Pilih bahasa anda
Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia serta harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi dan RON97 bagi minggu ini diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
Namun begitu, harga bahan api kekal jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum konflik di Asia Barat. Harga minyak mentah masih mencecah sekitar AS$100 setong, berbanding sekitar AS$60 hingga AS$70 setong sebelum konflik.
Harga runcit bahan api turut dipengaruhi oleh lonjakan kos logistik dan insurans akibat peningkatan risiko di zon konflik. Risiko gangguan laluan di Selat Hormuz juga terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, sekali gus mempengaruhi harga pasaran.
Dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara. Penetapan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 14 Mei hingga 20 Mei 2026 adalah seperti berikut:
Harga Runcit
| Bahan Api | Harga Runcit | Perubahan |
|---|---|---|
| RON97 | RM4.70 seliter (harga 13 Mei 2026: RM4.90 seliter) | Turun 20 sen seliter |
| RON95 | RM3.87 seliter (harga 13 Mei 2026: RM4.02 seliter) | Turun 15 sen seliter |
| Diesel (Semenanjung Malaysia) | RM4.87 seliter (harga 13 Mei 2026: RM5.17 seliter) | Turun 30 sen seliter |
Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu. Harga bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:
| Bahan Api | Harga Subsidi |
|---|---|
| RON95 (BUDI95) | RM1.99 seliter |
| Diesel (Sabah, Sarawak dan W.P Labuan) | RM2.15 seliter |
| Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) | RM2.05 seliter |
| Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) | RM2.15 seliter |
Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
13 Mei 2026
↓ Muat Turun : Siaran-Media-Harga-Petroleum-13052026