Pilih bahasa anda

Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), untuk minggu ini, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan harga runcit petrol RON95 dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
Dengan konflik di Asia Barat yang berlarutan, Kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api, di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan.
Penetapan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 16 April hingga 22 April 2026 adalah seperti berikut:
Harga Runcit
| Bahan Api | Harga Runcit | Perubahan |
|---|---|---|
| RON97 | RM5.10 seliter (harga 15 April 2026: RM5.35 seliter) | Turun 25 sen seliter |
| RON95 | RM4.02 seliter (harga 15 April 2026: RM4.27 seliter | Turun 25 sen seliter |
| Diesel (Semenanjung Malaysia) | RM5.97 seliter (harga 15 April 2026: RM6.72 seliter) | Turun 75 sen seliter) |
Manakala, Kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu seperti berikut:
| Bahan Api | Harga Subsidi |
|---|---|
| RON95 (BUDI95) | RM1.99 seliter |
| Diesel (Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan) | RM2.15 seliter |
| Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) | RM2.05 seliter |
| Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) | RM2.15 seliter |
Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global terhadap rakyat serta memastikan kelangsungan pengeluaran makanan dan rantaian bekalan, Kerajaan telah meningkatkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel kepada RM400 sebulan bagi April 2026 untuk 350,000 penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dengan tambahan dana RM35 juta sebulan.
Ini merupakan kali kedua bantuan tersebut dinaikkan susulan tekanan pasaran petroleum global, selepas peningkatan daripada RM200 kepada RM300 pada Mac 2026.
Di samping itu, kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar, melibatkan dana tambahan sekitar RM40 juta dan memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi bagi membantu sektor agromakanan menghadapi kenaikan kos input.
Secara keseluruhan, Kerajaan dianggarkan akan menanggung sekitar RM7 bilion sebulan berdasarkan harga semasa. Subsidi RON95 meningkat daripada sekitar RM300 juta sebelum konflik kepada sekitar RM4 bilion sebulan, manakala subsidi diesel melonjak daripada sekitar RM400 juta kepada sekitar RM3 bilion sebulan.
Kerajaan MADANI akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil dan mencukupi, di samping terus memperkukuh perlindungan kepada rakyat.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
15 April 2026
↓ Muat turun: Siaran-Media-Harga-Petroleum-15042026