Bagi memastikan sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus memberi manfaat secara menyeluruh, Kerajaan MADANI melaksanakan penambahbaikan secara berperingkat. Selepas mengaktifkan kelayakan kepada pengguna bot di Sabah dan mereka yang berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) minggu lalu, BUDI95 kini turut diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak.
Pada masa yang sama, siling penggunaan bagi pemandu e-hailing sepenuh masa telah dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan.
Berdasarkan data yang diperoleh daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengaktifkan kelayakan BUDI95 kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di negeri tersebut. Bagi pemandu e-hailing sepenuh masa, MoF telah menyemak silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), melibatkan lebih 53,900 individu yang akan menerima kenaikan siling kelayakan kepada 600 liter sebulan.
Selain itu, lebih 11,400 lagi pemegang lesen memandu kini layak menerima BUDI95. Mereka terdiri daripada pemandu yang baru mendapat lesen (11,200) dan pemandu yang telah memperbaharui lesen (260), menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia menerima manfaat BUDI95.
Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut. Portal ini turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
13 Oktober 2025
↓ Muat turun: Siaran-Media-BUDI95-Kelayakan-diperluas-ke-Sarawak-siling-e-hailing-dinaikkan