Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

BUDI Diesel Bermula 1 Julai 2026, Rakyat Bayar RM2.10 Seliter

BUDI Diesel Bermula 1 Julai 2026, Rakyat Bayar RM2.10 Seliter

BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang bermula esok (1 Julai 2026) membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter, berbanding harga pasaran RM3.97 seliter bagi tempoh 1 Julai hingga 8 Julai 2026.

Pelaksanaan ini dijangka memanfaatkan kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ini merupakan peluasan ketara berbanding BUDI Diesel Individu sebelum ini, yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia untuk menampung sebahagian kos pembelian diesel pada harga pasaran.

Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kini layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah SKDS. Kerajaan MADANI juga akan memperluas liputan kepada kenderaan persendirian jenis pikap dan jip yang berdaftar atas nama syarikat, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Subsidi bahan api memastikan rakyat yang layak tidak perlu membayar harga pasaran penuh. Langkah ini membantu mengurangkan tekanan kos hidup, melindungi sektor penting yang bergantung kepada bahan api, dan menyokong pertumbuhan negara.

Akses awal BUDI Diesel berjalan lancar

Akses awal BUDI Diesel bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia telah berjalan lancar sejak dibuka pada 27 Jun 2026. Sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah serius dilaporkan oleh penerima subsidi mahupun syarikat minyak.

Setakat jam 12.00 tengah hari, 30 Jun 2026, kira-kira 80,000 transaksi telah direkodkan, melibatkan pembelian sekitar 3.2 juta liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM7 juta pada harga RM2.15 seliter.

Tambahan 100 liter untuk pikap dan jip

Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak juga boleh memohon tambahan 100 liter sebulan melalui portal rasmi BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Setakat jam 9.00 pagi, 30 Jun 2026, lebih 22,000 permohonan telah diterima melalui portal rasmi BUDI MADANI bagi tambahan 100 liter sebulan tersebut.

Fi tukar hak milik kenderaan diesel dikecualikan

Kerajaan MADANI turut mengambil maklum bahawa terdapat pengguna sebenar kenderaan diesel yang menggunakan kenderaan berdaftar atas nama ahli keluarga terdekat. Sehubungan itu, JPJ akan melaksanakan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan mulai 1 Julai 2026, melibatkan fi yang pada masa ini boleh mencecah sehingga RM100.

Bagi memudahkan urusan tersebut, kaunter JPJ akan dibuka pada hujung minggu mulai 4 Julai hingga 26 Julai 2026, dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, di semua Pejabat JPJ Negeri dan Pejabat JPJ UTC Negeri.

Kelayakan subsidi boleh dipindahkan kepada ahli keluarga terdekat

Kementerian Kewangan (MoF) turut menyediakan mekanisme pemindahan kelayakan BUDI Diesel bagi kenderaan yang digunakan oleh ahli keluarga terdekat berbeza daripada pemilik berdaftar.

Melalui mekanisme ini, penerima asal BUDI Diesel boleh memindahkan fungsi membeli diesel bersubsidi kepada seorang ahli keluarga terdekat, iaitu pasangan, ibu atau bapa, anak atau adik-beradik, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang ditetapkan. Setakat jam 9.00 pagi, 30 Jun 2026, hampir 1,000 permohonan pemindahan kelayakan BUDI Diesel telah diterima melalui MoF.

Pemindahan ini hanya dibenarkan sekali dan kepada seorang penerima sahaja. Selepas diluluskan, penerima boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli diesel bersubsidi berdasarkan kelayakan BUDI Diesel pemilik asal.

Semak kelayakan melalui portal rasmi BUDI MADANI

Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan, had kelayakan bulanan dan maklumat lanjut di www.budimadani.gov.my. Kerajaan MADANI akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel bagi memastikan subsidi sampai kepada pengguna yang layak, mengurangkan ketirisan dan melindungi bekalan negara.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
30 Jun 2026

↓ Muat turun: BUDI Diesel Bermula 1 Julai 2026, Rakyat Bayar RM2.10 Seliter

Arkib Siaran Media