Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Harga Petrol dan Diesel Tanpa Subsidi Turun 5 Sen

Harga Petrol dan Diesel Tanpa Subsidi Turun 5 Sen

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi turun sebanyak 5 sen seliter bagi tempoh 3 September hingga 9 September 2026.

Harga Runcit

Bahan Api Harga Runcit Perubahan
RON97 RM4.25 seliter (harga 2 September 2026: RM4.30 seliter) Turun 5 sen
RON95 RM3.77 seliter (harga 2 September 2026: RM3.82 seliter) Turun 5 sen
Diesel RM4.67 seliter (harga 2 September 2026: RM4.72 seliter) Turun 5 sen

Penurunan harga ini mencerminkan harga minyak mentah dunia yang diniagakan pada paras lebih rendah bagi sebahagian besar tempoh pengiraan harga APM. Namun, harga meningkat semula pada penghujung tempoh berikutan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Walaupun harga minyak mentah Brent telah menyederhana daripada paras puncak konflik Asia Barat, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat berikutan gangguan aliran petroleum melalui Selat Hormuz, penyusutan kapasiti penapisan di beberapa negara serta sekatan eksport bahan api. Faktor-faktor ini dijangka terus menyebabkan turun naik harga dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, China telah mula melonggarkan sekatan eksport produk petroleum bertapis yang diperkenalkan sejak Mac 2026. Walaupun eksport kembali meningkat mulai Julai, bekalan beberapa produk petroleum ke pasaran serantau masih belum kembali sepenuhnya ke paras sebelum konflik.

Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.

Perlindungan melalui BUDI MADANI

Pada harga semasa, penerima BUDI95 terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM3.77 seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.78 seliter, bersamaan 47% daripada harga tanpa subsidi.

Penerima BUDI Diesel pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter, dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM2.57 seliter, atau 55% daripada harga tanpa subsidi.

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Bahan Api Harga Subsidi
RON95 (BUDI95) RM1.99 seliter
Diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter

Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

Mulai 1 September 2026, had kelayakan asas bulanan BUDI95 dan BUDI Diesel telah dinaikkan semula kepada 300 liter. Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 400 liter sebulan.

Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
2 September 2026


↓ Muat turun: Harga Petrol dan Diesel Tanpa Subsidi Turun 5 Sen

Arkib Siaran Media