini bertahan dan pulih. Untuk itu, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM22 juta dalam tempoh 14 bulan lalu, bagi memanfaatkan lebih 8,000 seniman di bawah CENDANA.
- Dalam masa yang sama, saya dimaklumkan dana sebanyak hampir RM1.5 juta daripada Yayasan Hasanah melalui ArtsFAS, telah memberi peluang kepada hampir 1,400 penggiat seni untuk menjana pendapatan dalam tempoh tiga setengah bulan.
- Untuk jangka masa sederhana dan panjang, para seniman kita memerlukan akses kepada pasaran dan ekosistem perniagaan yang lebih baik, supaya mereka dapat mempertingkatkan pemasaran hasil karya mereka di pasaran ASEAN.
- Apa yang saya dapat lihat juga, CIMB Artober ini mampu merapatkan hubungan di antara pencinta seni dan collector baru, dengan seniman, artis-artis dan galeri. Malah, program seperti ini adalah selaras dengan konsep senegara atau whole of nation, di mana Kerajaan dan pihak swasta, mahupun NGO, berkerjasama bagi memakmurkan pembangunan industri kreatif negara.
- Malaysia mempunyai ramai bakat-bakat seni yang perlukan sokongan dari kita agar mereka mampu melangkah lebih jauh lagi. Ramai bakat-bakat yang telah meninggalkan kita seperti Dato' Mohd Hoessein Enas; Datuk Syed Ahmad Jamal; Dato' Chuah Thean Teng; Kok Yew Puah; Datuk Ibrahim Hussein, Khalil Ibrahim; dan Redza Piyadasa.
- Namun, dengan sokongan berterusan dari pihak Kerajaan dan pihak awam, patah tumbuh, hilang berganti. Kita masih ada bakat-bakat seni termasuk Yusof Ghani; Latiff Mohiddin; Awang Damit; Datuk Sharifah Fatimah, Datuk Tajuddin Ismail dan Jalaini Abu Hassan yang terus menjadi ikon kepada bakat-bakat muda bagi mengorak langkah lebih jauh.
- Kini, dengan pembukaan semula ekonomi dan sektor-sektor sosial, saya berharap masyarakat Malaysia akan mengunjungi semula pameran di galeri-galeri seni, sambil menyokong perkembangan seni kontemporari tempatan.
- Itulah sebabnya kempen seni, budaya dan warisan seumpama TripART yang berlangsung selama 3 bulan ini merupakan kerjasama awam-swasta yang patut dicontohi oleh sektor-sektor lain.
- Melalui program seperti TripART dan CIMB Artober ini, saya difahamkan bahawa sekurang-kurangnya RM3 juta akan dijana melalui pembelian karya-karya bakat-bakat seni kita. Tahniah!
- Ini akan sekaligus memberi manfaat bukan sahaja dari segi menjana minat yang berterusan terhadap seni visual dan ekosistem seni tempatan, malah ia juga akan merancakkan ekonomi Malaysia, InsyaAllah. Kita berganding, JANGAN bersaing.
- Inilah contoh pemerkasaan kolektif yang berkesan bagi sesuatu industri. Saya juga kagum dengan sokongan dalam kalangan pemain industri yang melibatkan rantaian bekalan dalam eko sistem seni, termasuk logistik, pengangkutan, pembekalan dan tukang mahir.
- Harapan saya agar lebih ramai pencinta seni daripada pelbagai organisasi dapat menyokong dan bekerjasama untuk menzahirkan lebih banyak usaha sama seperti ini. Bak kata pepatah Melayu, seikat bagai sirih, serumpun bagai serai.
- Tanggungjawab untuk memperkasa, mempromosi, melindungi dan memelihara seni, budaya dan warisan terletak di tangan kita semua. Jika anda ingin menyokong seniman, belilah karya mereka.
Hadirin sekalian:
- Bajet 2022 baru sahaja dibentangkan Jumaat lepas. Sokongan dan komitmen kerajaan kepada industri seni dicerminkan melalui peruntukan Kerajaan yang bernilai RM238 juta. Ini termasuk RM30 juta menerusi skim padanan pinjaman pelaburan bagi inisiatif platform animasi negara yang akan dikendalikan oleh MyCreative Ventures.
- Di sini, saya ingin menekankan bahawa bukan ini sahaja yang boleh dimanfaatkan oleh bakat-bakat seni kita. Jika mereka mempunyai perniagaan, mereka juga boleh memanfaatkan bantuan yang secara keseluruhannya bernilai RM40 bilion bagi memperkasakan usahawan tempatan.
- Khusus bagi perniagaan mikro, kecil dan sederhana (atau PMKS), peruntukan kredit mikro bernilai RM1.8 bilion telahpun tersedia, ada yang dengan moratorium 6 atau 12 bulan, dan dengan kadar 0%.
- Jadi, gunakanlah bantuan-bantuan ini sebaik mungkin bagi mengembangkan perniagaan seni masing-masing kerana your active participation is needed for the economy to grow again! Kita sasarkan, tahun 2022 sebagai tahun pemulihan bagi negara kita, InsyaAllah.
- Sehubungan itu, lebih banyak sokongan daripada sektor korporat juga diperlukan. Sokonglah usaha sama kebudayaan bersama galeri-galeri tempatan untuk membantu membina bakat anak-anak seni kita.
- Upahlah penghibur dan kumpulan kebudayaan tempatan untuk acara pada masa hadapan. Kerana inilah caranya untuk kita membantu punca rezeki mereka agar mereka mampu bergerak ke hadapan.
- Saya berharap kolaborasi TripART ini akan menjadi pemangkin kepada sektor korporat dan peminat seni bagi memacu perkembangan industri kreatif tempatan.
- Pameran seni di hotel ini juga merupakan satu idea yang amat inovatif dan julung kali dianjurkan di Malaysia. Syabas saya ucapkan kepada kesemua 10 galeri yang mengambil bahagian dan menampilkan 350 karya seni daripada lebih 100 karyawan tempatan.
- Tahniah juga saya ucapkan kepada CENDANA bagi program Art in the City dan 31 persembahan daripada pelbagai kumpulan penari daripada Yayasan Hasanah ArtsFAS.
Hadirin sekalian,
- Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya untuk berkongsi dua rangkap pantun:
Pengantin baru cantik sekali,
Masa depan kita raikan;
Bahasa dan budaya indah berseri;
Daulatkan selalu, jangan lupakan.
Hijau cerah baju Cik Ani,
Di tangannya ada bayam seikat;
Kejayaan rakyat datang bertubi,
Hasil kita semua bermuafakat.
- Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah kepada CIMB Group di atas penganjuran acara ini, dan terima kasih kerana sudi menjemput saya.
- Dengan lafaz Bismillahirrahnirrahim, saya dengan ini melancarkan TripART dan CIMB Artober Hotel Art Fair 2021 yang disokong oleh CENDANA.
Sekian, Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.