Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Harga RON97 Turun 20 Sen Seliter, RON95 Dan Diesel Tanpa Subsidi Turun 15 Sen Seliter

Harga RON97 Turun 20 Sen Seliter, RON95 Dan Diesel Tanpa Subsidi Turun 15 Sen Seliter

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 menurun sebanyak 20 sen seliter, manakala harga runcit RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing menurun sebanyak 15 sen seliter, bagi tempoh 5 November hingga 11 November 2026.

Harga Runcit

Bahan Api  Harga Runcit Perubahan
RON97  RM4.70 seliter (harga 4 November 2026: RM4.90 seliter) Turun 20 sen
RON95 RM4.27 seliter (harga 4 November 2026: RM4.42 seliter) Turun 15 sen
Diesel RM5.12 seliter (harga 4 November 2026: RM5.27 seliter) Turun 15 sen

Pasaran petroleum serantau menunjukkan tanda penyederhanaan berikutan peningkatan bekalan bahan api bertapis, termasuk stok petrol dan diesel di Singapura yang menjadi antara rujukan pasaran bagi penetapan harga petroleum di Malaysia.

Perkembangan ini, bersama penurunan harga minyak mentah Brent pada penghujung tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM), memberi petunjuk kepada kemungkinan tekanan harga yang lebih rendah. Bagaimanapun, ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat terus memberi risiko kepada kestabilan harga petroleum dunia.

Dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu, Kerajaan MADANI kekal komited melindungi rakyat dan perniagaan melalui pelaksanaan subsidi bahan api bersasar BUDI MADANI. Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, subsidi bahan api dijangka kekal tinggi sekitar RM40 bilion pada tahun hadapan bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Perlindungan melalui BUDI MADANI

Melalui BUDI95, penerima yang layak terus menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.27 seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi RM2.28 bagi setiap liter, bersamaan 53% daripada harga tanpa subsidi.

Bagi BUDI Diesel pula, penerima yang layak terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM5.12 seliter, dengan Kerajaan menanggung subsidi RM3.02 seliter atau 59% daripada harga tanpa subsidi.

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Bahan Api  Harga Subsidi
RON95 (BUDI95)  RM1.99 seliter
Diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter

Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
4 November 2026

↓ Muat turun: Harga RON97 Turun 20 Sen Seliter, RON95 Dan Diesel Tanpa Subsidi Turun 15 Sen Seliter

Arkib Siaran Media