Kerajaan mengalu-alukan pengesahan Fitch Rating ke atas penarafan kredit berdaulat negara pada BBB+ dengan tinjauan ‘Stabil’ bagi tahun 2023. Pengesahan ini mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran Kerajaan ini dan kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia serta daya tahan negara di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu dan sangat mencabar.
Fitch menjelaskan, “Penarafan Malaysia diimbangi oleh ekonomi yang pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh walaupun hutang negara adalah tinggi serta asas hasil yang rendah berbanding perbelanjaan mengurus.”
Tinjauan Pertumbuhan yang Kukuh
Fitch menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan menyederhana kepada 4.0% pada 2023 dan 4.8% pada 2024 berbanding pertumbuhan KDNK yang memberangsangkan sebanyak 8.7% pada tahun 2022 ekoran kelonggaran sekatan COVID-19 dan usaha berterusan Kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah pemulihan dan sokongan ke arah pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meluas. Fitch juga menjangka sektor perkhidmatan akan terus dirangsang oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, inflasi yang terkawal dan pemulihan dalam sektor berkaitan pelancongan ekoran pembukaan semula China. Trend pertumbuhan jangka sederhana dijangka kekal teguh antara 4.0 - 5.0%. Sementara itu, Fitch berpandangan bahawa sektor pembuatan dan eksport berkemungkinan menghadapi halangan daripada permintaan global yang lemah bagi elektronik dan komoditi.
Konsolidasi Fiskal secara Beransur
Fitch berpendapat bahawa defisit fiskal akan berkurangan secara beransur kepada purata sekitar 4.5% daripada KDNK pada 2023 - 2025, mengambil kira pelbagai faktor termasuk rasionalisasi perbelanjaan yang lebih baik dan langkah mobilisasi hasil yang berkesan.
Melangkah ke hadapan, Kerajaan berazam untuk memastikan kedudukan fiskal negara terus kukuh melalui penyatuan defisit fiskal secara beransur-ansur sambil mengimbangi keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi semasa zaman mencabar ini di peringkat global.
Melalui Belanjawan 2023, yang akan dibentangkan pada 24 Februari 2023, Kerajaan akan terus mempergiatkan usaha reformasi untuk memacu pemulihan ekonomi negara, meningkatkan pelaburan dan menambah baik infrastruktur awam. Penekanan berterusan juga akan diberikan kepada inisiatif untuk mengawal tekanan inflasi dan meringankan beban rakyat daripada kos sara hidup yang tinggi.
Belanjawan 2023 juga akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kewangan dan tadbir urus negara, bagi menyokong komitmen Kerajaan untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonomi ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan tema Belanjawan 2023 iaitu “Membangun Malaysia MADANI”.
ANWAR IBRAHIM
16 Februari 2023