Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Harga Runcit Petrol Dan Diesel Dikekalkan Bagi Tempoh 9 Julai Hingga 15 Julai 2026

Harga Runcit Petrol Dan Diesel Dikekalkan Bagi Tempoh 9 Julai Hingga 15 Julai 2026

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 Julai hingga 15 Julai 2026 dikekalkan, di kala harga pasaran petroleum antarabangsa mula menyederhana daripada paras puncak konflik.

Harga minyak mentah di pasaran global terus menyederhana pada minggu terdahulu. Perkembangan ini didorong oleh pengurangan premium risiko geopolitik, pemulihan aliran bekalan dan peningkatan persaingan harga dalam kalangan pengeluar utama.

Namun begitu, perkembangan terkini di Asia Barat termasuk serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran semalam menunjukkan risiko gangguan terhadap harga dan bekalan masih kekal selagi penyelesaian konflik tidak dimuktamadkan.

Dalam jangka sederhana, jangkaan lebihan bekalan global susulan pemulihan pengeluaran dan penyederhanaan permintaan dijangka mengehadkan kenaikan harga. Namun, sebarang gangguan baharu di laluan perdagangan utama boleh menyebabkan turun naik harga yang ketara.

Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.

Penetapan harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 Julai hingga 15 Julai 2026 adalah seperti berikut:

Harga Runcit

Bahan Api Harga Runcit Perubahan
RON97   RM4.00 seliter (harga 8 Julai 2026: RM4.00 seliter) Tiada perubahan
RON95  RM3.37 seliter (harga 8 Julai 2026: RM3.37 seliter) Tiada perubahan
Diesel  RM3.97 seliter (harga 8 Julai 2026: RM3.97 seliter) Tiada perubahan

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Bahan Api  Harga Subsidi
RON95 (BUDI95)  RM1.99 seliter
Diesel (BUDI Diesel)  RM2.10 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS)  RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)  RM2.15 seliter

Melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan
masing-masing.

Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
8 Julai 2026

↓ Muat Turun : Siaran-Media-Harga-Petroleum-08072026

Arkib Siaran Media