Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Belanjawan 2027: Industri Automotif Kongsi Pandangan, Cadangan Dengan Kerajaan Di Perak

Belanjawan 2027: Industri Automotif Kongsi Pandangan, Cadangan Dengan Kerajaan Di Perak

Kementerian Kewangan (MOF) meneruskan Jelajah Belanjawan 2027 menerusi sesi libat urus bersama pemain industri automotif tempatan dan antarabangsa bagi mendapatkan pandangan dan cadangan industri dalam memperkukuh produktiviti, penerapan teknologi, nilai tambah domestik serta daya saing sektor automotif negara.

Sesi perbincangan strategik ini dipimpin oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II ini dianjurkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan DRB-HICOM Bhd selaku tuan rumah, dan disertai pemain industri dari Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah berkata industri automotif merupakan pemangkin penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, termasuk menyokong peningkatan sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta sasaran penyerapan kenderaan elektrik (EV) nasional.

“Pemerkasaan sektor automotif berteknologi tinggi bukan sahaja berupaya menjanapeluang pekerjaan bernilai tinggi dan memperkukuh daya saing eksport negara, malahmenjadi pemangkin kepada pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan tempatan.

“Cadangan dan maklum balas daripada pemain industri pada hari ini amat bernilai untuk meneliti penambahbaikan dasar, insentif, dan langkah fiskal di bawah Belanjawan 2027,” katanya.

Sesi libat urus ini memberi tumpuan kepada beberapa keutamaan strategik, antaranya:

  • Penambahbaikan Dasar dan Langkah Fiskal: Mengenal pasti insentif yang dapat meningkatkan produktiviti, pelaburan langsung asing (FDI), serta daya saing sektor automotif di peringkat serantau bagi menyokong sasaran pemilikan EV dan NxGV nasional.
  • Pembangunan Infrastruktur dan Teknologi: Menyokong keperluan pendigitalan, inovasi R&D, serta ekosistem kenderaan elektrik (EV) dan NEV.
  • Pengukuhan Rantaian Bekalan Tempatan: Memperkasakan vendor dan pembekal tempatan agar dapat diintegrasikan secara berkesan ke dalam rantaian nilai global. Langkah ini penting bagi meningkatkan nilai tambah yang dicipta dalam negara serta membina keupayaan syarikat tempatan dalam bidang teknologi dan pembuatan bernilai tinggi.
  • Pembangunan Modal Insan: Memastikan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi latihan kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) untuk menyokong ekosistem kejuruteraan dan pembuatan masa hadapan.

Pertumbuhan industri yang lebih produktif dan berteknologi tinggi dijangka dapat memberikan limpahan ekonomi melalui penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan aktiviti perniagaan, pengukuhan eksport serta pengembangan nilai tambah domestik. Dalam jangka masa panjang, perkembangan aktiviti ekonomi ini turut berpotensi menyumbang kepada pengukuhan asas hasil negara.

Usaha memperkukuh industri automotif adalah selaras dengan sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Dasar Automotif Negara (NAP 2020) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport rantau ASEAN bagi NxGV dan kenderaan mesra alam.

BELANJAWAN 2027: MENDENGAR DENYUT NADI RAKYAT

Penyediaan Belanjawan 2027 dilaksanakan melalui pendekatan yang menyeluruh dan inklusif menerusi sesi libat urus bersama kementerian, Jelajah Belanjawan Negeri serta Perbincangan Kumpulan Fokus, melibatkan Kerajaan Negeri, industri, institusi kewangan, komuniti perniagaan dan pelbagai lapisan masyarakat.

Belanjawan 2027 turut mengambil pendekatan Outcome Based Budgeting yang mengutamakan keberhasilan peruntukan.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata: "Pendekatan ini menyasarkan supaya setiap ringgit yang  dibelanjakan dapat menyelesaikan masalah rakyat, membuka peluang ekonomi dan menghasilkan impak yang nyata.

“Langkah ini amat penting bagi memastikan peruntukan Kerajaan diurus secara cekap, diukur prestasinya secara telus, dan membuahkan hasil yang disasarkan kepada rakyat," tambah beliau.

Input yang diperoleh sepanjang lawatan ke negeri Perak serta siri libat urus di seluruh negara akan diteliti dalam memuktamadkan Belanjawan 2027 supaya pembangunan negara terus dilaksanakan secara terangkum, seimbang dan    berteraskan aspirasi Ekonomi MADANI.


Kementerian Kewangan
Tanjung Malim, Perak
11 September 2026

↓ Muat Turun : Siaran-Media-JELAJAH-BELANJAWAN-2027-AUTOMOTIF-Tanjung Malim-110926

Arkib Siaran Media