Pilih bahasa anda
Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara 2026, iaitu pembaharuan menyeluruh pertama terhadap Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sejak penubuhannya pada tahun 1988.
RUU ini memperkukuh KWAN sebagai simpanan antara generasi negara, bagi memastikan rizab kewangan yang berkekalan untuk generasi kini dan masa hadapan.
Pembaharuan yang dibawa dalam RUU ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh pengurusan kewangan awam, memelihara kekayaan negara secara mampan serta memastikan hasil negara hari ini turut memberi manfaat kepada generasi masa hadapan.
Selaras dengan agenda reformasi ekonomi Kerajaan, RUU ini menggariskan pembaharuan penting bagi memperkukuh tadbir urus, disiplin fiskal dan daya tahan kewangan negara demi kepentingan rakyat serta generasi masa hadapan.
Melalui RUU ini, cadangan penubuhan sebuah Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan) sebagai sebuah badan berkanun yang menggantikan struktur Panel sedia ada, dengan Lembaga yang bertanggungjawab mentadbir, mengurus dan melabur Kumpulan Wang.
Dalam tempoh peralihan, pengurusan dana Kumpulan Wang akan terus ditadbir dan diurus oleh Bank Negara Malaysia yang telah menjalankan peranan ini sejak penubuhan KWAN, bagi memastikan kesinambungan.
Di bawah pengurusan BNM, Kumpulan Wang telah berkembang kepada RM22.43 bilion pada akhir tahun 2024 dan dalam tempoh peralihan tiada gangguan kepada pelaburan, kontrak dan operasi Kumpulan Wang; semua aset akan berpindah kepada badan baharu melalui penguatkuasaan undang-undang.
Buat pertama kalinya, RUU ini memperkenalkan peruntukan yang mengikat bagi sumbangan, penggunaan dan pelaburan:
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata: "Sumber yang kita nikmati hari ini bukan milik kita semata-mata. Kita memegangnya sebagai amanah untuk generasi masa hadapan. Melalui Rang Undang-Undang ini, Kerajaan memperkukuh KWAN sebagai simpanan antara generasi dengan memastikan sumber sumbangan yang lebih konsisten, penggunaan yang lebih berdisiplin serta tadbir urus yang lebih kukuh. Ini akan membolehkan lebih banyak kekayaan negara dipelihara dan dapat diwariskan kepada generasi Malaysia pada masa hadapan."
RUU ini, seterusnya, akan dibentangkan di Dewan Negara.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
17 Julai 2026