Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Belanjawan 2024 berteraskan Memperkasa Ekonomi MADANI

Belanjawan 2024 berteraskan Memperkasa Ekonomi MADANI

YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulas Kerajaan akan mengambil pendekatan baharu untuk Memperkasa Ekonomi MADANI yang bakal diumumkan beberapa minggu lagi.

“Memperkasa Ekonomi MADANI ialah dasar menyeluruh Kerajaan Perpaduan yang berhasrat untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini. Kerajaan Perpaduan beriltizam dan mahu mengangkat sebuah Malaysia MADANI yang punyai azam global, berteraskan nilai MADANI demi kesejahteraan rakyat,” kata Dato’ Seri Anwar.

Umumnya, dasar yang bakal diumumkan nanti berteraskan kepada dua sasaran, iaitu pertama, menjadikan Malaysia Peneraju Ekonomi Asia, dan kedua, memastikan Kehidupan Rakyat yang Berkualiti.

Sasaran pertama (Peneraju Ekonomi Asia) akan tertumpu antara lain untuk memastikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bertaraf global; membina ekonomi berteraskan inovasi dan pengetahuan; sebagai peneraju ekonomi Islam dan jaguh PMKS serantau.

Manakala, sasaran kedua (Kehidupan Rakyat yang Berkualiti) mengutamakan kesejahteraan rakyat terutamanya melalui pekerjaan berpendapatan tinggi; peluang yang saksama; penyampaian perkhidmatan awam terbaik; dan perlindungan sosial menyeluruh.

Berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024, Dato’ Seri Anwar berkata “Kerajaan telah membelanjakan RM188 bilion bersamaan 49% daripada peruntukan Belanjawan 2023 setakat Jun 2023, berbanding perbelanjaan sebanyak RM170 bilion bagi tempoh sama pada tahun 2022.”

“Sungguhpun ini lebih baik daripada 2022, namun ia boleh lebih baik dan projek-projek cakna rakyat perlu ditingkatkan dan disegerakan pelaksanaan”, tambah beliau.

Sebagai langkah awal, Dato’ Seri Anwar telah mengumumkan beberapa ikhtiar seiring dengan prinsip Naratif Ekonomi MADANI untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang tuntas dan mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, antaranya untuk:

  1. Penyampaian perkhidmatan awam terbaik dengan tumpuan kepada menyegerakan dan meningkatkan pelarasan projek cakna rakyat:

    1. Menambah peruntukan untuk pelaksanaan projek-projek kecil di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak RM100 juta untuk menjadikan keseluruhan untuk tahun 2023 RM400 juta;

    2. Menambah peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah sebanyak RM600 juta menjadikan keseluruhan untuk tahun 2023 sebanyak RM1.5 bilion;

    3. Penyaluran sebahagian peruntukan penyelenggaraan kepada Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) bagi melaksanakan projek penyelenggaraan kecil di sekolah Kerajaan

  2. Meningkatkan peluang perkerjaan dan menjana pendapatan:

    1. 35,000 peluang pekerjaan disediakan oleh GLC untuk tahun 2023 akan turut mengambil lepasan TVET bekerja;

    2. Kementerian Kewangan menetapkan secara dasar supaya semua syarikat GLC yang mengambil pelajar yang menjalani praktikal / latihan industri untuk membayar elaun perantisan minimum RM800 sebulan; dan

    3. Bank Simpanan Nasional (BSN) akan meluncurkan Program Geran Padanan Pendigitalan PMKS dengan peruntukan RM100 juta pada Ogos 2023. Sejumlah peruntukan juga dikhususkan untuk menggalakkan penjaja kecil aktif dalam pemasaran digital serta melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan.

  3. Memastikan Perlindungan Sosial kepada yang memerlukan:

    1. Sebagai tambahan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), lebih 200,000 penerima STR yang berdaftar sebagai miskin tegar berdasarkan data e-kasih turut menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mulai 17 Julai 2023 berjumlah RM600 bagi mendapatkan keperluan barangan makanan asas; dan

    2. Kerajaan bersetuju untuk meluaskan pelaksanaan Skim Perubatan MADANI ke 7 negeri lagi untuk membantu golongan B40 mendapat rawatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP).

  4. Menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat global:

    1. Malaysia akan memperkemas Agensi Penggalakan Pelaburan (Investment Promotion Agencies - IPA). Menjelang akhir 2023, MITI akan menerajui usaha mengurangkan duplikasi dalam kalangan IPA dan pada masa yang sama, mengukuhkan perkhidmatan memudahcara pelabur (handholding investors), bagi merealisasikan pelaksanaan pelaburan yang diluluskan;

    2. Untuk memudahkan kemasukan pelabur ke Malaysia, Kerajaan akan secara aktif mengeluarkan Pas Pelabur Strategik (Strategic Investor Pass - SIP) untuk membolehkan pelabur masuk ke Malaysia secara berulang. Melalui kemudahan ini, pelabur strategik yang dikenal pasti oleh MIDA akan dapat tinggal di negara ini sekurang-kurangnya 5 tahun dengan opsyen untuk dilanjutkan selama 5 tahun lagi; dan

    3. Bagi menangani kekurangan kemahiran kritikal, skop Pas Lawatan Profesional Nomad Digital (Digital Nomad Professional Visit Pass) akan diperluas meliputi kemahiran berkaitan pembuatan. Melalui pas ini, profesional yang layak seperti pereka IC (integrated circuit) sektor E&E boleh berpindah ke Malaysia dan bekerja secara ‘freelance’ sehingga 2 tahun.

Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 hari ini dihadiri 400 orang pelbagai pihak berkepentingan mewakili kementerian, persatuan, dewan perniagaan, pakar ekonomi dan ilmuan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pertubuhan antarabangsa. Ini ialah permulaan kepada siri libat urus lebih komprehensif yang bakal diadakan di seluruh negara sebelum Belanjawan 2024 dijadualkan dibentang di Parlimen pada 13 Oktober 2023.

Kementerian Kewangan juga menjemput rakyat Malaysia untuk memberi pandangan dan cadangan mengenai intipati dan harapan mereka terhadap Belanjawan 2024 dengan melayari laman sesawang Kementerian Kewangan di https://belanjawan.mof.gov.my.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
14 Julai 2023

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility