Select your language
Seperti yang diumumkan hari ini oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Kerajaan MADANI telah mengambil langkah awal dan bersasar bagi memastikan bekalan bahan api negara terus terjamin demi kesejahteraan rakyat tatkala ketidaktentuan bekalan global berikutan konflik di Asia Barat.
Langkah proaktif ini digerakkan secara terancang bagi mengurus tekanan bekalan semasa tanpa menjejaskan majoriti pengguna, di samping memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi untuk tempoh yang lebih panjang.
Meskipun bekalan bahan api negara ketika ini masih berada pada tahap terkawal, Kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam usaha memperkukuh jaminan bekalan serta mengurus permintaan secara berhemah.
Konflik yang berlarutan di Asia Barat telah memberi tekanan kepada pasaran tenaga global, dengan harga minyak mentah kini melepasi paras AS$100 setong, sekali gus meningkatkan beban subsidi negara secara mendadak. Subsidi untuk RON95 dan Diesel bagi bulan Januari 2026 adalah sekitar RM0.7 bilion.
Dengan keputusan Kerajaan MADANI mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat dan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk kumpulan sasar, beban subsidi terus meningkat. Berdasarkan harga pasaran dua minggu lalu, ketika harga minyak mentah Brent berada sekitar US$90 setong, subsidi petrol dan diesel dianggarkan sekitar RM3 bilion sebulan. Kini, dengan harga minyak mentah mencecah US$100 setong, beban subsidi petrol dan diesel dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan.
Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan beberapa pelarasan bersasar di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel, termasuk melaraskan had siling kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan mulai April 2026. Pelarasan ini merupakan langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil.
Pelarasan tersebut mengambil kira bahawa hampir 90% rakyat yang layak menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan dan tidak akan terjejas oleh perubahan had siling kelayakan BUDI95 itu, dengan purata penggunaan sebulan sekitar 100 liter.
Sementara itu, had siling kelayakan tambahan bagi operator e-hailing akan terus dikekalkan pada 800 liter sebulan.
Pada masa yang sama, Kerajaan akan memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan dan ketirisan subsidi, di samping menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih berhemah. Kementerian Kewangan (MoF) juga tidak akan teragak-agak untuk menyekat kelayakan BUDI95 jika terdapat penyalahgunaan atau penyelewengan RON95 bersubsidi.
Kerajaan akan terus memantau perkembangan global secara rapi serta mengambil langkah tambahan bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi untuk rakyat.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
26 Mac 2026