Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Bakat MADANI Diluncur, Satukan Petronas, GLIC dan GLC Sokong 25,000 Penerima Manfaat Menjelang 2027

Bakat MADANI Diluncur, Satukan Petronas, GLIC dan GLC Sokong 25,000 Penerima Manfaat Menjelang 2027

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, hari ini meluncurkan Inisiatif BAKAT MADANI, sebuah ikhtiar nasional yang menghimpunkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan PETRONAS dalam memperkasakan pembangunan bakat negara.

Dengan kekuatan kolektif ketiga-tiga kumpulan strategik ini, BAKAT MADANI menyasarkan dalam tempoh setahun mulai pertengahan tahun 2026, seramai 25,000 individu akan berpeluang mengikuti pembangunan kemahiran, pekerjaan berkualiti serta mobiliti sosial yang lebih baik.

Inisiatif BAKAT MADANI memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu memperkukuh kebolehpasaran dan penempatan kerjaya dalam ekosistem GLIC, GLC dan PETRONAS; memperluas peluang penempatan pekerjaan merentas sektor strategik negara; serta memperkasa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama erat dengan industri bagi melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

Berteraskan prinsip Modal Ihsan, BAKAT MADANI turut memperluas akses kepada latihan, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada golongan rentan, termasuk isi rumah B40, asnaf, individu yang memerlukan peluang kedua serta bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia yang sedang melalui fasa peralihan kerjaya. Tumpuan diberikan kepada sektor-sektor bernilai tinggi dan berpotensi besar seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan termaju.

Bagi menggalakkan penyertaan industri secara lebih meluas dalam penyediaan latihan dan peluang pekerjaan berkualiti, Kerajaan akan memperkenalkan potongan cukai istimewa kepada syarikat yang melaksanakan program latihan di bawah Inisiatif BAKAT MADANI. Insentif baharu ini merupakan penambahbaikan kepada insentif kebolehpasaran sedia ada, dengan liputan yang diperluas kepada lepasan TVET serta peningkatan kadar elaun minimum bagi memastikan pelatih menerima ganjaran yang lebih adil dan kompetitif. Perincian lanjut mengenai pelaksanaan insentif tersebut sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Bakat wujud di seluruh pelosok negara. Tanggungjawab kita adalah membina jambatan yang menghubungkan bakat tersebut dengan peluang yang tersedia, dan itulah matlamat utama BAKAT MADANI. Apabila kita melabur dalam pembangunan rakyat, kita turut memperkukuh asas ekonomi negara. Mengangkat taraf kehidupan rakyat dan meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi merupakan satu kitaran yang saling memperkukuh antara satu sama lain,” kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II semasa mengulas mengenai inisiatif tersebut.

Pelbagai program pembangunan bakat di bawah GLIC, GLC dan PETRONAS turut diperkasa melalui inisiatif ini. Sebagai contoh, PETRONAS bersama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC), Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia (MOGSC) dan Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC) melancarkan transformasi program VISTA kepada Vista i-Plus, sebuah model latihan TVET bersepadu yang melibatkan institusi seperti Institut Kemahiran MARA (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Advanced Technology Training Centre (ADTEC) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Di bawah ekosistem GLIC dan GLC pula, Khazanah Nasional Berhad bekerjasama dengan 23 institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), bagi menyediakan bakat muda menghadapi alam pekerjaan melalui latihan industri, pensijilan teknikal dan pendedahan kepada keperluan industri.

Majlis pelancaran yang dihadiri lebih 700 peserta itu menghimpunkan barisan Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, kepimpinan GLIC, GLC dan PETRONAS, selain para penerima manfaat program pembangunan bakat dari seluruh negara.

BAKAT MADANI ialah jambatan antara bakat rakyat dengan peluang ekonomi masa depan yang memastikan graduan, belia TVET dan golongan rentan mendapat akses kepada latihan, pensijilan dan pekerjaan berkualiti dalam sektor bernilai tinggi.

Kementerian Kewangan turut menyeru lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan, pemain industri dan institusi latihan untuk menyertai BAKAT MADANI sebagai sebahagian daripada komitmen bersama membina bakat negara.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Inisiatif BAKAT MADANI melalui laman sesawang Kementerian Kewangan Malaysia di https://www.mof.gov.my/ms/bakat-madani.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
29 Jun 2026

↓ Muat turun: Bakat Madani Diluncur, Satukan Petronas, GLIC dan GLC Sokong 25,000 Penerima Manfaat Menjelang 2027


LAMPIRAN: Entiti yang Menyertai Inisiatif BAKAT MADANI

Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC)

  1. Khazanah Nasional Berhad (KNB)
  2. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  3. Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP)
  4. Permodalan Nasional Berhad (PNB)
  5. Lembaga Tabung Haji (LTH)
  6. Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)

Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)

Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)

  1. Axiata Group Berhad
  2. Bank Islam Malaysia Berhad
  3. Boustead Heavy Industries Corporation Berhad
  4. Boustead Holdings Berhad
  5. Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd
  6. Boustead Plantations Berhad
  7. Boustead Properties Berhad
  8. CelcomDigi Berhad
  9. Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA)
  10. Cenergi SEA Berhad
  11. Cenviro Sdn Bhd
  12. CIMB Group Holdings Berhad
  13. Duopharma Biotech Berhad
  14. IHH Healthcare Berhad
  15. MAB Kargo Sdn Bhd
  16. Malayan Banking Berhad
  17. Malaysia Airports Holdings Berhad
  18. Malaysia Aviation Group Berhad
  19. Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC)
  20. MBSB Berhad
  21. Pharmaniaga Bhd
  22. Plus Malaysia Bhd
  23. Prolintas
  24. RHB Bank Berhad
  25. S P Setia Berhad
  26. SD Guthrie Berhad
  27. Sime Darby Berhad
  28. Sime Darby Property Berhad
  29. Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad
  30. Telekom Malaysia Berhad
  31. Tenaga Nasional Berhad
  32. TH Plantations Berhad
  33. TH Properties Sdn Bhd
  34. TH Travel Services Sdn Bhd
  35. UEM Group Berhad
  36. Velesto Energy Berhad
  37. Ekuiti Nasional Berhad

Institusi Lain

  1. UiTM
  2. UNIMAS
  3. UMS
  4. UTeM
  5. UNIMAP
  6. UTHM
  7. UMPSA
  8. MPRC
  9. MOGSC
  10. MARA

Arkib Siaran Media