Pilih bahasa anda
Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing menurun sebanyak 5 sen seliter, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi menurun sebanyak 15 sen seliter, bagi tempoh 1 Oktober hingga 7 Oktober 2026.
Harga Runcit
| Bahan Api | Harga Runcit | Perubahan |
|---|---|---|
| RON97 | RM5.00 seliter (harga 30 September 2026: RM5.05 seliter) | Turun 5 sen |
| RON95 | RM4.52 seliter (harga 30 September 2026: RM4.57 seliter) | Turun 5 sen |
| Diesel | RM5.27 seliter (harga 30 September 2026: RM5.42 seliter) | Turun 15 sen |
Penurunan ini didorong oleh penyederhanaan purata harga minyak mentah dunia dalam tempoh pengiraan APM, susulan penyambungan semula operasi saluran paip East-West Arab Saudi.
Pada masa sama, bekalan produk petroleum bertapis di Asia menunjukkan tanda pemulihan. Eksport produk petroleum bertapis China pada September dianggarkan melebihi 4 juta tan, berbanding purata sekitar 3 juta tan sebulan pada tahun lalu. Peningkatan bekalan ini membantu mengurangkan sebahagian tekanan terhadap harga produk petroleum serantau.
Namun begitu, pemulihan bekalan global masih tidak sekata. Sebuah lagi loji penapisan utama Rusia di Perm terpaksa menghentikan operasi selepas serangan dron Ukraine pada minggu lalu, sekali gus terus mengehadkan bekalan diesel dari Rusia ke pasaran antarabangsa.
Ketidaktentuan harga produk petroleum dijangka berterusan selagi konflik antara Amerika Syarikat dan Iran belum diselesaikan. Sebarang serangan baharu di Asia Barat berisiko memberi tekanan semula kepada harga minyak dan produk petroleum. Selain itu, pemulihan kapasiti penapisan global kekal penting bagi mengurangkan tekanan harga dalam jangka sederhana.
Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.
Perlindungan melalui BUDI MADANI
Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.52 seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.53 seliter, bersamaan 56% daripada harga tanpa subsidi.
Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM3.17 seliter, atau 60% daripada harga tanpa subsidi.
Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:
| Bahan Api | Harga Subsidi |
|---|---|
| RON95 (BUDI95) | RM1.99 seliter |
| Diesel (BUDI Diesel) | RM2.10 seliter |
| Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) | RM2.05 seliter |
| Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) | RM2.15 seliter |
Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
30 September 2026


↓ Muat turun: Harga Petrol dan Diesel Tanpa Subsidi Turun Bagi Tempoh 1 Oktober hingga 7 Oktober 2026