Select your language
Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 5.2 juta penerima akan diawalkan dan mula dikreditkan secara berperingkat mulai 10 Mac ini, kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, pada Majlis Perhimpunan Bulanan YAB Perdana Menteri hari ini.
Pembayaran ini dijangka membantu jutaan rakyat membuat persiapan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Jumlah penerima bagi Fasa 2 meningkat kepada 5.2 juta, berbanding 5 juta pada Fasa 1.
Bagi Fasa 2, Kerajaan menyediakan peruntukan RM1.3 bilion, meningkat daripada RM1.1 bilion pada Fasa 1, Januari lalu. Ini termasuk 200,000 penerima baharu yang diluluskan, yang akan menerima bayaran mulai 30 Mac 2026.
Secara keseluruhan, bantuan STR Fasa 2 akan memanfaatkan 3.8 juta isi rumah serta 1.4 juta warga emas tiada pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM600 mengikut kategori kelayakan.
YAB Dato’ Seri Anwar berkata peluasan penerima STR Fasa 2 membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat bantuan sosial kerajaan, khususnya ketika negara menghampiri perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Melalui STR, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta SARA Untuk Semua, Kerajaan MADANI terus berusaha memastikan hasil negara dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh rakyat, terutama golongan yang memerlukan,” kata beliau.
Bagi tahun 2026, peruntukan keseluruhan STR dan SARA berjumlah RM15 bilion, kekal yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut serta Soalan Lazim (FAQ) melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Kementerian Kewangan turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, serta hanya merujuk kepada portal rasmi STR untuk maklumat terkini.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
9 Mac 2026
↓ Muat turun: Siaran-Media-STR-Fasa-2