Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Teks Ucapan Sempena Pelancaran Program eBelia

Teks Ucapan Sempena Pelancaran Program eBelia

Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Malaysia

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad
Menteri Pengajian Tinggi

Yang Berhormat Dato' Sri Reezal Merican Naina Merican
Menteri Belia Dan Sukan

Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Industri e-Tunai

Rakan-rakan media,

Para belia dan hadirin yang dikasihi sekalian.

Dan seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti Majlis Pelancaran eBelia secara maya ini.

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera,

Pengenalan Program eBelia dan Ucapan Penghargaan

1. Alhamdulillah kita dapat bersama pada hari ini untuk menjayakan majlis pelancaran Program eBelia. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri kerana sudi bersama kami pada hari ini.

2. Tidak dinafikan, pandemik COVID-19 merupakan antara cabaran yang terbesar yang melanda negara dan seluruh dunia. Ramai golongan rakyat, termasuklah belia terkesan akibat penularan wabak ini.

3. Menyedari implikasi pandemik Covid-19 kepada golongan belia, pelbagai inisiatif telah diumumkan melalui Pakej Rangsangan seperti PENJANA. Ini termasuk menggalakkan PKS dan belia untuk beralih ke platform digital melalui kempen e-Dagang PKS bernilai RM70 juta; dan juga Shop Malaysia Online yang turut bernilai RM70 juta bagi menggalakkan perbelanjaan rakyat dan belia secara dalam talian. Melalui Belanjawan 2021 pula, kita ada pelbagai langkah khusus untuk belia, seperti Program Perantisan Nasional bernilai RM250 juta di mana setiap majikan diberikan insentif RM1,000 selama tiga bulan dan geran sehingga RM4,000 untuk program latihan. Dan pada hari ini kita akan melancarkan program eBelia bernilai RM300 juta bagi membantu dan menggalakkan pembayaran tanpa tunai di kalangan belia.

eBelia Memacu Peralihan Digitalisasi Kewangan Hadirin yang saya kasihi sekalian,

4. Pada masa kini, pelbagai aspek kehidupan harian kita telah beralih kepada aplikasi digital bagi mempermudah dan mempercepatkan pelbagai perkara.

5. Ini termasuklah cara kita membuat pembelian, sama ada menerusi platform dalam talian atau di kedai-kedai melalui bayaran tanpa tunai. Bahkan, saya sendiri juga banyak menggunakan contactless payment seperti ini, tidak kira di kedai serbaneka ataupun pasar raya.

6. Ini juga dicerminkan melalui program ePenjana yang dilaksanakan pada tahun lalu. Program tersebut telah melihat pendaftaran 4 juta pengguna e-dompet baharu, dan lebih dari 36 ribu peniaga mendaftar dengan penyedia e-dompet. Harapan kami agar momentum ini terus dikekalkan melalui Pogram eBelia, sebagai kesinambungan usaha Kerajaan dalam memacu peralihan digitalisasi kewangan.

7. Baru-baru ini juga melalui tinjauan umum, didapati bahawa orang ramai menggunakan lebih daripada satu e-dompet1 . Penyedia perkhidmatan edompet yang telibat dalam eBelia secara keseluruhan mempunyai 30 juta pengguna aktif2 , dan jaringan lebih 1 juta peniaga3 di dalam dan di luar talian. Jaringan yang kukuh dan luas ini membolehkan program eBelia ini dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara dan mencapai lebih ramai belia dan pelajar.

8. Memandang ke hadapan, kita juga akan tetap mengutamakan belia dalam merangka Belanjawan 2022, di mana proses perangkaannya sudahpun bermula. Seperti tahun lalu, kita juga akan mengadakan sesi libat urus dengan golongan belia bagi merangka Belanjawan 2022.

Ucapan Terima Kasih dan Penutup

Hadirin sekalian,

9. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyedia e-dompet yang terlibat iaitu BigPay, Boost, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet, serta Khazanah Nasional Berhad dan TIME dotCom selaku pengurus projek yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakan inisiatif ini. Usahasama antara Kerajaan dan pihak swasta ini perlulah diteruskan, terutamanya dalam menjayakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.

10. Program ini juga tidak akan berjaya dilancarkan tanpa kerjasama penuh dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Sumber Manusia, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Kementeriankementerian ini telah membantu pihak MOF dari sudut komunikasi program serta pengurusan data bagi menjayakan program ini.

11. Sekali lagi saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta rakan-rakan sekerja dari KBS, KPT dan Jabatan Perdana Menteri dalam menjayakan majlis ini.

12. Akhir kata, kepada para belia yang saya kasihi, jangan lupa untuk berkongsi dengan rakan-rakan berkaitan program ini. Ambillah peluang ini untuk shopping sama ada online atau offline. More importantly, let’s use this avenue to support our local retailers and businesses.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility